Suharto

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Suharto
Suharto

Suharto pada 1993


Tempoh berjawat
12 March 1967 - 21 May 1998
Naib Presiden Hamengkubuwono IX
Adam Malik
Umar Wirahadikusumah
Sudharmono
Try Sutrisno
B. J. Habibie
Didahului oleh Sukarno
Digantikan oleh B. J. Habibie

Tarikh lahir 8 Jun 1921(1921-06-08)
Tempat lahir Kemusuk, Syarikat Hindia Timur Belanda
Meninggal 27 Januari 2008 (umur 86)
Jakarta, Indonesia
Kerakyatan Indonesian
Parti politik Golkar
Pasangan Siti Hartinah (1947–1996)
Agama Islam[1]
Tandatangan Tandatangan Suharto

Jeneral Suharto (lahir: 8 Jun 1921- 27 Januari 2008; nama penuh: Haji Muhammad Soeharto) ialah Presiden Indonesia yang kedua selepas Presiden Sukarno. Nama panggilannya "Pak Harto". Selepas Surat Perintah Sebelas Mac (Supersemar) yang dipertikaikan ramai dikeluarkan oleh Sukarno pada 11 Mac 1966, beliau dilantik sebagai Presiden Sementara dan kemudiannya dilantik sebagai Presiden pada 21 Mac oleh Parlimen Rakyat Sementara (Majelis Permusyawaratan Rakyat Sementara) (MPRS).

Suharto adalah presiden Indonesia yang paling lama memerintah iaitu selama 32 tahun (1966-98). Beliau pernah enam kali lagi dilantik oleh Parlimen Rakyat (MPR) sebagai Presiden Indonesia dari 1973 hingga 1998. Tempoh penggal terakhirnya berakhir sewaktu beliau menarik diri pada 21 Mei 1998 selepas berlakunya Rusuhan Mei 1998.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Dilahirkan di Kemusuk, Argomulyo, Yogyakarta, Suharto bergabung dengan pihak penjajah Belanda dan belajar di sekolahTentera Kerajaan Hindia-Belanda (KNIL). Selama Perang Dunia II, beliau merupakan komandan peleton, kemudian kompi tentera PETA (Pembela Tanah Air) yang didukung oleh pihak Jepun.

Selepas pengisytiharan kemerdekaan oleh Sukarno pada 1945, pasukan Suharto bertempur dengan Belanda yang ingin mengembalikan pemerintahan penjajahan. Beliau dikenali secara meluas dengan serangan tiba-tibanya yang berjaya menguasai Yogyakarta hanya dalam tempoh enam jam saja pada 1 Mac 1949 (lihat Serangan Umum 1 Mac). Peristiwa ini cenderung ditafsirkan sebagai lambang perjuangan bahuwa rakyat Indonesia masih berjaya melawan pihak Belanda. Dalang serangan ini sebenarnya ialah Sri Sultan Hamengkubuwono IX, raja Yogyakarta yang merupakan Gabenor Tentera serta Menteri Pertahanan. Pada tahun berikutnya, iaitu 1950, Suharto bekerja dalam pejabat tentera di Bahagian Diponegoro Jawa Tengah.

Pada 1959, Suharto terlibat dalam penyeludupan dan kesnya hampir dibawa untuk pengadilan tentera oleh Kolonel Ahmad Yani. Atas saranan Jeneral Gatot Subroto saat itu, Suharto dibebaskan dan dipindahkan ke kampus komando Angkatan Darat (SESKOAD) di Bandung, Jawa Barat. Menurut Kolonel Hario Kecik, teman sekerjanya di SESKOAD, Suharto telah mengalami konflik peribadi dengan Kolonel D.I. Panjaitan. Sebelum itu, Suharto menjadi komandan yang mengetuai Komando Kolonel Alex Kawilarang dalam penumpasan pemberontakan di Makassar. Disebabkan kelalaiannya, Suharto telah menimbulkan konflik peribadi dengan Kawilarang sehingga kacau-bilau meletus semula di Makassar.

Pada tahun 1962, Suharto menjadi Mejar Jeneral dan memimpin Komando Mandala yang ditugaskan untuk membebaskan Irian Barat. Selama konfrontasi Indonesia-Malaysia, Suharto ialah komandan Kostrad yang berpejabat di Jakarta. Pada 1965, Angkatan Bersenjata Republik Indonesia, khususnya Angkatan Darat, mengalami konflik dalaman, terutama akibat politik Nasakom. Konflik itu memecahkan Angkatan Indonesia menjadi dua puak, iaitu satu sayap kiri dan satu lagi sayap kanan. Suharto menyertai bahagian sayap kanan.

