Silent Hill

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Silent Hill (サイレントヒル) ialah sebuah francais permainan video seram dicipta dan diterbitkan oleh Konami. Sejak tahun 2007, kebanyakan daripada judulnya dicipta oleh Team Silent, kecuali dua judul yang akan datang, iaitu Silent Hill: 0rigins, yang sedang dicipta oleh Studio Climax, dan Silent Hill V yang sedang dicipta oleh The Collective daripada Foundation 9 Entertainment.[1]

Kini terdapat lima judul Silent Hill (permainan video), tiga daripadanya masih dalam proses penciptaan (meskipun satu daripada judulnya, Silent Hill: Play Novel, dikeluarkan secara eksklusif buat peminat di Jepun), setiap daripada mereka mendapat kritikan dan jualan yang hebat.[perlu rujukan] Kejayaan siri tersebut telah membawa kepada ciptaan beberapa buku komik, satu filem (dengan filem kedua di bawah produksi), dan penovelan.

Gaya permainannya termasuklah elemen-elemen seram yang berulang-ulang, aksi, berjenis-jenis teka-teki, kawasan-kawasan yang ngeri, muzik latar belakang yang meremangkan bulu roma oleh penggubah lagu Akira Yamaoka, dan sebuah kisah kompleks yang didedahkan menerusi beberapa cut-scene sinematik dan dokumen-dokumen dan nota yang dijumpa semasa bermain. Teknik penceritaan setiap judul didedahkan seperti sebuah filem dengan beberapa pengakhiran atau penghujung yang boleh dikecapi; pilihan yang dibuat para pemain menentukan penghujung kepada kisah judul itu.

Latar[sunting | sunting sumber]

Salah satu daripada peta yang terdapat dalam Silent Hill yang pertama.

Latar tempat Silent Hill merupakan sebuah bandar peranginan yang kelihatan terbiar dan terbengkalai, diluputi kabut dan kabus sepanjang masa. Makhluk yang mempunyai pelbagai bentuk dan rupa yang cacat merayau-rayau disekitar jalan raya dan bangunan. Mereka selalunya menyerupai lembaga, makhluk atau apa-apa sahaja yang menjadi sebab ketakutan seseorang yang melihat mereka. Bandar tersebut seringkali berubah di antara realiti biasa kepada sebuah "Dunia Sempadan" (Otherworld) yang penuh dengan darah dan persekitaran berkarat, di mana makhluk-makhluk tersebut muncul lebih kerap lagi. Dalam judul Silent Hill yang pertama, rupa dan penduduk "Dunia Sempadan" Silent Hill muncul hasil daripada minda trauma Alessa Gillespie.[2]

Namun sejak itu, judul-judul seterusnya telah menunjukkan Dunia Sempadan berperanan secara bebas, mencipta makhluk-makhluk yang berupa unik kepada mangsa yang melihat mereka.

Komen-komen yang diberikan oleh pihak Konami telah mengatakan bahawa semangat di pekan Silent Hill telah "ditingkatkan dengan mendadak" sejak kejadian judul pertama permainan video ini.[3] Meskipun dalam judul-judul pertama dan kedua siri Silent Hill para protagonis yang telah "ditarik" ke dalam pekannya dengan sendiri, judul ketiga dan keempat telah mencetuskan teori bahawa Dunia Sempadan di Silent Hill telah sampai ke pekan-pekan berdekatan.

Dari segi geografi, Silent Hill terletak disekitar kawasan Toluca Lake atau Tasik Toluca, (di mana terdapatnya kawasan peranginan), manakala kawasan-kawasan yang lebih lama terletak di bahagian utara di sepanjang sungai tersebut. Disebabkan pembangunan komersial berat, pekan itu dikatakan agak mencukupi; terdapat sebuah sekolah rendah, sebuah pusat membeli-belah, dua buah hospital yang berbeza (Hospital Alchemilla di Paleville dan Hospital Brrokhaven di South Vale), kedai-kedai runcit dan sebagainya. "Old Silent Hill" (Silent Hill Lama) dan "Pale Ville" merupakan kawasan-kawasan pinggir bandar, terdiri daripada pembangunan pangsapuri dan perumahan, serta beberapa motel dan juga satu-satunya hotel di pekan tersebut iaitu Hotel Grand Lakeview. Kawasan menghadap pantai Paleville juga mempunyai sebuah rumah api dan merupakan tuan rumah kepada Lakeside Amusement Park, sebuah kawasan taman hiburan.

Lokasi sebenar pekan Silent Hill ini agak mengelirukan dan kurang tepat. Manual daripada judul asal siri ini mengatakan bahawa Silent Hill terletak berhampiran New England. Ketiga-tiga kelompok air besar di sekeliling pekan ini didedahkan sebagai Toluca Lake, namun satu-satunya Toluca Lake yang sebenar terletak di California. Plat lesen kereta dalam permainan video pertamanya menunjukkan kedudukannya di Michigan, namun nota-nota dalam versi Jepun CD soundtrack Silent Hill 4: The Room memberikan alamat sebenar Heaven's Night, sebuah kelab malam yang dapat dikunjungi para pemain dalam Silent Hill 2, yang beralamat di Maine. Dalam laman web rasmi Konami, bahagian "peta"nya tercetak sebuah simbol tradisional Perancis, iaitu fleur-de-lis. Adaptasi filem siri ini meletakkan kedudukan pekannya di sebuah daerah rekaan iaitu di Toluca County, West Virginia.

