Spaniel Perancis

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Spaniel Perancis
Seekor spaniel Perancis
Nama lainSeter Perancis
Seter Kanada
Negara asalPerancis dan Kanada
Trait
Tinggi Jantan 55–63 cm (22–25 in)
Betina 54–61 cm (21–24 in)
Bulu Lurus atau sedikit beralun dan sederhana panjang
Warna Putih dengan tanda-tanda perang
Anjing (Canis lupus familiaris)

Spaniel Perancis[a] ialah satu baka anjing daripada jenis seter mirip spaniel. Ia dikembangkan di Perancis dan di Kanada sebagai anjing pemburu dan diturunkan daripada anjing dari abad ke-14. Setelah popular dengan kerabat diraja pada Zaman Pertengahan, ia hampir pupus menjelang permulaan abad ke-20 tetapi diselamatkan dengan usaha Bapa Fournier, seorang paderi Perancis. Sebagai salah satu baka spaniel terbesar, ia biasanya mempunyai lapis bulu putih dengan tanda-tanda perang. Ia merupakan baka ramah yang mempunyai sedikit isu kesihatan, namun dapat terjejas akibat sindrom yang dipanggil pencacatan akral dan analgesia. Baka ini diiktiraf oleh kelab kenel Kanada dan antarabangsa tetapi bukan oleh The Kennel Club (United Kingdom). American Kennel Club telah menyertakan baka ini dalam Khidmat Ternakan Asasi sebagai langkah pertama untuk pengiktirafan penuh.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sebuah lukisan tentang seekor spaniel Perancis yang sedang digunakan untuk memburu itik melewar dari 1805

Spaniel pertama kali disebut di Perancis semasa abad ke-14 dalam karya Gaston III dari Foix-Béarn Livre de chasse ("Buku Perburuan"), yang kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sebagai The Master of Game.[1] Spaniel Perancis dirujuk sebagai jenis spesifik spaniel menjelang tahun 1660 dan dicatatkan sebagai distingtif daripada King Charles spaniel jenis Belanda.[2]

Baka ini popular semasa Zaman Pertengahan dengan penggunaannya untuk falkonri dan sebagai settling dog untuk perburuan dengan jaring. Ia menjadi kegemaran Kerabat Diraja Perancis dan Raja dan Putera di perkarangan istana diraja Versailles lebih mengutamakannya berbanding dengan baka anjing pemburu lain.[3] Di samping itu, Yekaterina I dari Rusia (1684–1727) diketahui pernah memiliki seekor spaniel Perancis bernama Babe.[4] Semasa tempoh ini, spaniel Perancis diketahui telah berpecah kepada beberapa jenis rantauan.[5][sumber tak boleh dipercayai?]

The Sporting Magazine menulis tentang spaniel Perancis dan pemburuan itik melewar pada tahun 1805, "Spaniel Perancis yang kasar telah didapati sebagai teman terbaik pada masa-masa ini: ia memerhati gerak langkah ahli sukan, dan, dengan kelajuan tidak tertanding, meluru ke arah buruan tercedera, mempersembahkannya dengan segala kelajuan yang mungkin di kaki tuannya."[6] Pada tahun 1850-an, brittany (yang dahulunya dikenali sebagai spaniel Bretagne) dikembangkan daripada penyilangan spaniel Perancis dengan seter Inggeris.[7]

James de Connick mengasaskan piawaian baka pertama untuk spaniel Perancis pada tahun 1891.[8] Pada permulaan abad ke-20, bilangan spaniel Perancis menjunam dengan begitu rendah sehingga ia hampir pupus kerana persaingan dengan anjing sukan asing, khususnya apabila para pemburu Perancis memilih untuk berburu terutamanya dengan baka anjing pemburu Inggeris.[3] Seorang paderi Perancis bernama Bapa Fournier menggalas tugas untuk mengumpulkan sisa-sisa spaniel Perancis di kenel-kenel beliau di Saint Hillaire untuk memulihara baka ini. Di sana beliau membangunkan susur galur yang mewakili yang ada kini.[3] Kelab Spaniel Perancis diasaskan pada tahun 1921 dengan Bapa Fournier sebagai presiden persatuan itu.[8] Spaniel Perancis moden ialah salah satu daripada sekumpulan spaniel Perancis yang diiktiraf, termasuk brittany, spaniel Picardie, dan spaniel biru Picardie.[9][10]

Pengiktirafan[sunting | sunting sumber]

"Seekor spaniel putih dan hitam yang berdiri di padang rumput hijau cerah sambil memandang ke kanan"
Seekor spaniel Perancis dengan tanda-tanda hitam

