Slam (kugiran)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Slam
Berasal dari Malaysia Malaysia
Genre Pop
Pekerjaan Vokal / Pemuzik
Tahun aktif 1992 - 1999, 2003 -kini
Kegiatan berkait Berkumpulan
Laman web Lirik lagu
Ahli
Zamani bin Ibrahim (Zamani) - Vokalis
Shah Nizam bin Abdul Halim (Shah) - Ketua, Gitar elektrik & Gitar Akoustik
Lili Masrani - Bass
Eddie Ahmad - Keyboard , Programmer & Percussion
Razak Bajuri - Gitar Kedua
Osman Khalid - Dram

Kumpulan Slam merupakan sebuah kumpulan pemuzik dan penyanyi yang aktif di Malaysia. Kumpulan ini menyampaikan lagu-lagu Melayu. Slam adalah salah sebuah kumpulan lama yang telah meniti populariti dalam dunia muzik tanah air dan boleh diklasifikasikan dalam kategori `growth`, di mana mereka pernah menuju ke puncak kejayaan sebagai penyanyi berkumpulan. Nama Zamani, Shah, Man, Eddie, Lili dan Ajak tidak perlu diperkenalkan lagi kepada peminat seni suara tanahair, khususnya selepas kejayaan album kedua mereka yang berjudul `Kesan Terbukti`. Album ini telah memuatkan lagu-lagu berhantu dengan 4 lagu berada di kedudukan teratas carta Muzik Malaysia dan Indonesia seperti Tak Mungkin Berpaling dan Kembali Terjalin. Kemudian mereka terus mengorak langkah dengan lagu-lagu hits yang lain seperti Jika Kau Rasa Getarnya, Rindiani dan lagu malar segar Gerimis Mengundang.


Sejarah Awal (1990 - 1994)[sunting | sunting sumber]

Kumpulan Slam diasaskan oleh Shah Nizam bin Abdul Halim, bekas anggota kumpulan Exists. Diatas komitmennya sendiri, Slam telah ditubuhkan pada awal tahun 1991 di Johor Bahru. Shah yang bertindak sebagai ketua kumpulan memberitahu kegagalan beliau bersama Exist pada waktu itu telah menjadi inspirasi ke arah terbentuknya Slam. Dia mengajak teman lamanya iaitu Razak Bajuri, Osman Khalid dan Lili Masrani berjuang bersama atas dasar semangat setiakawan yang utuh. Ketika ini mereka menggunakan nama Fix sebagai nama kumpulan. Mereka kemudiannya menjalankan ujibakat bagi mencari penyanyi biarpun ketika itu Fix terlebih dahulu mendapat empat orang penyanyi yang mempunyai kekuatan vokal tersendiri. Bagaimanapun jodoh Fix dengan penyanyi-penyanyi tersebut tidak panjang kerana mereka masih mencari keserasian. Mereka mempunyai perancangan masa depan yang menarik dalam industri muzik maka mereka mahukan penyanyi visi yang baik bagi mendukung wawasan mereka.

Sewaktu rakaman album pertama mereka pada 1992 telah berjalan Shah terpaksa mengetepikan vokalisnya gara-gara suara tidak mencapai tahap yang dikehendaki sewaktu mendendangkan lagi ‘Nina` ciptaan Rahim Othman. Mereka terpaksa menangguhkan pembikinan album pertama dengan membuka peluang kepada vokalis-vokalis baru yang ingin mencuba nasib dengan Slam. Ujibakat telah diuruskan bersama oleh pihak pengurusan Johan Sound Production yang kini dikenali sebagai Johan Music. Mereka akhirnya ditemukan dengan pemuda asal Keramat, Kuala Lumpur Zamani Ibrahim yang pada ketika itu berusia 22 tahun. Keunikan suaranya jelas memukau pihak pengurusan dan anggota kumpulan yang lain. Berbekalkan bakat semulajadi dan seraut wajah kekanak-kanakan, Zamani dijangka boleh membuat peminat tidak puas memandangnya.

