Taman Burung Langkawi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Taman burung Langkawi di Kampung Belanga Pecah, Langkawi

Taman Burung Langkawi terletak di Kampung Belanga Pecah, pulau Langkawi, Kedah.

Kos pembangunan sebanyak RM9 juta di kawasan seluas lima hektar dan dibuka kepada orang ramai mulai 2003, kini muncul antara daya tarikan baru di pulau sumpahan Mahsuri itu. Taman ini telah dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain.

Terdapat 2,500 ekor burung daripada 150 spesies, keindahan dan kehijauan langskap taman itu berjaya menarik ramai pelancong dalam dan luar negara terutama pada musim cuti persekolahan.

Kira-kira 70 peratus burung yang ditempatkan di situ dibawa masuk dari luar negara termasuk Afrika, Amerika Selatan, Papua New Guinea, Belanda, Belgium dan Australia.

Syarikat KTB Success Sdn Bhd selalu pengurus taman telah membawa masuk 20 kakak tua dari Amerika Selatan dengan setiap satu berharga RM3,000, selain Golden Pheasant, Flamingo, Barn-Owl dan King Bird Paradise.

Spesies tempatan ialah burung-burung enggang, kuang, murai batu, burung hantu, helang, serindit, merpati, ruak, tempua dan tiong.

Apabila fasa kedua siap, haiwan lain seperti kanggaru, arnab, memerang, tupai dan beruk dibawa masuk bagi menjadikannya lebih ceria dan menarik.

Terdapat 2,500 burung eksotik dan jarang ditemui terbang bebas dalam sebuah sangkar gergasi yang dibina khas bagi mengekalkan habitat asal burung yang mesra alam.

Pengunjung boleh mendekati burung ketika berada dalam sangkar kerana kebanyakannya daripada spesies jinak. Sangkar bersaiz kira-kira 50 meter lebar dan 60 meter panjang serta tinggi 12 meter itu menyediakan laluan pejalan kaki berbumbung untuk memudahkan pengunjung menyaksikan habitat burung secara lebih dekat.

Pelawat yang berada dalam sangkar itu akan berada seolah-olah di tengah hutan belantara dan hanya kedengaran kicauan burung serta aliran air terjun yang sejuk dan nyaman. Hiasan landskapnya pula mengambil kira ciri-ciri semula jadi yang ditanam pokok hutan menghijau bagi menimbulkan suasana sebenar kehidupan burung.

Pengunjung juga dibenarkan memegang, memberi makan dan merakamkan gambar bersama burung jinak di taman berkenaan, tetapi jangan keterlaluan kerana kelakuan mereka diawasi pihak pengurusan menerusi litar tertutup.

Pihak taman membelanjakan kira-kira RM400 sehari untuk membeli pelbagai jenis makanan burung termasuk buah-buahan dan bijirin.