Suharto berkahwin dengan Siti Hartinah "Ibu Tien" dan mereka dikurniakan enam orang anak, iaitu Siti Hardijanti Rukmana (Tutut), Sigit Harjojudanto, Bambang Trihatmodjo, Titiek, Hutomo Mandala Putra (Tommy), dan Mamiek.

Kebangkitan Suharto[sunting | sunting sumber]

Pada pagi 1 Oktober 1965, beberapa pasukan pengawal presiden Tjakrabirawa di bawah Leftenan Kolonel Untung Sutopo, bersama-sama dengan pasukan-pasukan yang lain, menculik dan membunuh enam orang jeneral. Dalam peristiwa itu, Jeneral A.H. Nasution, yang merupakan Menteri Penyeleras Kementerian Pertahanan dan Keselamatan (HANKAM) serta Ketua Staf Angkatan Bersenjata, dapat melepaskan diri. Oleh sebab Jeneral Suharto tidak disasarkan dalam percubaan kudeta itu, kesangsian tertimbul terhadap adakah beliau terlibat atau tidak dalam peristiwa yang dikenali sebagai G-30-S/PKI itu. Beberapa sumber mengatakan bahawa pasukan-pasukan Tjakrabirawa cuma hendak menghentikan kudeta yang bertujuan untuk menggulingkan Presiden Sukarno pada "Hari ABRI", 5 Oktober 1965. Kudeta itu dikatakan dilaksanakan dengan sokongan CIA oleh badan tentera yang lebih dikenali sebagai "Dewan Jeneral". Menurut versi rasmi pada masa Ketertiban Baru (Order Baru), peristiwa itu ditindak balas dengan segera oleh Suharto dan keamanan Jakarta dapat dipeliharakan, terutamanya selepas mendapat khabar bahawa Leftenan Jeneral Ahmad Yani, Menteri Panglima Angkatan Darat, tidak diketahui di mana. Sebenarnya, hal ini adalah sesuatu yang biasa dalam Angkatan Darat bahawa apabila Panglima Angkatan Darat tidak dapat hadir, maka Panglima KOSTRAD akan menjalankan tugasnya. Tindakan ini diperkukuh lagi dengan turunnya Surat Perintah 11 Mac (Supersemar) daripada Presiden Sukarno yang memberikan kuasa dan mandat kepada Suharto untuk mengambil segala tindakan untuk memulihkan keamanan dan ketertiban. Suharto mengambil langkah-langkah pembubaran Parti Komunis Indonesia (PKI) dengan segera, serta penangkapan sebilangan menteri yang diduga terlibat dalam G-30-S (Gerakan 30 September).

Soeharto.

Menurut pemerhati antarabangsa, tindakan ini ialah satu langkah untuk menyingkirkan Angkatan Bersenjata Indonesia yang pro-Sukarno dan pro-Komunis, khususnya Angkatan Udara Republik Indonesia dan Panglima Angkatan Udaranya, Laksamana Udara Omar Dhani. Akhirnya Sukarno terpaksa menyerahkan kuasa eksekutifnya. Tindakan pembersihan unsur-unsur komunis (PKI) membawa tindakan penghukuman mati terhadap anggota Parti Komunis di Indonesia dan menyebabkan pembunuhan sistematik sekitar 500 ribu "tersangka komunis", kebanyakannya orang awam dan orang Cina Indonesia yang merupakan kaum minoriti. Suharto dikatakan menerima dukungan CIA dalam penumpasan komunis itu. 25 tahun kemudian, diplomat Amerika Syarikat mendedahkan bahawa mereka telah menulis daftar komunis Indonesia dan menyerahkan sebanyak 5,000 nama kepada tentera Indonesia.

Pada tahun 1990, Been Huang, bekas anggota kedutaan politik Amerika Syarikat di Jakarta, berkata: "Itu merupakan suatu pertolongan besar bagi Angkatan Bersenjata. Mereka mungkin membunuh banyak orang, dan saya kemungkinan memiliki banyak darah di tangan saya, tetapi tidak seburuk itu. Ada saatnya yang anda harus memukul dengan keras pada saat yang tepat." Pada tahun 1965, Howard Fenderspiel, ahli Indonesia di "Biro Perisikan dan Penyelidikan" dalam Jabatan Negara berkata: "Tidak ada yang peduli, selama mereka ialah komunis, mereka dibantai. Tidak ada apa yang dapat dilaksanakan tentang mereka."1

Suharto mengakhirkan konfrontasi dengan Malaysia yang dimulakan oleh Sukarno. Pada 12 Mac 1967, Suharto dilantik menjadi Presiden sementara Indonesia oleh MPRS, parlimen sementara, selepas pertanggungjawaban Presiden Sukarno (NAWAKSARA) ditolak oleh badan itu. Kemudian, pada 21 Mac, beliau dipilih sebagai Presiden secara rasmi untuk tempoh lima tahun. Suharto, secara langsung, memperoleh undi MPR sebanyak 20%. Beliau kemudian mendirikan apa yang dikenali sebagai Order Baru. Indonesia juga menjadi salah satu daripada pengasas ASEAN.

