Sultan Abdul Hakkul Mubin

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Sultan Abdul Hakkul Mubin merupakan Sultan Brunei ke-13 memerintah dari tahun 1661 hingga tahun 1673. Baginda merupakan putera kepada Pengiran Bendahara Muhammad Panjang [Raja Dungu]. Bonda baginda adalah Pengiran Tuah, puteri kepada Sultan Muhammad Hassan. Sebelum menaiki takhta, baginda dikenali sebagai Pengiran Bendahara Abdul Mubin.

Sepanjang pemerintahan baginda sehingga penghujungnya, terjadinya sebuah peristiwa hitam dalam sejarah Brunei iaitu Perang Saudara.

Perang Saudara (1661 - 1673)[sunting | sunting sumber]

Setelah baginda membunuh Sultan Haji Muhammad Ali, baginda mengisytiharkan diri sebagai Sultan. Namun pengisytiharan ini ditentang oleh Pengiran Muda Muhyiddin yang merupakan menantu sultan Muhammad Ali. Sultan Abdul Hakkul Mubin cuba berdamai dengan Pengiran Muda Muhyiddin dengan menawarkan jawatan tertinggi dalam kerajaan sebagai Pengiran Bendahara. Walaupun tawaran itu diterima, namun Pengiran Muda Muhyiddin dalam diam berazam untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Sultan Abdul Hakkul Mubin demi untuk menuntut bela kematian mertuanya Yaitu Sultan Muhammad Ali.

Pengiran Muda Muhyiddin telah membuat rancangan, dengan memaklumkan kepada Sultan bahawa baginda perlu memindahkan pusat kerajaan dan istana dari Kampong Ayer ke Pulau Chermin kerana suasana yang huru-hara setelah peristiwa pembunuhan itu. Sultan Abdul Hakkul Mubin pun terus berpindah ke Pulau Chermin. Apabila baginda pindah ke Pulau Chermin, dikhabarkan kepada baginda bahawa Pengiran Muda Muhyiddin telah menaiki takhta sebagai Sultan Brunei. Pada ketika itu, Brunei ditabdir oleh dua orang Sultan dan dua bendera Sultan dinaikkan dan dikibarkan, satu di Kampong Ayer dan satu lagi di Pulau Chermin.

Baginda pun murka dan berpendapat bahawa bagindalah yang layak menjadi Sultan kerana bagindalah yang memegang Alat-Alat Adat Istiadat, terutamanya Makhota Kerajaan. Baginda pun memulakan peperangan dengan Sultan Muhyiddin, namun setiap serangan dari Pulau Chermin berjaya dikalahkan oleh pihak Sultan Muhyiddin.

Menurut sumber lain, Sultan Muhyiddin dikatakan pernah meminta pertolongan dari pihak Sulu untuk menggugurkan Sultan Abdul Hakkul Mubin, dan sebagai ganjaran dikatakan baginda menawarkan kawasan Sabah kepada pihak Sulu. Namun, sumber ini tidak begitu diterima oleh pihak Brunei dan Malaysia sewaktu dakwaan Filipina untuk menuntut Sabah sewaktu penubuhan Malaysia.

Setelah 12 tahun berlalu, Sultan Abdul Hakkul Mubin diserang mengejut oleh Sultan Muhyiddin dengan serangan di Pulau Chermin. Sebelum pihak Sultan Muhyiddin sampai ke Pulau Chermin, Sultan Abdul Hakkul Mubin menitahkan supaya semua barang-barang Adat Istiadat termasuklah Mahkota Kerajaan sebagai simbol kekuasaan kerajaan, dimeriamkan ke laut Pulau Chermin. Dikatakan baginda bersumpah kepada mahkota tersebut bahawa sesiapa yang menjumpai mahkota ini maka malapetaka akan menimpa kepada seseorang atau mana-mana kumpulan yang menemuinya.

Satu penumpahan darah berlaku di Pulau Chermin dan akhirnya baginda pun dibunuh oleh Sultan Muhyiddin pada tahun 1673 dan dimakamkan di sana. Baginda diberi jolokan Marhum di Pulau atau Marhum di Seludang.

Melarikan diri ke Sabah[sunting | sunting sumber]

Menurut sumber lain, setelah kalah di Pulau Chermin, baginda tidak dibunuh di sana, namun baginda terpaksa melarikan diri ke Sabah bersama pengikut-pengikut setia baginda ke satu kawasan di pantai Barat Sabah iaitu Kinarut dan mendirikan istana dan negeri di sana dengan dibantu oleh orang Bajau dan Kadazan-Dusun, dan baginda meneruskan serangan ke atas Brunei dari Kinarut selama lebih 10 tahun lagi, tetapi akhirnya baginda kalah di tangan Sultan Muhyiddin.


Penyandang Terdahulu Sultan Brunei
16611673
Penyandang Kemudian
Haji Muhammad Ali Muhyiddin