Sultan Zainal Abidin I

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Almarhum Sultan Zainal Abiddin Shah I Ibni Almarhum Dato' Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid bin Almarhum Tun Ali bin Tun Muhammad bin Sayyid Zainal Abidin bin Sayyid Abdullah bin Sayyid Syekh bin Sayyid Abdullah bin Sayyid Abu Bakar bin Sayyid Abdullah Al Saqqāf Al Aydrus (1677/78 M – 25 Februari 1733 M) ialah pengasas Kesultanan Terengganu. Baginda memerintah Terengganu dari 1725 hingga 1733.[1]

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Baginda diputerakan pada tahun 1677/78 di Johor kepada Bendahara Sri Maharaja Pikrama Tun Habib Abdul Majid, Bendahara Padang Saujana iaitu Bendahara Johor ke-18 pada zaman pemerintahan Sultan Ibrahim Shah dan sebahagian daripada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah II. Baginda diambil sebagai putera angkat oleh Paduka Raja Laksamana Tun Abdul Jamil atau disebut Wan Deraman dalam sumber tempatan Terengganu dan Pahang. Pada tahun 1688, semasa berusia lebih kurang 10 tahun, baginda berangkat ke Patani bersama keluarga Paduka Raja Laksamana yang diusir oleh para pembesar Johor. Pengusiran ini dikatakan berpunca daripada dakwaan bahawa Tun Abdul Jamil cuba merampas takhta kerajaan daripada Sultan Mahmud Shah II yang masih kecil. Tun Abdul Jamil telah berjaya dibunuh oleh sekutu pembesar Johor di Teluk Datuk yang terletak berhampiran Kuala Terengganu. Walau bagaimanapun, Tun Zainal Abidin telah bejaya melepaskan diri bersama keluarga Tun Abdul Jamil dan berjaya tiba di Patani. Baginda telah dijadikan putera angkat oleh Raja Kuning, iaitu Raja Petani yang dikenali juga sebagai Nang Chayam atau Raja Mas Jayam.[1]

Pertabalan[sunting | sunting sumber]

Pada masa Sultan Abdul Jalil IV menaiki takhta kerajaan Johor, Tun Zainal Abidin telah dijemput balik ke Johor. Semasa di Johor, baginda telah dikurniakan negeri Terengganu. Baginda kemudiannya telah pulang semula ke Patani. Nang Chayam seterusnya menghantar Tun Zainal Abidin ke Terengganu dengan diiringi 80 orang Patani bersama kelengkapan pertabalan diraja, termasuk keris panjang yang disebut Keris Panjang Nang Chayam yang masih digunakan sehingga ke hari ini, dan berapa orang ulama. Pertabalan Baginda sebagai Sultan Terengganu telah disempurnakan oleh Qadi Wan Imam Mahmud pada tahun 1708 di Tanjung Baru yang terletak di hulu Sungai Terengganu tidak jauh dari Kuala Berang.[2]

Sumber buku Tuhfat al-Nafis karangan Raja Haji pula menyatakan, Tun Zainal Abidin ditabalkan sebagai Sultan Terengganu oleh Daeng Menampuk atau Raja Tua di atas perintah Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah pada tahun 1725.

Keluarga[sunting | sunting sumber]

Sultan Zainal Abidin I mempunyai beberapa orang isteri.[3] Ketika berada di Johor, semasa pulang dari Patani, Baginda berkahwin dengan anak orang Muar dan mempunyai dua orang anak, seorang putera dan seorang puteri. Ketika di Terengganu, Baginda telah berkahwin dengan anak Sheikh Abdul Malik bin Syed Abdullah yang lebih dikenali sebagai Tok Pulau Manis. Baginda juga telah berkahwin dengan anak Dato' Wan Ismail

Semasa di Patani, Baginda telah berkahwin dengan Nang Rogayah, puteri kepada Long Bahar iaitu raja Kelantan-Patani, serta juga sepupu kepada Raja Nang Chayam.[4][5] Nang Rogayah dijadikan Che Puan Besar Negeri Terengganu yang pertama.

Antara putera Baginda yang diketahui ialah Ku Tana Wangsa, Ku Tana Ali, Ku Tana Ismail, Ku Tana Mansor dan Ku Embong. Ku Tana Wangsa ialah puteranya dengan Che Puan Besar Nang Rogayah dan dilantik menjadi pemangku raja dengan gelaran Yang Di-Pertuan Tua Terengganu bagi adindanya yang masih kecil, Ku Tana Mansor yang menjadi Sultan dan Yang Di-Pertua Kecil Terengganu

Mangkat[sunting | sunting sumber]

Baginda mangkat pada subuh malam Ahad 21 Ramadan 1146 H bersamaan 25 Februari 1733 M[6] dan digantikan puteranya Sultan Mansur I. Baginda dimakamkan di Bukit Keledang (Terengganu).[7]

Didahului oleh
Pengasas
Sultan Terengganu
1708-1733
Diikuti oleh:
Sultan Mansur I

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Nota kaki[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b Mohamed Anwar Omar Din, Nik Anuar Nik Mahmud dan Jawatankuasa Teknikal & Sidang Editor Yayasan DiRaja Sultan Mizan, 2011, m/s 87
  2. ^ Mohamed Anwar Omar Din, Nik Anuar Nik Mahmud dan Jawatankuasa Teknikal & Sidang Editor Yayasan DiRaja Sultan Mizan, 2011, m/s 37
  3. ^ Mohamed Anwar Omar Din, Nik Anuar Nik Mahmud dan Jawatankuasa Teknikal & Sidang Editor Yayasan DiRaja Sultan Mizan, 2011, m/s 88
  4. ^ "Kesultanan Terengganu". Sejarah Terengganu. Pejabat Mara Negeri. 2005. Dicapai pada 18 Januari 2010.
  5. ^ "Sejarah Ringkas Negeri Terengganu". Laman Web Rasmi-KDYMM Sultan Terengganu. abytech sdn. bhd. Dicapai pada 22 Julai 2010.
  6. ^ Dato' Haji Muhammad Saleh bin Haji Awang (Misbaha) 1983, m/s. 108.
  7. ^ "Makam Sultan Zainal Abidin I, Terengganu". Seni Lama Melayu. Radzi Sapiee. 2008. Dicapai pada 6 Disember 2010.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Mohamed Anwar Omar Din, Nik Anuar Nik Mahmud dan Jawatankuasa Teknikal & Sidang Editor Yayasan DiRaja Sultan Mizan (2011). Dirgahayu Tuanku:Sejarah Kesultanan Terengganu 1708-2008. Yayasan DiRaja Sultan Mizan.
  • Dato' Haji Muhammad Saleh bin Haji Awang (Misbaha) (1983). Sejarah Darul Iman hingga 1337H = 1918M. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. ISBN 9789676100115. OCLC 23565321.CS1 maint: ref=harv (link)