Takaful Nasional

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Takaful Nasional Sdn. Bhd.)

Takaful Nasional Sdn Bhd (TN) ialah syarikat pengendali takaful yang kedua ditubuhkan di Malaysia selepas Syarikat Takaful Malaysia Berhad. Ia ditubuhkan pada 7 Jun 1993 dengan nama asalnya MNI Takaful Sdn Bhd dengan modal dibenarkan sebanyak RM50 juta dan modal berbayar sebanyak RM25 juta.

Syarikat ini ditubuhkan hasil usahasama di antara Malaysia National Insurance Berhad (MNI) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) dengan pegangan saham 80% oleh MNI dan 20% lagi oleh YPEIM. Syarikat ini adalah sebuah syarikat pengendali takaful komposit iaitu menyediakan produk dan perkhidmatan takaful keluarga dan takaful am.

Pada tahun 1998, nama MNI Takaful Sdn Bhd telah ditukar kepada Takaful Nasional Sdn Berhad dan nama berkenaan kekal sehingga dibeli Maybank. Pada tahun 1999, hasil prestasi cemerlang yang ditunjukkan, modal dibenarkan untuk TN telah ditingkatkan kepada RM500 juta dan modal berbayar kepada RM35 juta. Pada tahun 2004, modal berbayar TN telah ditingkatkan kepada RM100 juta.

Pada 15 Disember 2005, secara rasminya MNI dan TN telah diambil alih oleh Kumpulan Maybank melalui anak syarikatnya Mayban Fortis Holdings Berhad. Pada akhir 2007, Maybank telah menstrukturkan semula produk takafulnya dengan satu jenama, ETiQa Takaful.[1]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "About Us > Corporate". Etiqa Insurance & Takaful. 2009. Dicapai pada 22 Januari 2014.