Siti Hartinah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Suhartinah Suharto)

Siti Hartinah
Wanita Pertama Indonesia kedua
Dalam jawatan
12 Mac 1967 – 28 April 1996
Didahului olehFatmawati
Digantikan olehSiti Hardiyanti Rukmana (pemangku)
Hasri Ainun Habibie
Butiran peribadi
Lahir23 Ogos 1923
Hindia Timur Belanda Jaten, Surakarta, Jawa Tengah
Meninggal duniaApril 28, 1996(1996-04-28) (umur 72)
Indonesia Jakarta, Indonesia
PasanganSoeharto
Anak-anakSiti Hardiyanti Hastuti[1]
Sigit Harjojudanto
Bambang Trihatmodjo
Siti Hediyati Hariyadi
Hutomo Mandala Putra
Siti Hutami Endang Adiningsih
HubunganSoeharto (Suami)

Raden Ayu Siti Hartinah (23 Ogos 1923 - 26 April 1996) ialah isteri Presiden Soeharto, presiden Indonesia yang kedua, serta juga pahlawan nasional Indonesia. Nama panggilannya "Ibu Tien". Namun Saat menjadi Wanita Pertama Indonesia dia meninggal dunia saat suaminya Soeharto masih menjabat.

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Ibu Tien Soeharto dan suami.

Dilahirkan di Desa Jaten, Surakarta kepada KPH Soemohardjoo dan Raden Ayu Hatmanti Soemohardjo, Siti Hartinah merupakan anak kedua antara sepuluh orang adik beradik. Sebagai keturunan Pangeran Mangkunagara III yang keempat., beliau juga merupakan seorang bangsawan.

Masa kecil Siti Hartinah diwarnai dengan berpindah-pindah tempat tinggal mengikuti bapanya yang bertugas sebagai seorang pegawai rendah dalam perkhidmatan awam. Ketika berumur tiga tahun, bapanya dipindahkan ke Jumapolo, sebuah kota kecamatan di Karanganyar, sekitar 26 kilometer dari Kota Solo. Di kota ini, Siti Hartinah nyaris-nyaris dikorbankan oleh wabak disenteri yang melanda Jumapolo. Sebagai tempat yang terpencil, Jumapolo tidak memiliki sebarang kemudahan perubatan, mahupun jururawat. Oleh itu, Siti Hartinah terpaksa menunggu nasib kerana tiada orang lain yang berani mendekatinya kecuali kedua-dua orang tuanya. Walaupun demikian, beliau pulih daripada penyakitnya.

Ketika berumur lima tahun, bapa Siti Hartinah dipindahkan ke Matesih, Kabupaten Karanganyar di kaki Gunung Lawu. Di sinilah, Siti Hartinah memulakan pendidikan formalnya di sebuah sekolah rendah yang hanya menawarkan dua tahun pendidikan.

Abdul Rachman, sahabat bapa Siti Hartinah, hendak mengambil anak angkat kerana walaupun beliau sudah berumah tangga, namun beliau tidak mempunyai anak. Pilihannya jatuh pada Siti Hartinah. Meskipun berat hati, selepas dirundingkan, akhirnya Siti Hartinah mengikut keluarga barunya ke Kota Solo. Di sana, beliau menyertai Sekolah Hollandsch-Inlandsche (HIS), sebuah sekolah elit yang mengamalkan sistem pendidikan Belanda.

Sayangnya, baru setahun selepas bersama dengan keluarga Abdul Rachman yang begitu menjaganya, Siti Hartinah terpaksa kembali ke keluarga ibu bapa kandungnya kerana menghidap penyakit cacar yang sangat merisaukan. Semasa itu, bapanya sudah berpindah dari Matesih ke Kerjo. Selepas sembuh, Siti Hartinah kembali bersekolah di sebuah sekolah rendah yang ada di desa itu.

Semasa di Kerjo, bapa Siti Hartinah dinaikkan pangkat menjadi wedana. Pada tahun 1933 ketika berusia 10 tahun, Siti Hartinah berpindah sekali lagi bersama-sama keluarganya ke Wonogir dan di sana, menyertai Darjah 3 di HIS.

Siti Hartinah berjaya menyelesaikan persekolahannya di HIS, tetapi tidak dapat melanjutkan pendidikannya. Ayahnya menjadi wedana Wonogiri hanya selama lima tahun dan kemudian dipindahkan menjadi wedana Wuryantoro. Dua tahun kemudian, beliau pun bersara. Oleh itu, Siti Hartinah menghabiskan masanya untuk membuat batik, dengan hasilnya dijual untuk membiayai kursus menaip serta ilmu trengkas.

Tentera Puteri Indonesia[sunting | sunting sumber]

Selepas Pengisytiharan Kemerdekaan Republik Indonesia diumumkan, rakyat Solo dengan segeranya bersiap sedia untuk mendukung kemerdekaan, termasuk kaum-kaum wanita. Pada 11 Oktober 1945, Tentera Puteri Indonesia (LPI) ditubuhkan dan Siti Hartina turut menyertai pertubuhan bersenjata ini. Mereka dilatih oleh askar-askar batalion yang dipimpin oleh Mejar Suharto, dengan senjata dibekalkan oleh batalion tersebut. Walaupun demikian, LPI bertujuan untuk merupakan sebuah pasukan bantuan yang melayani kepentingan pasukan barisan depan dan belakang demi kejayaan perjuangan. LPI menyelenggarakan dapur-dapur umum dan memberikan perkhidmatan perawatan di medan pertempuran dan di markas-markas pertempuran, antara lain. Namun Siti Hartinah tidak pernah berada di barisan depan pertempuran, tetapi mengendalikan urusan perlengkapan atau logistik. Jumlah anggotanya yang bermula dengan 150 orang kemudian bertambah menjadi 200 orang.