Zamani juga merupakan seorang penyanyi yang tidak pernah meninggi diri walaupun dia kini tergolong dalam kelompok vokalis terbaik tanahair. Malahan penyanyi itu mempunyai sifat malu yang cukup tebal hingga terpaksa belajar beraksi di pentas dengan ketua kumpulan mereka, Shah. Menurutnya, dia banyak belajar tentang bagaimana cara menyanyi dengan penghayatan yang baik dan tinggi. Dia juga cukup menghormati Shah kerana baginya Shah mempunyai kebolehan luar biasa yang jarang dipunyai oleh sesetengah pemuzik lain. Hal ini berlaku mungkin kerana pengalaman Shah yang cukup luas dalam muzik malah berprinsip tinggi. Kriteria itu juga yang menyebabkan seluruh anggota Slam bersetuju memilihnya sebagai ketua kumpulan walaupun jika dihitung dari sudut umur, Shah adalah kumpulan yang paling muda.


Zamani berjaya menyanyikan semula lagu-lagu yang telah 70% dirakamkan oleh vokalis asal. Setelah berjaya menamatkan proses rakaman yang memakan masa hampir 60 jam, mereka sekali lagi dikejutkan oleh berita buruk dari meja pengurusan apabila nama `Fix` tidak boleh digunakan kerana ianya boleh menimbulkan kekhilafan dalam sebutan. Pun begitu, profesionalisme yang ditunjukkan oleh pihak pengurusan Johan Sound Production Berjaya menenangkan setiap anggota kumpulan yang tergantung namanya ini. Mereka sekali lagi terpaksa membuka talian kepada penggemar muzik tanah air yang sudi memberi nama kepada kumpulan anak muda yang baru dilahirkan ini. Dari 3000 penyertaan, Johan Sound Production dan anak-anak muda yang cukup tegar pegangan muzik ini telah memilih `Slam` sebagai nama baru menggantikan nama asal ‘Fix`. Biarpun begitu mereka sewajarnya boleh berbangga kerana tidak perlu menggunakan pemuzik undangan. Sewaktu di studio, setiap anggota Slam tahu dan faham tugas masing-masing. Selagi tidak berpuas hati dengan muzik ataupun vocal, mereka akan terus bermain tanpa henti. Kadang kala masa dalam studio lebih panjang dari waktu-waktu lain.

Namun impian tidak selalunya menjadi kenyataan, Slam terpaksa akur dengan kehendak peminat muzik tempatan. Konsep ‘Pop Kreatif’ yang diperjuangkan secara kumpulan merupakan sesuatu yang baru di Negara ini. Walaupun album pertama mereka cukup baik dan mempunyai nilai artistik serta nilai jual yang tinggi, namun faktor populariti juga perlu diambilkira. Album pertama mereka sekadar mencecah jualan 40.000 unit sahaja ekoran persaingan dengan kumpulan muzik sedia ada seperti Spring, Mega, Fotograf dan pesaing terapatnya Ukays. Lagu-lagu seperti Malam Dan Semalam, Buat Seorang Kekasih dan Nina masih belum cukup kuat untuk mengangkat martabat muzik Slam. Namun, Slam tidak dapat melatah lantas mereka membuat ‘post moterm’ ke atas Slam. Mereka akhirnya bersetuju untuk menambah anggota dengan mengundang Eddie Ahmad yang pernah bermain muzik keyboard bersama kumpulan Ekamatra sewaktu kumpulan itu berada dipuncak kegemilangannya menerusi Pusara Di Lebuhraya. Slam bertambah mantap dengan penyertaan Eddie. Dengan pengalaman yang luas dimiliki oleh pemuzik yang berkaca mata ini, beliau telah memantapkan lagi susunan muzik Slam disamping idea-idea beliau yang tidak pernah jemu untuk diterima oleh anggota-anggota Slam yang lain.

Dalam setiap pembikinan album, Slam tidak terlalu cerewet memilih komposer jemputan apatah lagi mereka sendiri mampu menggubah lagu. Nama-nama seperti Johan Aziz (yang juga merangkap sebagai pengurus Slam), Rahim Othman dan Saari Amri tidak pernah lekang dari bibir peminat setia kumpulan ini. Bagi peminat-peminat Slam, nama-nama besar ini telah berjaya mencorak irama muzik Slam dari pelbagai dimensi kerana mereka mempunyai cara, citarasa, identiti dan susunan muzik tersendiri.

