Stadium Sultan Mohammed Ke IV

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Stadium Sultan Muhammad IV
Sultan Mohammed IV Stadium
Lokasi Kota Bharu, Kelantan, Malaysia
Koordinat Koordinat: 6°07′26″N 102°14′37″E / 6.123839°U 102.24356°T / 6.123839; 102.24356
Dibina 1967
Dibuka 1967
Diubahsuai 2011[1]
Pengendali Perbadanan Stadium Kelantan
Permukaan Padang rumput
Papan mata Papan markah elektronik
Kapasiti 30,000
Dimensi padang 119 x 100 meter
Penyewa
Persatuan Bola Sepak Kelantan

Stadium Sultan Mohammed IV merupakan salah sebuah stadium yang terdapat di negeri Kelantan. Stadium ini mampu menampung sehingga 30,000 orang penonton. Ia terletak di Jalan Doktor, Kota Bharu.

Stadium Sultan Mohammed IV telah dibina pada tahun 1967 bertujuan bagi menyediakan tempat untuk menjalankan aktiviti sukan Negeri Kelantan, terutamanya sebagai padang bola sepak negeri. Ia dibina di atas tapak padang bola sepak Persatuan Bola Sepak Kelantan yang terletak di tengah pusat bandar Kota Bharu, bersebelahan dengan pejabat Kerajaan seperti Hospital Raja Perempuan Zainab II, Pejabat Kontinjen Polis Kelantan dan Pejabat Majlis Perbandaran Kota Bharu. Pada masa itu, ia merupakan sebuah stadium terbesar di Pantai Timur Semenanjung dengan muatan tempat duduk seramai 30,000 orang dan padang bolanya memenuhi piawaian keluasan padang yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara iaitu berukuran 119 meter panjang dan 100 meter lebar.

Selain dari kemudahan permainan bola sepak, kompleks stadium ini juga menyediakan gelanggang tenis, trek balapan, kemudahan sukan, kemudahan perniagaan untuk disewakan seperti, gudang, ruang pejabat, tapak ekspo, kios dan tandas awam. Ia juga menyediakan kemudahan tempat riadah seperti kawasan permainan kasut roda dan surau.

Stadium Sultan Mohammed Ke IV pada awal penubuhannya diuruskan oleh Persatuan Stadium Kelantan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Negeri Kelantan dan dianggotai oleh seramai 30 orang ahli terdiri dari kakitangan Kerajaan dan juga wakil persatuan sukan.

Stadium Sultan Muhammad Ke-IV merupakan gelanggang tuan rumah bagi pasukan bola sepak Kelantan FA, setiap kali perlawanan melibatkan pasukan Kelantan bertemu lawan di stadium keramat ini, stadium sentiasa penuh dengan penyokong-penyokong fanatik Kelantan FA. Oleh itu Stadium ini telah digelar sebagai Stadium Pahlawan Merah oleh penyokong-penyokong fanatik Kelantan FA.

Papan Markah Elektronik[sunting | sunting sumber]

Papan markah elektronik yang dipasang di stadium ini digunakan pertama kali semasa perlawanan antarabangsa peringkat Suku Akhir Piala AFC antara Kelantan FA menentang kelab Iraq, Arbil SC. Papan markah yang bernilai RM2.3 juta itu adalah sumbangan Jabatan Perdana Menteri selaras janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membantu kemajuan bola sepak Kelantan. Papan markah yang menggunakan teknologi terkini yang diimport dari Jepun ini adalah papan markah elektronik yang terbaik di negara ini, malah ia lebih bagus berbanding yang ada di Stadium Nasional Bukit Jalil.[2]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Stadium The Red Warriors dibaiki, Kosmo! Online, 16 Jan 2011
  2. Papan markah elektronik baru, Utusan Malaysia, 24 Sept 2012