Spaniel Perancis kurang terkenali di luar Perancis dan di negara-negara jiran sehingga ia diperkenalkan ke provinsi Quebec di Kanada pada tahun 1970-an. Ia secepatnya menjadi anjing popular untuk pemburuan woodcock dan grouse. Club de l'Épagneul Français du Canada ("Kelab Spaniel Perancis Kanada") dibentuk pada tahun 1978 untuk memastikan bahawa spaniel Perancis akan terus memenuhi piawaian baka dan untuk mengusahakan pengiktirafan rasmi oleh Canadian Kennel Club, yang olehnya baka ini diiktiraf pada tahun 1985.[8]

Spaniel Perancis juga diiktiraf oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa[11][12] dan United Kennel Club.[13] The Kennel Club (United Kingdom) dan American Kennel Club tidak mengiktiraf spaniel Perancis,[14][15] tetapi ia diiktiraf oleh North American Versatile Hunting Dog Association[16] dan boleh didaftarkan dengan pejabat pendaftaran anjing Amerika Syarikat untuk merekodkan pendaftarannya dan bertanding dalam pertunjukan anjing berkaitan, seperti Dog Registry of America,[17] American Canine Association,[18] dan America's Pet Registry.[19]

Untuk layak untuk mendapat pengiktirafan oleh American Kennel Club, sebuah kelab baka kebangsaan mesti diasaskan terlebih dahulu dan permintaan bertulis perlu dikirimkan kepada AKC bersama-sama dengan piawaian baka. Ini membolehkan kelayakan untuk Khidmat Ternakan Asasi. Langkah seterusnya adalah untuk melayakkan diri untuk bertanding dalam Kelas Lain-lain. Ini memerlukan sekurang-kurangnya seratus orang anggota aktif dalam kelab baka kebangsaan itu, bersama-sama dengan sekurang-kurangnya tiga hingga empat ratus ekor anjing di Amerika Syarikat dengan pedigri tiga generasi (semua anjing dalam pedigri itu mesti sebaka). Di samping itu, anjing mesti tersebar secara geografi di serata dua puluh buah negeri atau lebih, dan akhirnya undang-undang kecil dan perlembagaan kelab mesti disemak serta pemerhatian baka yang dibuat oleh kakitangan AKC. Terdapat tempoh tunggu biasa antara satu dengan tiga tahun dalam Kelas Lain-lain sebelum pengiktirafan penuh diberikan. Semasa tempoh ini, kelab baka mesti dilihat aktif dan mengadakan seminar, perlawanan serta pertunjukan khusus tempatan dan kebangsaan.[20] The Kennel Club (United Kingdom) pula tidak mempunyai kelas lain-lain atau khidmat ternakan asasi, sebaliknya mensyaratkan anjing biak baka British dan pedigri tiga generasi untuk anjing berkenaan, bersama-sama dengan butiran dari negara asal termasuk piawaian baka. Ini membolehkan penyenaraian dalam Daftar Baka Import, dengan pengiktirafan penuh yang diberikan mengikut budi bicara Jawatankuasa Semakan The Kennel Club.[21]

Perihal[sunting | sunting sumber]

Seekor spaniel Perancis perang dan putih

Spaniel Perancis ialah salah satu daripada dua baka spaniel tertinggi, lebih tinggi daripada springerspaniel Inggeris.[3][22] Ketinggian jantan dapat berkisar dalam lingkungan 22–24 inci (56–61 cm) dan betina pula adalah kira-kira seinci lebih pendek. Berat anjing dapat berkisar dalam lingkungan 45–60 paun (20–27 kg).[3]

Anjing normal mempunyai penampilan berotot dengan dada dalam dan tungkai kuat. Spaniel Perancis mempunyai mata berwarna ambar gelap dan ekor tebal yang meruncing ke arah hujung. Bulunya sederhana, padat, dengan jumbai panjang pada telinga, belakang tungkai, dan ekor. Bulunya mempunyai sedikit alunan pada dada dan sebaliknya terbentang merata pada tubuh. Warna normal lapis bulu spaniel Perancis ialah putih dengan tanda-tanda perang yang bercahaya warna daripada kayu manis cerah kepada hati gelap.[3] Dari segi sejarah, lapis bulunya hanya berwarna putih dengan tanda-tanda hitam, tetapi baka ini kacuk dengan warna lain spaniel semasa abad ke-19.[23]

Perangai[sunting | sunting sumber]

Spaniel Perancis mempunyai keperibadian ramah dan mesra serta cukup seimbang dan sabar. Ia bukan anjing yang agresif secara semula jadi dan ia bersemangat untuk menggembirakan orang dan dengan itu dapat dilatih dengan mudah. Anjing baka ini akan menjalin ikatan kuat dengan tuannya, biasa seperti anjing pekerja. Ia mempunyai paras stamina tinggi dan memerlukan senaman berat.[3]

Kesihatan[sunting | sunting sumber]

