Slim Dusty

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Slim Dusty

David Gordon Slim Dusty Kirkpatrick (13 Jun 1927 - 19 September 2003) merupakan penulis dan penyanyi lagu rakyat yang berkebangsaan Australia yang menjual melebihi lima juta keping album dan single di Australia.

Biografi ringkas[sunting | sunting sumber]

Slim dilahirkan di Kempsey, New South Wales kepada seorang penternak lembu. Beliau menggunakan nama pentas "Slim Dusty" pada tahun 1938 ketika berumur sebelas tahun. Salah seorang yang mempengaruhi muziknya pada peringkat awal ialah Jimmie Rodgers. Slim menerbitkan rekod pertamanya pada tahun 1946 ketika berumur sembilan belas tahun.

Lagunya, "A Pub with no beer", pada tahun 1957 menjadi lagu kegemaran ramai dan merupakan rekod terlaris oleh seorang Australia serta single emas Australia yang pertama ketika itu. Pada sepanjang kerjayanya, beliau mengumpulkan lebih banyak album emas dan platinum, berbanding dengan seniman-seniman Australia yang lain. ("Pub With No Beer" adalah sebuah tempat yang benar di Taylors Arm, tidak jauh dari Kempsey, tempat lahir Slim.) Pada tahun 1959 dan 1960, versi-versi Belanda dan Jerman bagi lagu tersebut menjadi lagu terlaris (malahan menjadi lagu-lagu sepanjang zaman) di Belgium, Austria, dan Jerman, disebabkan oleh usaha Bobbejaan Schoepen, penyanyi lagu rakyat, pemain gitar, serta pengasas taman hiburan.

Dusty bukan sahaja merakamkan lagu-lagu yang ditulisnya dan penghibur-penghibur Australia yang lain, tetapi juga merakamkan sajak-sajak klasik Australia yang ditulis oleh Henry Lawson dan Banjo Patterson, diringi oleh tiun-tiun lagu yang baru untuk menarik perhatian kepada balada-balada Australia yang lama.

Pada tahun 1970, ketika Australia masih menerima darjah kebesaran British, Slim dijadikan Ahli Golongan yang Dianugerahi Darjah Empayar British (OBE) kerana sumbangannya kepada muzik.

Pada tahun 1971, Slim memenangi 'Single Yang Terbaik' dalam Anugerah Muzik Rakyat Australia di Perayaan Muzik Rakyat Tamworth. Isteri Slim, Joy McKean, juga memenangi anugerah 'Lagu Tahun Ini' sebagai penulis lagu untuk 'Single Yang Terbaik' tersebut. Pada keseluruhannya, Slim menerima 36 "Gitar Emas" pada sepanjang kerjaya muziknya, satu rekod yang tidak pernah dicapai ketika itu.

Ketika Slim meninggal dunia pada tahun 2003, akibat kanser, beliau sedang mengerjakan album ke-106nya untuk Syarikat Rekod EMI. Ketika albumnya Columbia Lane - the Last Sessions diterbitkan buat pertama kali, album itu mendapat tempat kelima dalam carta-carta album Australia dan tempat pertama dalam carta-carta lagu rakyat pada 8 Mac 2004. Album itu turut mencapai emas apabila dijual dalam tempoh penjualan yang tidak melebihi dua minggu.