Beberapa pemerhati politik, baik di dalam negeri mahupun di luar, mengatakan bahawa Suharto membersihkan parlimen daripada komunis, menyingkirkan kesatuan sekerja, dan meningkatkan penapisan. Beliau juga memutuskan hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat Cina dan menjalin hubungan dengan negara-negara barat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Suharto menjadi penentu dalam semua keputusan politik.

Jeneral Suharto dikatakan meningkatkan peruntukan belanja untuk tentera dan mendirikan dua badan perisikan, iaitu "Komando Pemulihan Keamanan dan Ketertiban" (Kopkamtib) dan "Badan Penyelerasan Perisikan Nasional" (Badan Koordinasi Intelijen Nasional) (Bakin). Sekitar dua juta orang dihukum mati dalam pembersihan massa dan melebihi 200,000 ditangkap hanya kerana dicurigai terlibat dalam kudeta. Banyak komunis dan yang tersangka komunis, yang disebut sebagai "musuh negara", dihukum mati (meskipun beberapa hukuman ditangguh sehingga 1990).

Diduga bahawa daftar tersangka komunis diberikan oleh CIA kepada Suharto. Sebagai tambahan, CIA mengesan nama dalam daftar ini ketika rejim Suharto mulai mencari mereka. Dukungan daripada Amerika Syarikat untuk rejim Suharto tetap diam sehingga serangan Timor Timur, dan terus berlangsung sehingga akhir 1990-an. Disebabkan kekayaan sumber semula jadinya dan bilangan penduduk yang besar, Indonesia telah dihargai sebagai rakan perdagangan Amerika Syarikat dan begitu juga pengiriman senjata tetapi dipertahankan ke rejim Suharto. Ketika Suharto mengunjungi Washington pada 1995, pentadbiran Clinton disebut oleh New York Times mengatakan bahawa Suharto adalah "orang seperti kita" atau "orang golongan kita".

Puncak Ketertiban Baru[sunting | sunting sumber]

Pada masa pemerintahannya, Presiden Suharto menetapkan pertumbuhan ekonomi sebagai pokok tugas dan tujuan pemerintahnya. Beliau mengambil banyak teknokrat dan ahli ekonomi yang umumnya berpendidikan barat dan liberal yang sebelumnya bertentangan dengan Presiden Sukarno yang cenderung bersifat sosialis. Kebanyakan daripada teknokrat-teknokrat yang diambil oleh Suharto mempunyai kelulusan Universiti Berkeley sehingga mereka lebih dikenali di kalangan Ekonomi, Industri dan Kewangan Indonesia sebagai Mafia Berkeley.

Pada masanya, Indonesia mendapatkan bantuan ekonomi dan kewangan daripada negara-negara penderma (negara-negara maju) yang tergabung dalam IGGI yang ditajai oleh pemerintah Belanda. Namun pada tahun 1992, IGGI dihentikan oleh pemerintah Indonesia kerana dianggap bercampur tangan dalam urusan dalam negeri Indonesia, khususnya dalam kes Timor Timur selepas Peristiwa Dili. Peranan IGGI itu digantikan oleh lembaga penderma CGI yang ditajai oleh Perancis. Selain itu, Indonesia juga mendapat bantuan daripada lembaga antarabangsa lain yang berada di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, seperti UNICEF, UNESCO dan WHO. Namun sayangnya, kegagalan pengurusan ekonomi yang berdasarkan sistem kesan resap-rebak (trickle down effect) yang mementingkan pertumbuhan dan pengelolaan ekonomi pada segelintir kalangan, serta buruknya pengurusan ekonomi perdagangan industri dan kewangan (EKUIN) pemerintahan, menyebabkan Indonesia akhirnya bergantung kepada penderma-penderma antarabangsa, terutama selepas Krisis Kewangan Asia 1997.