Kemuncak Populariti (1995 - 1999)[sunting | sunting sumber]

Tuah ayam nampak dikaki, tuah manusia siapa yang tahu. Dalam usia setahun jagung penubuhannya, Slam telah Berjaya mengumpul peminatnya sendiri. Album kedua mereka Kesan Terbukti telah berjaya meletakkan kumpulan ini sebaris dengan kumpulan-kumpulan muzik gergasi tanahair dari segi jualan, kualiti dan populariti. Album ini telah meledak dipasaran sekaligus nama Slam tiba-tiba sahaja menjadi sebutan dikalangan peminat muzik tempatan sementara di Indonesia, album ini dipasarkan dengan judul Tak Mungkin Berpaling. Lebih membanggakan apabila lima single di dalam album ini berjaya menguasai carta radio seluruh Nusantara. Lagu Kembali Terjalin, Tak Mungkin Berpaling, Nur Kasih, dan Bukan Niat Membalas Derita merupakan rangkaian lagu-lagu hits nombor satu petikan album ini. Sementara lagu Manisnya Rindu juga memberi impak tersendiri. Album ini menjadi antara album terbanyak melahirkan single di kedudukan nombor satu di Malaysia dan Indonesia. Ramai menyifatkan lagu Tak Mungkin Berpaling pula merupakan lagu yang mencerminkan identiti muzik yang diperjuangkan oleh Slam. Segalanya berbaloi apabila album ‘Kesan Terbukti’ mencecah angka 300,000 unit di pasaran Malaysia & Singapura dan terjual lebih 500,000 unit di Indonesia. Ini telah melayakkan Slam menerima anugerah platinum berkembar dari syarikat rakaman mereka.

Slam seterusnya mengeluarkan album kompilasi Terbaik Slam pada penghujung 1995 sebagai bekal sementara pembikinan album ketiga mereka. Ternyata ketiga-tiga lagu bonus petikan album kompilasi tersebut mengungguli carta, terutama sekali lagu Gerimis Mengundang yang menjadi lagu paling popular pada tahun 1996 sehingga pernah dirakam dalam 24 versi saduran oleh penyanyi pelbagai negara dan bahasa serta layak ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu dan Anugerah Industri Muzik. Lagu ciptaan Saari Amri ini menjadi antara lagu Melayu paling masyhur dalam sejarah muzik Nusantara. Terdapat parodi dan filem yang diterbitkan berdasarkan lagu ini. Dua buah lagi lagu yang hits petikan album yang terjual lebih 200,000 unit ini ialah Kurnia dan Jalan Keindahan. Menerusi album ini Zamani Ibrahim diiktiraf oleh Anugerah Industri Muzik sebagai pemenang kategori Persembahan Vokal Di Dalam Album (Lelaki).

Album Kembali Merindu telah berada dipasaran pada pertengahan tahun 1996. Dalam album ini, Slam telah membuat pembaharuan yang drastik kearah memantapkan lagi muzik mereka. Mereka mulai sedar dimana ‘target’ Slam untuk mencapai tahap tertinggi dalam industri muzik sudah semakin hampir untuk digapai. Hasilnya mereka meraih kejayaan sekali lagi menerusi single popular seperti Jika Kau Rasa Getarnya, Kita Terpaksa Bermusuhan dan Kembali Merindu. Album ini juga terjual lebih 250,000 unit di Malaysia dan 400,000 unit di Indonesia. Mengekori kejayaan ini ialah rangkaian konsert-konsert yang dijayakan oleh Slam. Mereka pernah mengadakan Konsert Unplugged 1996 dan Live in Singapore pada tahun 1997 yang dikenali kerana membawa kejayaan besar hingga memberikan kejayaan apabila diiktiraf dengan anugerah khas Kembara di Anugerah Industri Muzik ke-5 pada tahun 1998.