Walaupun LPI memberikan sumbangan yang agak besar dalam perjuangan mempertahankan kemerdekaan, namun kewujudannya tidak dapat bertahan lama, dan LPI kemudian dibubarkan pada akhir tahun 1946 atas peraturan pemerintah yang hendak merasionalkan ketenteraan bersenjata.

Anggota-anggota LPI mengambil jalan masing-masing, tetapi banyaknya daripada mereka menyertai markas pertempuran. Siti Hartinah yang memiliki semangat perjuangan yang kuat menyertai Tentera Rakyat Indonesia dan bertugas di bahagian kewangan. Walaupun demikian, tugasnya tidak tertumpu kepada pengelolaan kewangan seperti pengutipan dana dan perbelanjaan, tetapi juga menyediakan keperluan dapur seperti sayur-sayuran, dan sebagainya. Selain itu, Siti Hartinah juga membuat lawatan ke keluarga-keluarga yang ahlinya telah gugur di medan pertempuran.

Perkahwinan[sunting | sunting sumber]

Pada suatu hari, seorang utusan daripada keluarga Prawirowihardjo, bapa angkat Suharto, tiba-tiba mengunjungi rumah Siti Hartinah untuk melamarnya.[2] Pada waktu lamaran, baik Suharto mahupun Siti Hartinah belum saling bertemu. Sebelum lamaran dilakukan, ada kerisauan di hati pemuda Suharto kalau-kalau lamarannya ditolak kerana beliau berasal daripada kalangan orang biasa, sedangkan Siti Hartinah berasal daripada keluarga bangsawan. Bukan satu dua kali, Siti Hartinah mendapat lamaran atau ada pemuda yang cuba mendekatinya, tetapi beliau selalu sahaja menolak. Akan tetapi, ketika yang melamar adalah seorang perwira muda bernama Suharto, beliau sama sekali tidak menunjukkan keberatannya.

Perkahwinan Siti Hartinah dan Suharto diadakan pada 26 Disember 1947. Upacara pernikahan dijalankan dengan amat sederhana. Sambutan pun hanya diterangi lampu lilin yang redup. Malam pertama mereka diwarnai dengan perintah berkurung malam. Setiap orang tidak dibenarkan meninggalkan rumah atau melihat ke luar rumah oleh askar-askar yang berjaga. Dalam keadaan darurat seperti itu, sangat wajarlah jika tidak adanya sebarang gambar foto untuk mengenang-ngenangkan perkahwinan mereka. Ketika itu, Suharto berumur 26 tahun, manakala Siti Hartinah berumur 24 tahun.

Meskipun tanpa melalui sebarang pacaran, Siti Hartinah dan Suharto berupaya mempertahankan perkahwinan mereka sepanjang umur. Mereka dikurniakan dengan enam orang anak, iaitu tiga orang anak lelaki dan tiga anak perempuan, seperti yang berikut:[3]

  • Siti Hardiyanti Hastuti (juga dikenali sebagai Tutut,  lahir 23 Januari 1949)
  • Sigit Harjojudanto (lahir 1 Mei 1951)
  • Bambang Trihatmodjo (lahir 23 Julai 1953)
  • Siti Hediati (lahir 14 April 1959)
  • Hutomo Mandala Putra (juga dikenali sebagai Tommy, lahir 12 Ogos 1962)
  • Siti Hutami Endang Adiningsih (lahir 23 Ogos 1964).

Siti Hartinah meninggal dunia di Jakarta pada 26 April 1996 dan dengan itu, terselamat daripada mengalami penderitaan melihat suaminya dipaksa meletakkan jawatannya sebagai Presiden Indonesia pada 21 Mei 1998. Beliau dimakamkan di Astana Giri Bangun, Jawa Tengah.[4]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Berger, Marilyn (January 28, 2008). "Suharto Dies at 86; Indonesian Dictator Brought Order and Bloodshed". New York Times. Dicapai pada January 30, 2008.
  2. ^ Elson, 23
  3. ^ Elson, 22
  4. ^ Suharmoko, Aditya (March 28, 2008) RI economy may face inflation peril: UN survey. The Jakarta Post

Karya dipetik[sunting | sunting sumber]

  • Suharto: A Political Biography. Robert Edward Elson. Cambridge University Press, 2001. ISBN 0-521-77326-1
  • Siti Hartinah Soeharto : First Lady of Indonesia. Abdul Gafur. PT. Citra Lamtoro Gung Persada, 1992. ISBN unknown
  • Who's Who in Indonesia. Mahiddin Mahmud. Gunung Agung, 1990. ISBN unknown

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Jawatan politik
Didahului oleh
Fatmawati
Wanita Pertama Indonesia
12 Mac 1967-28 April 1996
Diikuti oleh:
Digugurkan sebagai Suharto sebagai janda dan gelaran disandang oleh Hasri Ainun Habibie