Sultan Johor

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Johor

Monarki
Negeri/Wilayah
Bendera Sultan Johor.gif
Jata/Lambang Yang Maha Mulia Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Johor


SULTAN IBRAHIM ISMAIL.JPG
Penyandang
Sultan Ibrahim Ismail Ibni Sultan Mahmud Iskandar
sejak 23 Januari 2010
Gelaran: Duli Yang Maha Mulia
Pewaris: Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim Ismail
Raja pertama: Sultan Alauddin Riayat Shah II
Pengasasan: 1528

Sultan Johor (Jawi: "سلطان جوهر") ialah jawatan warisan dan raja pemerintah negeri Johor di Malaysia. Pada zaman lampau, Sultan memiliki kuasa mutlak dan dinasihati seorang bendahara. Pada masa ini peranan Bendahara diambil alih oleh Menteri Besar.

Gelaran rasmi bagi Sultan Johor ialah "Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim"

Peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan[sunting | sunting sumber]

Menurut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor, istilah raja digunakan untuk merujuk kepada pemerintah kerajaan negeri Johor, segala jajahan dan daerah takluknya.[1]

Sultan Johor yang dilantik haruslah dari kalangan berbangsa Melayu dan berdarah raja iaitu berasal dari keturunan pemerintah Johor kini (Dinasti Temenggung) serta beragama Islam. Hal ini juga turut digunapakai untuk pewaris takhta Kesultanan Johor.

Pewarisan Takhta[sunting | sunting sumber]

Dengan tergubalnya Undang-undang Tubuh Kerajaan tersebut, raja yang dilantik haruslah dari kalangan zuriat Sultan Abu Bakar ibni Almarhum Temenggung Daeng Ibrahim. Undang-undang turut menegaskan bahawa perlantikan orang lain selain dari keturunan zuriat Sultan Abu Bakar adalah tidak sah jika masih terdapat zuriat Sultan yang sah dan layak menjadi Sultan. Hal ini diberi pengecualian jika keturunan yang masih ada tidak layak kerana kecacatan besar (gila, buta, bisu) atau mempunyai sifat keji mengikut pandangan hukum syarak.[2]

Undang-undang turut menjelaskan sekiranya tiada langsung zuriat keturunan Sultan Abu Bakar yang layak dilantik oleh raja, maka raja hendaklah dilantik dari keturunan Temenggung Ibrahim itu dari keturunan adik-beradik Sultan Abu Bakar. Jika tiada juga yang layak dari kalangan tersebut, raja hendaklah dilantik dari kalangan keturunan zuriat Temenggung Abdul Rahman daripada keturunan adik-beradik Temenggung Ibrahim. Setiap keturunan itu pula harus dibuktikan mempunyai hubungan darah yang sah dan halal dengan raja-raja tersebut.[3]

Jika tiada juga sebarang orang yang layak untuk dilantik menjadi raja dari kalangan keturunan Sultan Abu Bakar, Temenggung Ibrahim dan juga Temenggung Abdul Rahman, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor memberi tanggungjawab kepada ahli Mesyuarat Kerajaan dan Jumaah Majlis Diraja Johor utuk membuat perlantikan dari kalangan orang biasa yang bukan berdarah raja. Raja yang baharu yang hendak dilantik tersebut haruslah seorang lelaki beragama Islam, berbangsa Melayu, rakyat negeri Johor, cukup umur, individu yang merdeka dan bukan dari kalangan hamba, mempunyai tingkah laku dan budi pekerti yang baik, serta mempunyai ilmu pengetahuan yang luas yang pandai menulis dan membaca.[4]

Lazimnya, sebelum seseorang raja itu mangkat, raja tersebut akan menetapkan penggantinya dahulu. Maka, mengikut Undang-undang Tubuh, orang yang paling layak ditetapkan sebagai pengganti Sultan Johor ialah waris iaitu anak lelaki yang paling tua umurnya.[5] Dia secara rasminya hendakalh digelar sebagai "Tunku Mahkota Johor" dan gelaran ini hanya boleh ada seorang sahaja pada satu-satu masa dan tidak boleh dikongsi atau digunakan oleh anak-anak raja yang lain yang bukan bakal pengganti raja.[6] Walau bagaimanapun, Sultan Johor berhak melantik penggantinya iaitu Tunku Mahkota Johor dari kalangan anak-anak lelaki yang lain yang tidak semestinya paling tua sekiranya dirasakan anak lelaki yang paling tua itu tidak layak mengikut undang-undang.

Jika seseorang pengganti raja itu menaiki takhta apabila raja sebelumnya mangkat dan pengganti itu masih belum berumur 21 tahun (mengikut kalendar Islam), hendaklah Jumaah Majlis Diraja mengadakan seorang pemangku dari kalangan menteri kerajaan yang tidak kira sama ada berdarah raja atau tidak. Tanggungjawab pemangku tersebut akan bertanggungjawab terhadap semua tingkah laku dan perbuatan raja yang belum cukup umur itu. Andainya raja yang belum cukup umur atau pemangku itu sendiri melakukan perkara yang bercanggah dengan undang-undang, pemangku tersebut boleh dipecat dan digantikan.[7]

Senarai Sultan Johor[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Senarai Sultan Johor

Dinasti Warisan Kesultanan Melaka

  1. Sultan Mahmud Shah - (1511 - 1528)
  2. Sultan Alauddin Riayat Shah II (Raja Ali) - (1528 - 1564)
  3. Sultan Muzaffar Shah II - (1564 - 1579)
  4. Sultan Abdul Jalil Shah I - (1579 - 1580)
  5. Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II (Raja Umar) - (1581 - 1597)
  6. Sultan Alauddin Riayat Shah III (Raja Mansur) - (1597 - 1615)
  7. Sultan Abdullah Ma'ayat Shah (Raja Bongsu) - (1615 - 1623)
  8. Sultan Abdul Jalil Shah III (Raja Bujang) - (1623 - 1677)
  9. Sultan Ibrahim Shah - (1677 - 1685)
  10. Sultan Mahmud Shah II (Sultan Mahmud Mangkat Dijulang) - (1685 - 1699)

Dinasti Bendahara Johor

  1. Sultan Abdul Jalil IV (Bendahara Abdul Jalil) - (1699 - 1720)
  2. Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (Raja Kecil) - (1718 - 1722)
  3. Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah - (1722 - 1760)
  4. Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah - (1760 - 1761)
  5. Sultan Ahmad Riayat Shah - (1761 - 1761)
  6. Sultan Mahmud Shah III - (1761 - 1812)
  7. Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah - (1812 - 1819)
  8. Sultan Hussain Shah (Tengku Long) - (1819 - 1835)
  9. Sultan Ali - (1835 - 1877)

Dinasti Temenggung

  1. Dato' Sri Maharaja Temenggung Tun Daeng Ibrahim - (1855 - 1862)
    Tidak memakai gelaran Sultan kerana menghormati Sultan Ali yang masih hidup.
  2. Sultan Abu Bakar - (1862 - 1895)
  3. Sultan Ibrahim - (1895 - 1959)
  4. Sultan Ismail - (1959 - 1981)
  5. Sultan Iskandar - (1981 - 2010)
  6. Sultan Ibrahim Ismail - (2010 - sekarang)

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. "Makna Bagi Perkataan-perkataan", Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895
  2. Fasal 3, Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895
  3. Fasal 4, Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895
  4. Fasal 5, Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895
  5. Fasal 5, Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895
  6. Fasal 7, Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895
  7. Fasal 10, Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895