Baka ini sangat sihat dengan sedikit isu dan menyesuaikan diri dengan baik terhadap keadaan cuaca basah.[8] Keadaan dermatologi yang dikenali sebagai pencacatan akral dan analgesia mungkin menjejaskan spaniel Perancis. Ini ialah gangguan yang baru dikenal pasti dengan gejala yang menjadi jelas pada usia antara tiga setengah bulan dengan setahun.[24] Keadaan ini pertama kali dilaporkan pada tiga belas ekor anjing di Kanada dan mengongsi gejalan dengan sindrom pencacatan akral bagi anjing penuding berbulu pendek Jerman, anjing penuding Inggeris, dan springerspaniel Inggeris. Anjing yang terjejas akan menjilat-jilat, menggigit-gigit, dan mencacatkan bahagian hujung tubuhnya, lalu mengakibatkan ulser dengan jangkitan bakteria sekunder. Amputasi diri bagi cakar, jari, dan tapak kaki dapat berlaku dalam kes esktrem. Majoriti anjing awal yang dikenal pasti telah dieutanasia dalam beberapa hari hingga bulan selepas didiagnosis.[25]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: سڤانيئل ڤرنچيس; Perancis: épagneul français; bahasa Inggeris: French spaniel

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Spesifik[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Edward dari Norwich, Duke York ke-2 (1909) [abad ke-15]. The Master of Game (dalam bahasa Inggeris). Ballantyne, Hanson & Co. m/s. 195.
  2. ^ Wentworth (1911): hlm. 38
  3. ^ a b c d e f g "French Spaniel Information" (dalam bahasa Inggeris). Sarah's Dogs. Dicapai pada 4 Mac 2024.
  4. ^ Knowles Bolton, Sarah (1902). Our Devoted Friend: The Dog (dalam bahasa Inggeris). L. C. Page and Company. m/s. 306.
  5. ^ "Blue Picardy Spaniel Information". Sarah's Dogs. Dicapai pada 4 Mac 2024.
  6. ^ The Sporting Magazine (dalam bahasa Inggeris). 26. J. Wheble. 1805. m/s. 41.
  7. ^ "Breed Information: Brittany". Westminster Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 26 Februari 2011. Dicapai pada 4 Mac 2024.
  8. ^ a b c d "The French Spaniel Has Been Around a Long Time". Club de l'Epagneul Francais (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 19 Oktober 2010. Dicapai pada 4 Mac 2024.
  9. ^ "French Spaniels". Irish Field Sports (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 Mac 2024.
  10. ^ "Picardy Spaniel Information". Sarah's Dogs (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 Mac 2024.
  11. ^ "Standard FCI N° 175 EPAGNEUL FRANCAIS" [Piawaian FCI No. 175 Spaniel Perancis] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Perancis). 23 Januari 2009. Dicapai pada 4 Mac 2024.
  12. ^ "FCI-Standard N° 175 EPAGNEUL FRANÇAIS (French Spaniel)" [Piawaian FCI No. 175 Spaniel Perancis] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Jennifer Mulholland dalam usaha sama dengan Raymond Triquet. 23 Januari 2009. Dicapai pada 4 Mac 2024.CS1 maint: others (link)
  13. ^ "Epagneul Francais (French Spaniel) Revised July 1, 2009" (dalam bahasa Inggeris). United Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Januari 2011. Dicapai pada 4 Mac 2024.
  14. ^ "The Gundog Group". The Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 1 September 2010. Dicapai pada 4 Mac 2024.
  15. ^ "Meet the Breeds". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 Mac 2024.
  16. ^ Fischenich, Paul. "My search for the perfect dog ended with a Spaniel". Spaniels in the Field (dalam bahasa Inggeris). Minnesota French Spaniels. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 April 2010. Dicapai pada 4 Mac 2024.
  17. ^ "DRA - Dog Registry of America". Dog Registry of America (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 Mac 2024.
  18. ^ "ACA Breed Standards F". American Canine Association (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 Mac 2024.
  19. ^ "America's Pet Registry General Questions (FAQ's)". America's Pet Registry (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Oktober 2010. Dicapai pada 4 Mac 2024.
  20. ^ "What Does it Take to be an AKC Registered Breed?". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 Mac 2024.
  21. ^ "Recognition of new breeds". The Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 19 Julai 2010. Dicapai pada 4 Mac 2024.
  22. ^ Alderton, David (2006). Top to Tail: The 360 Degree Guide to Picking Your Perfect Pet (dalam bahasa Inggeris). David & Charles. m/s. 110. ISBN 978-0-7153-2589-6.
  23. ^ Wentworth (1911): hlm. 67
  24. ^ Gough, Alex; Thomas, Alison (2010). Breed Predispositions to Disease in Dogs and Cats (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-2). Wiley-Blackwell. m/s. 89. ISBN 978-1-4051-8078-8.
  25. ^ Paradis, M; de Jaham C; Page N; Sauve F; Helie P (April 2005). "Acral mutilation and analgesia in 13 French spaniels". Veterinary Dermatology (dalam bahasa Inggeris). Jabatan Sains Klinikal, Universiti Montreal. 16 (2): 87–93. doi:10.1111/j.1365-3164.2005.00443.x. PMID 15842538.

Umum[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]