Supernova

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Imej panjang gelombang sinar X bagi baki Supernova Kepler, SN 1604. (Balai Cerap SInar-X Chandra)

Supernova merujuk kepada beberapa jenis letupan najam yang menghasilkan jasad yang sangat cerah yang dihasilkan oleh plasma dan kemudiannya menurun ke tahap yang tidak boleh dilihat dalam tempoh beberapa minggu atau bulan. Terdapat dua laluan menuju ke penghujung hayat bintang. Bintang gergasi mungkin akan berhenti menghasilkan tenaga pelakuran daripada penggabungan nukleus atom-atom di dalam teras bintang lalu menguncup ke dalam oleh daya gravitinya sendiri, ataupun bintang kerdil putih mungkin akan mengumpul bahan daripada bintang dedua sehingga mencapai had Chandrasekhar sehingga mengalami letusan termonuklear. Dalam kedua-dua kes, letupan supernova yang terhasil akan menyingkirkan seberapa banyak atau kesemua bahan bintang dengan daya yang amat kuat.

Letupan ini menjana gelombang letusan ke angkasa sekitarnya, menghasilkan tinggalan supernova. Salah satu contoh proses ini adalah tinggalan SN 1604, seperti yang tertunjuk di sebelah kanan.

Dalam kosmologi piawai yang dinamakan Teori Letupan Besar, letupan supernova merupakan sumber utama kesemua unsur lebih berat daripada oksigen, dan supernova merupakan satu-satunya sumber kebanyakan unsur. Sebagai contoh kalsium pada tulang kita dan besi dalam hemoglobin telah disintesis semasa letupan supernova, berjuta-juta tahun dahulu. Supernova memasukkan unsur-unsur berat ini ke dalam medium antara najam, akhirnya memperkayakan awan-awan molekul yang menjadi tempat kepada pembentukan bintang-bintang. Bukti daripada hasil reputan isotop jangka hayat pendek menunjukkan bahawa supernova berdekatan telah menentukan komposisi sistem suria pada 4.5 bilion tahun dahulu. Penghasilan unsur berat oleh supernova pada jangka masa kosmik membolehkan kehidupan kimia pada Bumi berlaku.

Supernova menjana suhu yang amat tinggi, dan dalam keadaan yang sesuai, tindak balas pelakuran yang berlaku ketika masa-masa puncak boleh menghasilkan antara unsur yang terberat seperti plutonium dan kalifornium.

"Nova" ialah perkataan Latin untuk "baru", merujuk kepada apa yang dapat dilihat sebagai kelipan bintang baru yang sangat cerah dalam sfera samawi; imbuhan awalan "super" membezakannya daripada nova biasa, yang juga membabitkan bintang yang bertambah kecerahannya, walaupun pada tahap yang lebih rendah dan melalui mekanisme yang berbeza. Walau bagaimanpun, adalah tidak tepat sekiranya supernova dianggap sebagai bintang baru, kerana ia sebenarnya menggambarkan kematian bintang (atau sekurang-kurangnya perubahan radikal kepada sesuatu jasad yang lain).


Penggolongan[sunting | sunting sumber]

Sebagai percubaan untuk lebih memahami letupan supernova, ahli astrnomi menggolongkan supernova berdasarkan garis unsur kimia berbeza yang hadir pada spektrumnya.

Unsur pertama untuk pembahagian ini ialah kehadiran atau ketakhadiran garis daripada hidrogen. Sekiranya terdapat spektra supernova yang mengandungi garis hidrogen, ia digolongkan sebagai Jenis II, lain daripada itu ia akan digolongkan sebagai Jenis I.

Antara kumpulan-kumpulan ini, terdapat subbahagian berdasarkan kehadiran lain-lain garis dan bentuk lengkungan cahayanya.


Penggolongan spektra[sunting | sunting sumber]

Jenis I
Tiada garis Balmer hidrogen
Jenis Ia
garis Si II pada 615.0 nm
Jenis Ib
garis He I pada 587.6 nm
Jenis Ic
Lemah atau tiada garis Helium
Jenis II
Terdapat garis Balmer hidrogen
Jenis II-P
Dataran
Jenis II-L
Linear