Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari (lahir di Martapura, Kabupaten Banjar, 1735 - meninggal dunia di Kelua, Tabalong, 1812[1]) ialah salah seorang Ulama Banjar yang cukup dikenali sebagai seorang tokoh Sufi yang tegas dalam melawan segala bentuk penindasan.

Di samping beliau dikenali sebagai Alim Ulama yang arif di dalam bidang Fiqh, juga dalam bidang Tasawuf. Beliau telah menulis sebuah kitab yang berisi tentang ajaran-ajaran tasawuf berjudul Ad-Durrun Nafis. Kitab ini banyak didiskusikan dan diperdebatkan, kerana ungkapan-ungkapannya dianggap agap kontroversi oleh para Ulama Fiqh.

Riwayat[sunting | sunting sumber]

Nama lengkap Ulama ini ialah Muhammad Nafis bin Idris bin Husein. Beliau lahir sekitar tahun 1148 Hijrah atau bertepatan dengan tahun 1735 Masihi, di Kota Martapura, sekarang ibu kota Kabupaten Banjar, Kalimantan Selatan, Indonesia. Berasal dari keluarga bangsawan Banjar dengan garis salasilah dan keturunannya bersambung hingga Sultan Suriansyah (1527-1545 M). Sultan Suriansyah merupakan Raja Banjar pertama yang memeluk agama Islam, yang dahulunya bergelar Pangeran Samudera.

Sejak kecil, Syeikh Muhammad Nafis memang sudah menunjukkan bakat dan kecerdasan yang tinggi jika dibandingkan dengan teman-teman sebayanya. Bakat dan kecerdasan yang dimilikinya ini membuatkan Sultan Banjar tertarik. Sehingga, pada akhirnya Muhammad Nafis pun dikirimkan ke Makkah untuk belajar dan mendalami ilmu-ilmu agama Islam. Salah satu dari ilmu agama yang digelutinya, bahkan menjadikan beliau amat popular adalah bidang Tasawuf. Sepertimana halnya dengan Ulama Jawi (Indonesia) pada abad ke-17 dan ke-18 yang belajar di Makkah, Syeikh Muhammad Nafis juga belajar dengan para Ulama yang terkenal, baik yang menetap mahupun yang kadang-kala menziarahi dan mengajar di Haramain (Makkah dan Madinah) dalam berbagai cabang ilmu keIslaman, seperti Tafsir, Fiqh, Hadis, Usuluddin (teologi), dan Tasawuf.

Di antara gurunya dalam bidang ilmu tasawuf di Makkah adalah Abdullah bin Hijazi asy-Syarqawi al-Azhari (1150-1227 H/1737-1812 M), Ulama Tasawuf yang kemudian menduduki jawatan sebagai Syeikh ul-Islam dan Syeikh al-Azhar sejak 1207 H/1794 M. Dalam mempelajari Tasawuf, Syeikh Muhammad Nafis berjaya mencapai gelaran 'Syeikh al-Mursyid', gelaran yang menunjukkan bahawa bahawa beliau diperkenankan untuk mengajar ilmu Tasawuf dan tarekatnya kepada orang lain. Setelah itu, beliau pulang ke kampung halamannya, Martapura, pada 1210 H/1795 M.

Karya penulisan[sunting | sunting sumber]

Kerana beliau sering melakukan dakwah ke pedalaman, beliau hanya sempat mengarang sedikit kitab. Sehingga sekarang yang terlacak (masih wujud) hanya dua buah kitab sahaja iaitu:

  • Kanzus Sa’adah, Iaitu kitab yang berisi tentang istilah-istilah ilmu tasawuf. Kitab ini belum pernah dicetak masih berupa manuskrip.
  • Ad-Durrun Nafis, Iaitu kitab yang berisi tentang pengEsaan perbuatan, nama, sifat dan zat Allah.

Meninggal dunia[sunting | sunting sumber]

Muhammad Nafis hidup pada tempoh yang sama dengan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Dan diperkirakan telah meninggal dunia sekitar tahun 1812 M, dan dimakamkan di Mahar Kuning, Desa Binturu, sekarang menjadi sebahagian dari desa di Kecamatan Kelua, Kabupaten Tabalong. Sekarang, makam tersebut menjadi salah satu kawasan penziarahan berunsur keagamaan di Kabupaten Tabalong, Kalimantan Selatan, Indonesia.

Nota kaki[sunting | sunting sumber]

  1. Sebenarnya tidak ada keterangan berkaitan tahun beliau meninggal dunia secara tepat. Namun, berdasarkan riwayat hidupnya, Muhammad Nafis hidup pada tempoh waktu yang sama dengan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan diperkirakan meninggal dunia sekitar tahun 1812 M

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]