Sindrom usus rengsa

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Sindrom Rengsa Usus)

Sindrom usus rengsa atau juga dikenali sebagai irritable bowel syndrome (IBS) merupakan gangguan terhadap fungsi usus yang ditandai dengan sakit perut yang bukan sahaja berulang-ulang tetapi juga kronik. Antaranya perut memulas, senak, kembung, angin dan perubahan tabiat membuang air besar. Terdapat juga pesakit yang mengalami cirit-birit, sembelit atau gabungan kedua-duanya sekali. Kehadiran darah dalam najis perlu diberikan perhatian serius kerana ia bukan ciri-ciri sindrom usus rengsa.

Pembuangan air besar yang normal adalah berbeza-beza di antara tiga ketul najis sehari kepada minimum jumlah yang sama sepanjang minggu. Sekiranya tidak, bahan-bahan kumuh yang tersimpan di dalam badan seseorang dalam jangka masa yang lama boleh mendatangkan pelbagai jenis penyakit kepada mangsanya.

Jika orang sihat membuang air besar sama ada satu atau dua kali sehari, ada pesakit sindrom usus rengsa yang melakukannya dua kali seminggu atau hanya sekali dalam tempoh dua minggu. Malah dalam kes cirit-birit, terdapat penghidap sindrom usus rengsa yang membuang air besar sehingga 10 kali sehari tetapi yang keluar berupa cecair sahaja. Sungguhpun begitu, penghidap sindrom usus rengsa masih berasa belum puas dan akan mengulanginya selepas beberapa jam kemudian.

sindrom usus rengsa merupakan masalah perubatan yang kedua kerap diadukan selepas selesema sekali gus menjadi antara penyebab utama ketidakhadiran di tempat kerja. Wanita lebih cenderung mengalami masalah ini berbanding lelaki pada nisbah 2:1 terutamanya sebelum dan semasa datang bulan.

Punca[sunting | sunting sumber]

Sindrom usus rengsa biasanya bermula pada usia remaja ataupun sebelum seseorang itu menjangkau 40 tahun. Sebahagian besarnya dikatakan tidak mendapatkan nasihat perubatan yang sewajarnya. Punca sebenar sindrom usus rengsa masih belum diketahui tetapi faktor utama yang sering kali dikaitkan dengannya ialah interaksi di antara otak dengan usus.

Usus mempunyai banyak bekalan saraf yang akan memberitahu otak kadar kecepatan pengeluaran bahan-bahan kumuh. Saraf yang terlalu aktif boleh menyebabkan usus mengeluarkan najis terlalu cepat (cirit-birit). Saraf yang tidak cergas sebaliknya akan membenarkan najis tinggal terlalu lama di dalam usus (sembelit)!

Diagnosa[sunting | sunting sumber]

Doktor akan melihat kepada gejala seseorang di samping meneliti sejarah perubatan pesakit bagi tujuan diagnosis. Seseorang itu mungkin pernah mengalami jangkitan akibat keracunan makanan yang boleh mengganggu urat sarafnya dan mengakibatkan mereka boleh mendapat sindrom usus rengsa selepas beberapa tahun kemudian.

Terdapat beberapa penyakit usus lain seperti keradangan, barah dan jangkitan boleh menyerupai sebahagian atau kesemua gejala yang ditunjukkan oleh sindrom usus rengsa. Pemeriksaan fizikal dan ujian darah perlu dilakukan bagi mengetahui punca-punca lain yang boleh menyebabkan gejala seperti sindrom usus rengsa.

Ujian endoskopi seperti sigmoidoskopi atau kolonoskopi akan dilakukan sekiranya doktor mengesyaki gejala usus tidak tepat bagi sindrom usus rengsa dan perlu memastikan tidak ada penyakit usus yang lain. Walaupun gejala-gejala yang ditunjukkan oleh sindrom usus rengsa ada kalanya serius, gangguan itu sendiri bagaimanapun tidak dikategorikan sebagai satu penyakit.

Sindrom usus rengsa juga tidak akan bertukar menjadi barah dalam jangka panjang sebagaimana yang menjadi kebimbangan ramai. Malah, jika pembedahan dilakukan pada abdomen, hasil yang dapat dilihat adalah usus normal tanpa sebarang kerosakan.

Penawar[sunting | sunting sumber]

Pada masa kini penawar sindrom usus rengsa masih belum ditemui. Bagaimanapun mereka yang mengalami sindrom usus rengsa boleh mengambil langkah-langkah yang di anggap boleh membantu mengawal dan melegakan gejala-gejalanya. Dua langkah utama bagi melegakan sindrom usus rengsa adalah:-

  • Mengelak pengambilan ubat-ubatan yang tidak sesuai. Pesakit dinasihatkan untuk berjumpa doktor untuk menukar ubat yang boleh mencetuskan sindrom usus rengsa .
  • Mengubah diet dengan mengurangkan pengambilan atau berhenti sama sekali mengambil makanan yang mampu mencetus sindrom usus rengsa seperti:-
    • Makanan berlemak
    • Produk tenusu seperti keju dan aiskrim,
    • Coklat,
    • Minuman berkarbonat
    • Minuman berkafeina yang boleh didapati di dalam kopi mahupun soda-soda tertentu.
  • Mengubah diet dengan mengambil makanan yang mampu meringankan sindrom usus rengsa terutamanya sembelit, seperti:-
    • Makanan yang kaya serat seperti bran, roti, bijirin, kacang
    • Buah-buahan (betik, jambu, dan rambutan)
    • Sayur-sayuran termasuk ulam (brokoli, kubis, lobak dan kacang pis mentah)
  • Menguruskan tekanan yang mampu menyebabkan kekejangan usus lalu mencetus sindrom usus rengsa
    • Melakukan senaman ringan bagi menenangkan fikiran.
  • Mengambil ubat-ubatan yang sesuai. Pesakit dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut dengan pakar perubatan dan pakar gastroenterologi sebelum mengambil ubat-ubatan berkenaan.
    • Laksatif bagi merawat sembelit,
    • Antipasmodik untuk mengurangkan kesakitan serta cirit-birit
    • Antidepresen bagi melegakan kesakitan yang teruk.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]