Pada tahun 1998 juga, Slam muncul dengan album Dalam Harapan dengan sedikit pembaharuan demi memastikan piawaian mutu terjaga. Album ini mempertaruhkan single Mentari Muncul Lagi yang meledak pada tahun ini. Ketika ini Slam sudah mula berjinak-jinak dalam dunia perfileman dengan pelawaan jutawan filem Yusof Haslam untuk beraksi dalam Bara serta sebuah lagi filem yang tidak disiapkan berjudul Cindai Asmara. Kerana agak lari fokus, album ini tidak begitu mengujakan peminat tambahan persaingan daripada kumpulan baharu seperti Spoon dan Def Gab C. Pun begitu, AIM mengiktiraf album ini apabila tercalon dalam kategori Album Pop Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-6 pada tahun 1999.

Pada tahun 1999, penyanyi utama mereka pula dikaitkan dengan masalah disiplin dan kesihatan. Zamani memberi bayangan akan meninggalkan Slam sehingga membuatkan ramai peminat tidak puas hati. Slam membuat kemunculan terakhir bersama Zamani menerusi album kompilasi Best of Slam pada tahun 1999 dan popular menerusi single nombor 1 berjudul Rindiani. Pada penghujung tahun 1999 Slam secara rasmi direhatkan seketika apabila Zamani keluar dan Shah pula sebagai ketua kumpulan bertindak menyertai kumpulan lagenda Search untuk album Selepas Banjir.

Dalam Harapan (2003 - kini)[sunting | sunting sumber]

Setelah agak lama berkubur dan Zamani telahpun melancarkan karier solo yang berjaya pada tahun 2002, Shah yang ketika itu telahpun menjadi pemuzik profesional mengambil keputusan untuk membuat kemunculan semula biarpun tanpa kehadiran Zamani. Album berjudul Slamanja diterbitkan pada tahun 2003 bagaimanapun tidak berjaya menaikkan kembali nama kumpulan ini ekoran populariti lagu-lagu Zamani yang seiring diputarkan di radio. Lagu Cintuni merupakan antara lagu Slam yang tidak menggunakan suara Zamani beroleh sedikit populariti.

Pada tahun 2006, Shah mengumumkan kehadiran semula Zamani dalam kumpulan ini. Album comeback berjudul Menggapai Langit akhirnya berjaya diterbitkan pada tahun 2007. Ia menghasilkan kembali lagu-lagu hits seperti Rayuan Di Puncak Genting dan Sesat Di Jalan Mu. Namun pasaran muzik tidak lagi sama seperti dulu, kumpulan ini terpaksa bersaing dengan lebih ramai pemuzik generasi baharu yang kebanyakkannya muncul dari underground scene. Hingga ini Slam kekal antara kumpulan muzik paling berpengaruh di Malaysia dengan jualan keseluruhan album di seluruh dunia lebih 1 juta unit. Kumpulan ini berjaya mencipta nama di Indonesia dan berdiri sebaris dengan kumpulan-kumpulan hebat Malaysia sepanjang zaman seperti Orkes Nirwana, The Zurah II, Alleycats, Kembara, Carefree, Sweet Charity, Search, Gersang, Wings, IKLIM, Spring, KRU dan Ukays.

Diskografi[sunting | sunting sumber]

Album Studio[sunting | sunting sumber]

Album Konsert[sunting | sunting sumber]

Album Himpunan[sunting | sunting sumber]

Konsert[sunting | sunting sumber]

  • Konsert Grand Slam Unplugged ( 1996 )
  • Konsert Slam Kembali Merindu Live in Singapore ( 2012 )

Penghargaan[sunting | sunting sumber]