Dalam bidang ekonomi, pengeluaran beras Indonesia telah mencapai mampu diri pada tahun 1984. Kemajuan ekonomi Indonesia pada saat itu mencapai prestasi yang menyebabkannya dimasukkan dalam negara yang mendekati negara-negara Industri Baru, bersama-sama dengan Malaysia, Filipina dan Thailand, selain Singapura, Taiwan dan Korea Selatan. Bagaimanapun, prestasi itu tidak dapat dipertahankan pada tahun-tahun berikutnya.

Dalam bidang politik, Presiden Suharto menggabungkan parti-parti politik supaya tertinggal tiga buah parti politik yang besar, iaitu Parti Persatuan Pembangunan (PPP), Golongan Karya (Golkar) dan Parti Demokrasi Indonesia (PDI) dalam usahanya untuk menyederhanakan politik di Indonesia. Sebelum itu, Presiden Sukarno telah mengamalkan sistem parti berbilang yang mengakibatkan kejatuhan kabinet dan dianggap oleh Suharto sebagai penghalang pembangunan. Kemudian, Suharto mengeluarkan Pancasila, sebuah undang-undang politik dan asas tunggal, yang mewarnai politik pada saat itu. Namun dalam pelaksanaannya, tertimbulnya ketidakseimbangan dalam politik Indonesia di mana istilah "majoriti tunggal" termuncul. GOLKAR menjadi parti utama dan kedua-dua parti politik yang lain itu dikembirikan dalam setiap pemilihan raya umum. Walaupun berbagai-bagai ketidakpuasan termuncul, ia dapat diredam oleh sistem pada masa itu.

Seiring dengan naik taraf pendidikan pada masa pemerintahannya kerana pertumbuhan ekonomi, termuncullah berbagai-bagai kritik dan ketidakpuasan terhadap ketidakseimbangan dalam pembangunan dari segi ekonomi, sosial dan politik. Pengkritik-pengkritiknya menuntut perbaikan.

Tindakan Orde Baru yang menindas[sunting | sunting sumber]

Soeharto dengan William Cohen

Presiden Suharto memulakan penekanannya terhadap kaum Cina kerana tuduhan simpati mereka terhadap pihak komunis. Beliau melarang penggunaan tulisan bahasa Cina, dan menutup semua pertubuhan Cina.

Pada tahun 1970 Suharto melarang bantahan pelajar selepas tunjuk perasaan yang meluas terhadap rasuah. Sebuah suruhanjaya mendapati bahawa rasuah sangat umum. Suharto bersetuju dengan hanya dua kes, dan kemudian menutup suruhanjaya tersebut. Rasuah kemudian merebak.

Suharto memerintah melalui pengawalan tentera dan penapisan media massa. Beliau menguasai kewangan dengan memberikan urus niaga yang mudah dan monopoli kepada saudara-saudaranya, termasuk enam orang anaknya. Suharto juga memainkan puak-puak tentera melawan antara satu sama lain, dimulai dengan mendukung kelompok Nasionalis dan kemudiannya mendukung unsur-unsur Islam.

Pada 1973, Suharto memenangi pemilihan raya umum dan dipilih kembali pada 1978, 1983, 1988, 1993, dan 1998. Beliau mengubah Undang-undang Pemilihan Raya Umum dengan mengizinkan hanya tiga buah parti yang boleh menyertai pemilihan, termasuk partinya sendiri, Golkar. Oleh kerana itu, semua parti Islam yang ada diharuskan bergabung menjadi Parti Persatuan Pembangunan, sementara parti-parti bukan Islam (Katolik dan Protestan) serta parti-parti nasionalis digabungkan menjadi Parti Demokrasi Indonesia.

Pada 1975, atas permintaan Amerika Syarikat dan Australia, Suharto memerintahkan pasukan Indonesia memasuki Timor Timur, bekas jajahan Portugal. Setelah Portugal bermundur, gerakan Fretilin telah memegang kuasa dan menimbulkan kekacauan dalam masyarakat Timor Timur sendiri. Amerika Syarikat berasa khuatir atas permintaan campur tangan Kesatuan Soviet oleh Fretilin. Kemudian, pemerintahan Timor Timur yang menyokong persepaduan dipasang oleh Indonesia meminta wilayah tersebut bersepadu dengan Indonesia. Pada 15 Julai 1976, Timor Timur menjadi sebuah wilayah Indonesia sehingga dialihkan ke PBB pada tahun 1999.

Rasuah menjadi beban berat pada 1980-an. Pada 5 Mei 1980, sebuah kelompok yang lebih dikenali sebagai Petisyen 50 menuntut kebebasan politik yang lebih besar. Kelompok ini terdiri daripada anggota tentera, politik, akademik, dan mahasiswa. Media Indonesia menapiskan beritanya dan pemerintah menangkap penandatangannya. Pada tahun 1984, selepas kelompok ini menuduh bahawa Suharto menciptakan negara satu parti, beberapa pemimpinnya dipenjarakan.

