Sri Patani

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Meriam agung di hadapan bangunan Kementerian Pertahanan Thailand.

Sri Patani (Jawi: ‏سري ڤطاني‎‎, Bahasa Thai: ศิริปัตตานี) atau Phaya Tani (bahasa Thai: พญาตานี) merupakan sebuah meriam pengepungan yang berasal daripada Patani di selatan Thailand. Sri Patani merupakan meriam yang terbesar dan termasyur pernah dibina di Dunia Melayu, berukuran 9 kaki (2,7 meter) dan diperbuat daripada loyang. Ia kini dipamerkan di hadapan bangunan Kementerian Pertahanan Thailand setentang hadapan pekarangan Istana Perama di Bangkok. Sehingga kini, meriam ini masih menjadi simbol Wilayah Patani.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sebagai tindak balas berikutan khabar angin akan serangan Siam ke atas Patani, Raja Kerajaan Melayu Patani pada waktu itu iaitu Ratu Biru (1616-1624) telah menugaskan seorang lelaki Cina-Islam yang bernama Tok Kayan (林 道乾 Lim To Khiam) untuk mengetuai pembinaan meriam-meriam kerajaan.[1] Satu lagi dongeng berkenaan pembuatannya ialah pakarnya berasal dari Turki. Tiga buah meriam telah dibina iaitu Sri Patani, Sri Nagara dan Mahalela. Sri Patani dan Sri Nagara mempunyai saiz yang sama manakala Mahalela pula lebih kecil iaitu hanya sepanjang 5 hasta 1 jengkal. Dan meriam Seri Nagara dan Seri Patani ini adalah meriam yang terbesar di Asia Tenggara. Meriam-meriam ini telah berjaya menyekat empat kali serangan Siam ke atas Patani iaitu pada tahun 1603, 1632, 1634 dan 1638.

Selepas kejatuhan Ayutthaya pada 1767, kerajaan Patani di bawah pemerintahan Sultan Muhammad (1776-1786) telah cuba untuk membebaskan diri daripada ancaman Thai (yang telah mengalahkan kerajaan Siam di Ayutthaya). Bagaimanapun, pada 1785 pasukan tentera Kerajaan Rattanakosin di bawah kepimpinanan Panglima Phraya Kalahum telah berjaya menewaskan Patani. Dua buah meriam besar iaitu Sri Patani dan Sri Nagara telah diambil sebagai rampasan perang, bagaimanapun Sri Nagara telah jatuh ke dalam laut di Kuala Patani semasa hendak dipindahkan ke dalam kapal. Meriam Mahalela pula telah menghilang tanpa dapat dikesan.

Bendera Wilayah Pattani yang terpampang meriam Sri Patani.

Pada 1787, Raja Rama I telah mengarahkan pembinaan meriam yang sebesar Sri Patani yang dinamakan sebagai Narai Sanghan (Bahasa Thai: นารายณ์สังหาร, "Narayana Pembunuh") bagi diletakkan bergandingan dengan meriam Sri Patani yang ditawan.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Buku: Sejarah Kerajaan Melayu Patani oleh Ibrahim Shukri

Pautan luar[sunting | sunting sumber]