Spaniel Tibet

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Spaniel Tibet
Negara asalTibet, China[1]
Trait
Berat 9–15 lb (4.1–6.8 kg)
Tinggi 10 in (25 cm)
Warna Semua warna anjing
Anjing (Canis lupus familiaris)

Spaniel Tibet[a] ialah satu baka anjing tegas dan kecil yang berasal dari Tibet. Baka ini bukan spaniel dengan erti asli istilah tersebut; baka ini berbeza daripada spaniel lain, dan tidak seperti spaniel benar, merupakan gundog, spaniel Tibet ialah anjing teman. Nama spaniel mungkin telah diberikan kerana keserupaannya dengan versi anjing riba yang dikecilkan bagi spaniel pemburu, seperti cavalier King Charles spaniel.

Perihal[sunting | sunting sumber]

Penampilan[sunting | sunting sumber]

"Spaniel Tibet sabel berwarna-warni"
Spaniel Tibet berwarna-warni

Spaniel Tibet mempunyai kepala berkubah yang kecil berbanding dengan tubuhnya. Ia mempunyai muncung tumpul pendek yang bebas daripada kedutan. Giginya beroklusi sama ada dengan rahang pendek atau gigitan hujung dengan hujung. Hidungnya hitam. Matanya bersaiz sederhana, terpisah dengan lebar, dan berbentuk bujur. Spaniel Tibet tidak mempunyai kulit tambahan di sekeliling mata; ini membantu untuk membezakan baka ini daripada anjing Peking. Telinganya tergantung ke bawah di kedua-dua sisi kepala ke paras pipi dan berjumbai dengan bentuk v. Lehernya dilitupi dengan surai bulu yang lebih ketara pada jantan baka ini. Tungkai hadapan spaniel Tibet sedikit melengkung dan kakinya "mirip kelinci". Anjing ini mempunyai ekor berjumbai besar yang terletak tinggi-tinggi dan terangkat ke atas belakangnya. Lapis bulunya ialah lapis bulu ganda sutera yang terletak merata dan pendek dan licin pada muka dan bahagian hadapan tungkai; lapis bulunya sederhana panjang pada tubuh dan mempunyai jumbai pada telinga, jari kaki, dan ekor.

Spaniel Tibet terdapat dengan semua warna dan dapat berwarna padu, berlorek, dan berbilang warna. Warna yang terlihat merupakan merah, perang kekuning-kuningan, emas, putih, krim, hitam dan sawo matang, dan berwarna-warni. Kerap terdapat tanda-tanda putih pada kaki. Mengikut piawaian baka AKC,[2] baka ini membesar sehingga kira-kira setinggi 10 in (25 cm) pada rasa bahu dan beratnya ialah 9–15 lb (4.1–6.8 kg). Spaniel Tibet lebih besar sedikit kerap dapat ditemukan di luar gelanggang pertunjukan.

Perangai[sunting | sunting sumber]

Spaniel Tibet adalah sangat ingin tahu

Spaniel Tibet ialah baka sosial yang memerlukan hubungan tetap dengan manusianya. Ia tidak bergerak balas dengan baik jika ditinggalkan bersendirian untuk jangka masa lama. Setelah dikembangkan sebagai anjing pendamping oleh sami Tibet, ia beremosi dan berempati terhadap keperluan pemiliknya.

Ada kepentingan untuk mensosialisasi spaniel Tibet pada usia awal terhadap pelbagai orang dan situasi. Ia bersikap pelindung bagi keluarganya. Walaupun selepas sosialisasi, ia biasanya menyendiri terhadap orang asing. Jika terkejut atau gelisah, spaniel Tibet meluahkan ketidakpercayaannya dengan salakan amaran lantang. Walaupun benar-benar setia kepada ahli keluarganya, spaniel Tibet sangat berdikari[3] dan degil[4] dengan kecenderungan untuk merayau-rayau dan meneroka berbanding dengan datang apabila dipanggil. Kualiti ini—tegas, berdikari, dan berwaspada—merupakan perangai piawai yang disyaratkan oleh kedua-dua piawaian baka AKC dan FCI.[1]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Tibet[sunting | sunting sumber]

