Syed Ahmad bin Syed Mahmud Shahabuddin

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

 Tun Dato' Seri Utama Syed Ahmad Bin Syed Mahmud Shahabuddin
Syed Ahmad bin Syed Mahmud Shahabuddin

Tempoh berjawat
1967 – 1978
Didahului oleh Syed Omar Bin Syed Abdullah Shahabuddin
Digantikan oleh Syed Nahar Bin Tun Syed Sheh Shahabuddin

Tuan Yang Terutama Negeri Melaka ke-5
Tempoh berjawat
4 Disember 1984 – 3 Jun 2004
Didahului oleh Tun Syed Zahiruddin bin Syed Hassan

Tarikh lahir 4 Mei 1925
Tempat lahir Kulim, Kedah
Meninggal 7 Julai 2008
Bukit Palah, Melaka
Parti politik BN-100px.jpg BN-UMNO
Agama Islam

T.Y.T Tun Dato' Seri Utama Syed Ahmad telah dilahirkan pada 4 Mei 1925 di Kulim, Kedah. Syed Ahmad merupakan anak ketiga daripada lima adik beradik.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kulim dari tahun 1932 hingga tahun 1935. Syed Ahmad kemudian melanjutkan pelajarannya di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Star sehingga beliau lulus peperiksaan Senior Cambridge pada tahun 1947.

Kerjaya awal[sunting | sunting sumber]

Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Kerajaan di Pejabat Perbendaharaan Negeri, Alor Setar dari tahun 1947 hingga tahun 1955 dan pada masa yang sama membabitkan diri dalam kegiatan SABERKAS dan Kesatuan Melayu Negeri Kedah (KMNK) yang berpusat di Alor Setar.

Kerjaya politik[sunting | sunting sumber]

Apabila Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) ditubuhkan pada tahun 1946, Tun Syed Ahmad menyertai parti politik dan menjadi ahli UMNO di Cawangan Alor Setar, Kedah. Mulai tahun 1951 hingga tahun 1954 beliau dilantik menjadi Penolong Setiausaha UMNO Negeri dan seterusnya dilantik sebagai Setiausaha UMNO hingga tahun 1967.


Semasa pembabitannya dalam politik, beberapa jawatan telah disandang beliau di antaranya ialah Ahli Dewan Undangan Persekutuan dari tahun 1955 hingga tahun 1959 dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah dari tahun 1958 hingga tahun 1967. Pada tanggal 14 Disember 1967, beliau telah dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang keempat menggantikan Dato' Syed Omar Shahabuddin yang telah kembali ke Rahmatullah pada 7 Disember 1967. Jawatan Menteri Besar Kedah telah disandang oleh beliau sehingga tahun 1978. Sebagai Menteri Besar, beliau juga menyandang jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Ketua Barisan Nasional Negeri dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Malaysia.

Pada tahun 1967, beliau turut dilantik menjadi Ahli Dewan Negara selama dua tahun sehingga tahun 1969. Seterusnya beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri Malaysia dari tahun 1978 hingga tahun 1980 dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura dari tahun 1981 hingga 1988. Beliau telah dilantik sebagai Tuan Yang Terutama Negeri Melaka pada tahun 1989 hinggalah 2004 menggantikan Tun Syed Zahiruddin.

Dalam masa pentadbiran beliau, perhatian ditumpukan bagi mengekalkan kestabilan politik dan kemajuan negeri bersama-sama penyokong dalam kerajaan, khususnya Ahli-ahli Exco sebagai pembuat dasar, sementara para pegawai kerajaan bertanggungjawab melaksanakan dasar. Tun Syed Ahmad seringkali mengetuai rombongan kerajaan dan ahli-ahli ekonomi melawat negara-negara luar bertujuan mempromosikan Kedah dan meyakinkan para pelabur tentang potensi pelaburan dan insentif-insentif yang disediakan di Negeri Kedah. Walaupun perhatian tertumpu pada sektor perindustrian, namun sektor pertanian tetap diberi perhatian. Projek raksasa yang menjadi kebanggaan kerajaan yang dikenali sebagai Rancangan Pengairan Muda dibina. Nyatalah projek itu memperlihatkan hasrat kerajaan di bawah pimpinan beliau untuk mengekalkan identiti tradisi Negeri Kedah Darul Aman sebagai Jelapang Padi Malaysia. Pandangan jauh beliau untuk membawa negeri ini bersaing antara sektor pertanian dan perindustrian telah berjaya mengangkat taraf hidup rakyat dengan perkapita yang meningkat dari tahun ke tahun. Beliau juga berjaya mengurangkan kadar pengangguran dan kadar kemiskinan di Negeri Kedah.

Anugerah[sunting | sunting sumber]

Demi menghargai sumbangan dan jasa bakti yang telah dicurahkan, beliau dianugerahi pingat dan darjah kebesaran antaranya S.M.N., S.S.M., P.S.M., D.U.N.M. , S.P.M.S., S.P.M.K., S.P.M.T., S.S.D.K., D.P., P.N.B.S., P.G.D.K., J.M.N. dan J.P

Keluarga[sunting | sunting sumber]

Syed Ahmad berkahwin dengan Toh Puan Sharifah Haniffah binti Syed Alwi pada tahun 1950 dan telah dikurniakan enam orang anak. Toh Puan meninggal dunia pada 5 Julai 1993 di Kuala Lumpur. Pada tahun 1960, Syed Ahmad berkahwin dengan Toh Puan Datuk Seri Datin Seri Utama Marfuza bte Sheikh Mohd Osman dan mereka dikurniakan dengan empat orang anak.

Kematian[sunting | sunting sumber]

Beliau meninggal dunia akibat sakit tua pada usia beliau 83 tahun pada 7 Julai 2008 dan disemadikan di Makam Pahlawan Melaka di Masjid Al-Azim, Bukit Palah, Melaka.


Penyandang Terdahulu Menteri Besar Kedah
19671978
Penyandang Kemudian
Tan Sri Syed Omar Bin Syed Abdullah Shahabuddin Dato' Seri Syed Nahar Bin Tun Syed Sheh Shahabuddin