Penulis skrin filem tersebut, iaitu Roger Avary menggunakan sebuah pekan sebenar di Centralia, Pennsylvania sebagai inspirasi untuk pekan Silent Hill.[4] Pada tahun 1962, sebuah kebakaran besar di sebuah kawasan pembuangan telah merebak ke kawasan lombong arang batu di bawah Centralia. Sejak itu, kebakarannya berterusan sehingga ramai penduduknya dipaksa meninggalkan pekan selama-lamanya.

Corak dan gaya permainan[sunting | sunting sumber]

James Sunderland sedang bersedia untuk menyerang salah satu daripada makhluk dalam Silent Hill 2.

Judul Silent Hill yang pertama, berperanan sebagai model kepada kesemua judul-judul seterusnya kecuali yang keempat, telah menggunakan perspektif "orang ketiga" (third-person) untuk watak para pemain, diikuti oleh beberapa sudut kamera yang ditetapkan di lokasi-lokasi tertentu. Jalan raya di Silent Hill seringkali diliputi oleh kabus, dan bangunan atau kedai-kedai sentiasa berkeadaan gelap kerana keputusan sumber elektrik atau ketiadaan sumber elektrik sama sekali. Watak yang dikawal para pemain dilengkapi oleh sebuah lampu suluh dan sebuah radio mini atau radio poket yang mengeluarkan bunyi statik apabila berdekatan dengan makhluk, bertujuan untuk membantu pemain bersedia dengan sesuatu keadaan.

Aspek permainan siri ini juga didampingi oleh tugas menyelesaikan teka-teki, selalunya untuk mendapatkan kunci atau barangan lain-lain yang diperlukan para pemain untuk meneruskan permainan. Berbagai-bagai jenis makhluk juga seringkali ditemui di mana-mana bahagian dalam permainannya, bertujuan untuk menghalang atau membunuh watak pemain. Para pemain juga dapat mengakses beberapa jenis senjata-senjata melee dan api untuk membantu mereka melepasi rintangan yang ditetapkan, meskipun tiada seorang daripada watak-watak utama pun (kecuali protagonis Silent Hill: Origins, Travis O'Grady) yang pernah menunjukkan sebarang kecekapan mengendalikan senjata api.[5]

Setiap judul permainannya mempunyai penghujung-penghujung berbeza. Penentuan penghujungnya dikecapi dengan cara yang berbeza mengikut judulnya. Sebagai contoh, dalam Silent Hill, jenis-jenis penghujungnya adalah di antara "Buruk" dan "Baik +", bergantung kepada jumlah objektif sekunder yang telah dilakukan dengan lengkap oleh para pemain sebelum menentang "boss" atau lawannya yang terakhir.[6] Senarai penghujung untuk Silent Hill 2 pula, dikategorikan sebagai sebuah penghujung yang tidak mempunyai kumpulan penghujung "buruk" mereka tersendiri.[7] Kebanyakan daripada judul siri ini mengandungi sebuah penghujung "jenaka" atau joke ending yang boleh didapati para pemain menerusi perulangan judul tersebut.

Suasana[sunting | sunting sumber]

Rekacipta visual siri Silent Hill bertemakan latar belakang yang dipenuhi kabus dan kawasan yang kelihatan usang dan terbiar. Ketebalan kabus pada hampir setiap bahagian permainannya menghadkan jarak penglihatan kepada radius sepanjang kira-kira sepuluh kaki di sekeliling watak pemain. Perasaan kegelisahan dan ketakutan apabila berada di Dunia Sempadan dipertingkatkan dengan dinding-dinding dan persekitaran yang hitam legam dan klaustrofobia. Sesetengah bunyi latar belakang dimasukkan sebagai faktor kejutan dan tidak mencederakan watak pemain. Penggubah setiap bunyi dan muzik dalam siri Silent Hill ini iaitu Akira Yamaoka telah mencipta muzik atmosferik dan penuh emosi, bermula dengan muzik berbunyi bising daripada judul pertama ke solo piano berbentuk lebih tradisional dan melankolik, dan seterusnya beralih kepada gubahan muzik heavy rock.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. http://archive.is/20120629222357/kotaku.com/gaming/e307/silent-hill-v-first-screens-developer-named-277532.php Kotaku: "Silent Hill V First Screens, Developer Named" Dicipta pada 11 Julai, 2007. Diterima pada 12 Julai, 2007
  2. Terjemahan Book of Lost Memories (per Translated Memories) Konami, 2003. 26-27, "Silent Hill Creature Commentary."
  3. Book of Lost Memories, Konami, 2003. 08-09, "Sejarah Alessa."
  4. Silent Hill sebenar
  5. (Inggeris) "Tanggapan dan temu ramah judul Silent Hill: Origins" di IGN.com
  6. 'Book of Lost Memories, Konami, 2003.28-29, "Analisis Penghujung Silent Hill" beserta nota-nota penterjemah.
  7. Book of Lost Meories, Konami, 2003. 50-51, "Analisis Penghujung Silent Hill 2" berserta nota-nota penterjemah.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]