Fotograf spaniel Tibet - 1899

Anjing biara kecil, yang dianggap[nyatakan menurut siapa?] sebagai wakil awal bagi spaniel Tibet, setia di belakang tuannya Lama dan dianggap sebagai "Singa Kecil" kerana keserupaannya dengan Singa Salji—suatu variasi bagi singa penjaga China—yang memberinya nilai dan prestij tinggi.[perlu rujukan] Amalan pengiriman anjing sebagai hadiah ke istana di China dan di negara-negara lain beragama Buddha berkembang dengan ketara dan lebih banyak "anjing singa" dipersembahkan kembali ke Tibet yang berterusan sehingga selewat tahun 1908. Sebagai hasil daripada pertukaran spaniel Tibet antara istana dengan biara, baka ini berkemungkinan mempunyai leluhur bersama dengan baka-baka Oriental seperti chin Jepun dan anjing Peking.[perlu rujukan]

Bukan sahaja spaniel Tibet dihargai sebagai haiwan peliharaan dan teman, tetapi ia juga anggota berguna dalam kehidupan biara Tibet. Anjing kecl ini duduk di dinding biara sambil mengawasi kawasan desa. Penglihatan tajam dan keupayaan untuk melihat jarak jauh menjadikannya anjing pengawas cemerlang. Ia menyalak untuk memberikan amaran kepada para sami dan mastif Tibet di bawah. Selain berfungsi sebagai peninjau, spaniel Tibet dilatih untuk memutarkan roda sembahyang sami. Ia juga tidur dengan para sami pada waktu malam untuk memberikan kehangatan.[5]

Spaniel Tibet baka kampung sangat berbeza dari segi saiz dan jenis dan anak anjing lebih kecil biasanya diberikan sebagai hadiah kepada pihak biara. Sebaliknya, anjing lebih kecil yang digunakan dalam program pembiakbakaan biara barang kali digabungkan dengan anjing jenis spaniel Tibet lebih anggun yang dibawa dari China. Anjing-anjing yang dibiakbakakan lebih dekat dengan sempadan China bercirikan muncung lebih pendek.

Dunia Barat[sunting | sunting sumber]

Spaniel Tibet sedang dibiakbakakan di United Kingdom pada tahun 1890-an. Rujukan sahih pertama yang ditemukan kepada spaniel Tibet di Amerika Syarikat ialah perinduk yang lahir daripada dua ekor anjing import dari sebuah biara Tibet pada tahun 1965. Pada Januari 1971, Tibetan Spaniel Club of America dibentuk dengan 14 orang anggota piagam. Sebuah pejabat pendaftaran sekunder terbuka dikekalkan. Selepas tempoh dalam kelas-kelas Lain-lain, spaniel Tibet diterima untuk pendaftaran AKC dan menjadi layak untuk bertanding sebagai baka Bukan Sukan, berkuat kuasa 1 Januari 1984. Baka ini diiktiraf oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa pada tahun 1987 dan ditempatkan dalam Kumpulan 9 Anjing Teman dan Mainan, Seksyen 5: Baka Tibet.[6]

Kesihatan[sunting | sunting sumber]

Sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 mendapati jangka hayat sebanyak 15.2 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[7]

Atrofi retina progresif[sunting | sunting sumber]

Atrofi retina progresif ialah penyakit genetik yang dapat berlaku pada baka ini. Penyakit ini ialah bentuk terwaris bagi kebutaan pada anjing yang wujud dalam dua bentuk: PRA menyeluruh dan PRA pusat. PRA menyeluruh terutamanya ialah penyakit fotoreseptor dan merupakan bentuk yang terdapat pada spaniel Tibet. Tanda-tanda klinikal telah diperhatikan pada usia antara 1½ tahun dengan 4 tahun, tetapi juga selewat usia tujuh tahun. Penyakit ini tidak menyakitkan dan anjing terjejas menjadi buta sepenuhnya. Buat masa ini, tiada rawatan, tetapi anjing terjejas pada umumnya menyesuaikan diri dengan baik terhadap kebutaan progresif.

Tanda klinikal terawal bagi atrofi retina progresif ialah "rabun malam". Anjing berkenaan tidak dapat melihat dengan baik di dalam bilik malap atau pada waktu senja. Anjing berkenaan akan menunjukkan keengganan untuk bergerak dari kawasan bercahaya ke persekitaran lebih gelap. Rabun malam berkembang secara progresif menjadi kebutaan penuh. Institusi British Animal Health Trust (AHT) membaktikan penyelidikan intensif untuk PRA pada spaniel Tibet dengan mengasingkan gen bertanggungjawab. Mutasi itu dikenal pasti oleh Louise Downs, sebagai sebahagian daripada pengajian PhD beliau. Ujian DNA berdasarkan mutasi ini menjadi tersedia pada 8 Julai 2013.[8]

Pembiak baka bertanggungjawab sedang bekerja keras untuk membasmi PRA dalam baka ini. Buat masa ini, International Tibetan Spaniel Working Party[9] mengumpulkan data kesihatan termasuk sejarah PRA.