  1. Anugerah Platinum 1995 - Album Slam ( Kesan Terbukti )
  2. Pencalonan Akhir ( Top 5 ) Artis Berkumpulan Popular ( Anugerah Bintang Popular 1995 )
  3. Semi Final ( Muzik Muzik 1995 ) - Nur Kasih
  4. Anugerah Platinum 1996 - Album Slam ( Kembali Merindu )
  5. Anugerah Platinum 1998 - Album Slam (Live Konsert Unplugged)
  6. Pencalonan Akhir ( Top 5 ) Artis Berkumpulan Popular ( Anugerah Bintang Popular 1996 )
  7. Pencalonan Akhir ( Top 5 ) Vokal Lelaki Terbaik - Zamani ( Slam ) ( Anugerah Industri Muzik 1998 )
  8. Pencalonan Akhir ( Top 5 ) Album Pop Terbaik - Slam ( Anugerah Industri Muzik 1998 ) - Album - Slam ( Live Konsert Unplugged 2 )
  9. Anugerah Platinum 1999 - Album Slam ( Dalam Harapan ) Jualan 50,000 Unit
  10. Pencalonan Akhir ( Top 5 ) Vokal Lelaki Terbaik - Zamani ( Slam ) ( Anugerah Industri Muzik 1999 )
  11. Pencalonan Akhir ( Top 5 ) Album Pop Terbaik - Slam ( Anugerah Industri Muzik 1999 ) - Album - Slam ( Dalam Harapan )
  12. Semi Final ( Muzik Muzik 1999 ) Lagu Mentari Muncul Lagi
  13. Pencalonan Akhir ( Top 5 ) Penyanyi Lelaki Popular ( Anugerah Bintang Popular 2002 ) - Zamani
  14. Vokal Lelaki Pilihan ( Anugerah Era 2002 )
  15. Anugerah Platinum 2002 - Album ( Zamani / Syair Si Pari Pari )
  16. Final ( Anugerah Juara Lagu 2002 ) - Zamani Lagu Syair Si Pari Pari
  17. Pencalonan Akhir ( Top 5 ) Vokal Lelaki Terbaik ( Anugerah Industri Muzik 2003) - Zamani Album Zamani ( Syair Si Pari Pari )
  18. Pencalonan Akhir ( Top 5 ) Lagu Terbaik - Syair Si Pari Pari ( Aidit Alfian / Ad Samad )( Anugerah Industri Muzik 2003 )
  19. Anugerah Platinum 2003 - Album ( Slam / Zamani Nostalgia Gemilang )
  20. Final ( Anugerah Juara Lagu 2004 ) - Zamani Lagu Kala Hujan

Fenomena Populariti Lagu Gerimis Mengundang Ciptaan ( Saari Amri ) - SLAM[sunting | sunting sumber]

  1. Lagu Gerimis Mengundang Pernah Menjadi Hits Song Sehingga Di Alih Bahasakan ( Senikata ) Sebanyak 21 Bahasa Di Seluruh Asia
  2. Kumpulan Slam Juga Telah Berjaya Mencapai Populariti Sebagai Sebuah Kumpulan Yang Popular Menerusi Lagu Gerimis Mengundang Pada Tahun 1996/1997 Dan Bertanding Dalam Beberapa Penganugerahan Di Industri Muzik Malaysia -
  3. Anugerah Bintang Popular 1996 - Pencalonan Akhir ( Top 5 ) Penyanyi Berkumpulan Popular - Slam
  4. Anugerah Industri Muzik 1996 - Pencalonan Akhir ( Top 5 ) Vokal Lelaki Terbaik - Zamani ( Slam ) Album Terbaik Slam
  5. Anugerah Industri Muzik 1996 - Pencalonan Akhir ( Top 5 ) Lagu Terbaik - Gerimis Mengundang - Slam
  6. Anugerah Double Platinum 1996 - Album ( Terbaik Slam ) Jualan 100,000 Unit
  7. Indonesian Music Industry 1996 - The Best Song Lagu Gerimis Mengundang ( Slam )
  8. Kemuncak Populariti Lagu Gerimis Mengundang Kumpulan Slam Muncul Di Dalam Konsert Grand Slam Unplugged Pada 3 Ogos 1996 Diiringi Okestra Di Stadium Negara
  9. Juara Lagu 1996 - Pencalonan Akhir ( Final ) Slam - Gerimis Mengundang
  10. Anugerah Platinum 1997 - Album ( Slam Live Konsert Unplugged ) Jualan 90,000 Unit
  11. Anugerah Bintang Popular 1997 - Pencalonan Akhir ( Top 5 ) Penyanyi Berkumpulan Popular - Slam
  12. Anugerah Industri Muzik 1997 - Zamani ( Slam ) Memenangi Kategori Vokal Lelaki Terbaik - Album Slam Live Konsert Unplugged
  13. Anugerah Industri Muzik 1997 - Slam - Di Iktirafkan Anugerah Kembara
  14. AMI ( Anugerah Muzik Indonesia 1999 ) - Slam Menerima Anugerah Khas