Catatan hak asasi manusia Soeharto juga semakin buruk dari setahun ke setahun. Pada 1993, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB mendedahkan pelanggaran hak-hak asasi manusia yang serius di Indonesia dan di Timor Timur. Presiden Amerika Syarikat Bill Clinton mendukung resolusi tersebut.

Pada 1996, Suharto berusaha menyingkirkan Megawati Soekarnoputri daripada pimpinan Parti Demokrasi Indonesia (PDI), salah satu dari tiga parti rasmi. Pada bulan Jun, penyokong Megawati menduduki ibu pejabat parti tersebut. Setelah pasukan keamanan menahan mereka, rusuhan di Jakarta itu tamat pada 27 Julai 1996 (peristiwa Sabtu Kelabu) yang dikenal sebagai "Peristiwa Kudatuli" (Rusuhan Dua Tujuh Julai).

Suharto turun dari takhta[sunting | sunting sumber]

Pada 21 Mei 1998, setelah tekanan politik besar dan beberapa tunjuk perasaan, para pendukung revolusi mendapatkan hadiahnya: Suharto mengumumkan kemundurannya di TV Indonesia

Pada 1997, menurut Bank Dunia, 20 - 30% daripada bantuan pembangunan Indonesia telah disalahgunakan selama bertahun-tahun. Krisis Kewangan Asia 1997 tidak membawa hal yang baik kepada pemerintahan Presiden Suharto ketika beliau terpaksa meminta pinjaman. Permintaan itu bererti pemeriksaan yang menyeluruh dan terperinci oleh Tabung Kewangan Antarabangsa.

Meskipun Suharto menyatakan bahawa beliau tidak ingin dicalonkan kembali sebagai Presiden untuk tempoh 1998-2003, terutama pada upacara Golongan Karya, Suharto tetap memastikan bahawa beliau dipilih kembali oleh parlimen buat kali ketujuh pada Mac 1998. Setelah beberapa tunjuk perasaan, rusuhan, tekanan politik dan tentera, Presiden Suharto mengundurkan diri pada 21 Mei 1998 untuk mengelakkan perpecahan dan ketidakstabilan di Indonesia. Pemerintahannya dilanjutkan oleh Naib Presiden Republik Indonesia, B.J. Habibie.

Dalam pemerintahannya yang berlangsung selama 32 tahunnya, telah terjadi penyalahgunaan kuasa, termasuk rasuah dan pelanggaran hak asasi manusia. Hal-hal itu merupakan salah satu faktor yang mengakhirkan era Suharto.

Meninggal dunia[sunting | sunting sumber]

Akhbar Malaysia turut membuat litupan di atas kematian Suharto yang dianggap seseorang yang merendah diri dan tidak pernah membina tugu atau taman atas namanya sendiri.

Bekas Presiden Indonesia ini akhirnya menyahut seruan Illahi pada 27 Januari 2008 jam 13.10 waktu Indonesia bahagian Barat, setelah terlantar sakit dan disorong tarik ke bilik rawatan rapi di Hospital Pusat Pertamina di Jakarta Selatan. Jantung, paru-paru dan ginjal gagal berfungsi dan pernafasan Allahyarham sepenuhnya bergantung kepada mesin bantuan. Sebagai menghormatinya, Susilo Bambang Yudhoyono mengumumkan Indonesia berkabung selama 7 hari.[2]

Pemimpin-pemimpin dan rakyat Malaysia amat menghormatinya kerana Allahyarhamlah satu-satunya pemimpin Indonesia yang berjaya menamatkan gerakan Ganyang Malaysia yang dilancarkan oleh Sukarno.[3] Sebagai menghargai jasa Allahyarham, turut hadir dimajlis pengkebumiannya ialah bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak. Bagi Mahathir, Allahyarham merupakan sahabat baiknya dan kehilangan beliau amat sukar dicari ganti. Sebagai memperingati pemergiannya, sebuah rancangan FELDA di Selangor telah diabadikan sebagai Felda Suharto sempena lawatan Allahyarham ke rancangan tersebut pada tahun 1977, 12 tahun selepas konfrontasi.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Blum, William. Killing Hope: US Military and CIA Interventions Since World War II, Black Rose, 1998, m.s. 193-198

Nota kaki[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]


Presiden Republik Indonesia   Bendera Republik Indonesia
Sukarno | Suharto | B. J. Habibie | Abdurrahman Wahid | Megawati Sukarnoputri | Susilo Bambang Yudhoyono