Pirau portosistemik[sunting | sunting sumber]

Spaniel Tibet di dalam salji

Pirau portosistemik ialah pembuluh abnormal yang membolehkan darah memintas hati, salah satu penapis badan, supaya darah tidak dibersihkan. Keadaan jarang ini pada spaniel Tibet kerap dirujuk sebagai "pirau hati".

Kebanyakan pirau menyebabkan gejala yang dapat dicam semasa anjing berkenaan merupakan dewasa muda tetapi kadang-kadang didiagnosis hanya di kemudian hari. Memandangkan keparahan keadaan dapat berbeza-beza secara meluas bergantung pada jumlah aliran darah yang terlencong melepasi hati, ada kemungkinan untuk banyak variasi dari segi tanda-tanda klinikal dan masa permulaan. Selalunya, keadaan ini dicam selepas anak anjing gagal membesar, lalu membolehkan diagnosis awal. Tanda-tanda pirau portosistemik termasuk kenaikan berat lemah, kepekaan terhadap sedatif (terutamanya diazepam), kemurungan, penolakan kepala terhadap objek pepejal, sawan, kelemahan, peliuran, muntah, kurang selera makan, peningkatan minum dan kencing, masalah keseimbangan, dan penyakit salur kencing kerap atau permulaan awal batu pundi kencing. Peningkatan dramatik bagi tanda-tanda ini selepas makan ialah tanda sokongan kuat bagi pirau portosistemik.

Isu lain[sunting | sunting sumber]

Seperti banyak baka anjing, spaniel Tibet rentan terhadap alahan. Ia juga dapat mengalami mata ceri, iaitu kelopak mata ketiga terprolaps. Selain itu, rupa bentuk muka spaniel Tibet menjadikannya terdedah kepada keadaan kosmetik umum yang dipanggil mata menangis.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: سڤانيئل تيبيت; bahasa Inggeris: Tibetan spaniel

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b "FCI-Standard N° 231 TIBETAN SPANIEL" [Piawaian FCI No. 231 Spaniel Tibet] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). 24 Jun 2015. Dicapai pada 22 Januari 2024.
  2. ^ "AKC Tibetan Spaniel Breed Standard" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Februari 2015. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  3. ^ "Tibetan Spaniel | Dog Breed Info, Temperament, Special Needs". petonbed.com (dalam bahasa Inggeris). 8 September 2020.
  4. ^ Coile, D. Caroline (1998). Encyclopedia of dog breeds (dalam bahasa Inggeris). Hauppauge, New York, Amerika Syarikat: Barron's Educational Series. ISBN 9780764150975.
  5. ^ The Tibetan Spaniel - A Complete Anthology of the Dog (dalam bahasa Inggeris). Vintage Dog Books. 2010. m/s. 20. ISBN 978-1445526737.
  6. ^ Group 9, Section 5 (Inggeris) Diarkibkan 23 Ogos 2008 di Wayback Machine, Persekutuan Kinologi Antarabangsa
  7. ^ McMillan, Kirsten M.; Bielby, Jon; Williams, Carys L.; Upjohn, Melissa M.; Casey, Rachel A.; Christley, Robert M. (1 Februari 2024). "Longevity of companion dog breeds: those at risk from early death". Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). Springer Science and Business Media LLC. 14 (1). doi:10.1038/s41598-023-50458-w. ISSN 2045-2322. PMC 10834484 Check |pmc= value (bantuan).
  8. ^ Downs, Louise M.; Mellersh, Cathryn S. (4 April 2014). "An Intronic SINE Insertion in FAM161A that Causes Exon-Skipping Is Associated with Progressive Retinal Atrophy in Tibetan Spaniels and Tibetan Terriers". PLOS ONE (dalam bahasa Inggeris). 9 (4): e93990. Bibcode:2014PLoSO...993990D. doi:10.1371/journal.pone.0093990. ISSN 1932-6203. PMC 3976383. PMID 24705771.
  9. ^ "International Tibetan Spaniel Working Party" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Ogos 2013.
  • Miccio, Susan W. The Tibetan Spaniel: A Gift From The Roof of the World (Inggeris), OTR Publications, 1995. ISBN 0-940269-12-0

Pautan luar[sunting | sunting sumber]