Tanabata

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Tanabata (七夕?) atau Perayaan Bintang adalah salah satu perayaan yang berkaitan dengan musim di Jepun, China, dan Korea. Perayaan besar-besaran dilakukan di setiap bandar di Jepun, termasuk di antaranya bandar Sendai dengan pesta Sendai Tanabata. Di China, perayaan ini disebut Qi Xi.

Tarikh festival Tanabata dahulunya mengikut Kalendar#kalendar Lunisolar yang kira-kira sebulan lebih lambat daripada kalendar Gregori. Sejak kalender Gregorian mula digunakan di Jepun, perayaan Tanabata diadakan pada malam 7 Julai, hari ke-7 bulan ke-7 kalendar lunisolar, atau sebulan lebih lewat sekitar 8 Ogos.

Aksara kanji yang digunakan untuk menulis Tanabata boleh dibaca sebagai shichiseki (七夕?, malam ke-7). Pada zaman dahulu, perayaan ini juga ditulis dengan aksara kanji yang berbeza, tetapi tetap dibaca Tanabata (棚機?). Tradisi perayaan ini berasal dari China yang diperkenalkan di Jepun pada zaman Nara.

Tarikh perayaan[sunting | sunting sumber]

Hiasan Tanabata di Sendai

Pada zaman China purba, terdapat tradisi merayakan pergantian musim pada bulan ke-7 hari ke-7 menurut kalendar Cina (bulan ke-7 merupakan bulan pertama musim gugur). Alasan dan sejak bila hari ke-7 bulan ke-7 mula dijadikan hari istimewa tidak diketahui dengan pasti. Sastera tertua yang menceritakan peristiwa hari tersebut ialah Simin yueling (四民月令, almanak petani) karya Cui Shi yang menulis tentang tradisi menjemur atau mengangin buku di bawah sinar matahari.

Menurut kalendar yang pernah digunakan di Jepun seperti kalendar Tempo, Tanabata dirayakan pada hari ke-7 bulan ke-7 sebelum perayaan Obon. Setelah kalendar Gregori mula digunakan di Jepun, Tanabata dirayakan pada 7 Julai, sedangkan sebahagian upacara dilakukan pada malam hari 6 Julai. Di wilayah Jepun sebelah timur seperti Hokkaido dan Sendai, perayaan dilakukan sebulan lebih lambat sekitar 8 Ogos.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Tanabata dikatakan sebagai sinkretisme antara tradisi Jepun kuno mendoakan arwah leluhur atas keberhasilan tuaian dan perayaan Qi Qiao Jie yang berasal dari China mendoakan kemahiran wanita dalam menenun. Pada awalnya, Tanabata merupakan sebahagian dari perayaan Obon, tapi kemudian dijadikan perayaan berbeza. Daun buluh (sasa) digunakan sebagai hiasan dalam perayaan kerana dipercayai menjadi tempat tinggal arwah leluhur.

Legenda Qi Xi pertama kali disebut dalam sastera Gushi shijiu shou (古詩十九編, 19 puisi lama) dari Dinasti Han yang dikumpulkan menjadi kitab antologi Wen Xuan (文選). Selain itu, Qi Xi juga tertulis dalam kitab Jing-Chu suishi ji (荊楚歲時記, perayaan dan tradisi tahunan wilayah Jing-Chu) dari zaman Dinasti Utara dan Selatan, dan kitab Catatan Sejarah Agung. Sastera Jing-Chu suishi ji mengisahkan para wanita memasukkan benang berwarna-warni indah ke dalam lubang 7 batang jarum pada malam hari ke-7 bulan ke-7 yang merupakan malam bertemunya Qian Niu dan Zhi Nu, dan persembahan diletakkan berjajar di halaman untuk memohon kepandaian dalam pekerjaan menenun.

Legenda asli Jepun tentang Tanabatatsume dalam kitab Kojiki mengisahkan seorang pelayan wanita (miko) bernama Tanabatatsume yang harus menenun pakaian untuk dewa di tepi sungai, dan menunggu di rumah menenun untuk dijadikan isteri sang dewa buat semalam agar perkampungan terhindar dari bencana. Perayaan Qi Xi dihubungkan dengan legenda Tanabatatsume, dan nama perayaan diubah menjadi "Tanabata". Pada zaman Nara, perayaan Tanabata dijadikan salah satu perayaan di istana maharaja yang berkaitan dengan musim. Di dalam kitab antologi puisi waka berjudul Man'yōshū terdapat puisi tentang Tanabata karya Ōtomo no Yakamochi dari zaman Nara. Setelah perayaan Tanabata meluas ke kalangan rakyat biasa di zaman Edo, tema perayaan bertembung dari pekerjaan tenun menenun hinggalah kepandaian anak perempuan dalam pelbagai bidang sebagai persiapan sebelum berkahwin.

Legenda[sunting | sunting sumber]

Legenda Tanabata di Jepun dan China mengisahkan bintang Vega yang merupakan bintang tercerah dalam buruj Lyra sebagai Orihime (Shokujo), puteri Raja Langit yang pandai menenun. Bintang Altair yang berada di buruj Aquila dikisahkan sebagai sebagai penggembala lembu bernama Hikoboshi (Kengyū). Hikoboshi rajin bekerja hingga diizinkan oleh Raja Langit untuk mengahwini Orihime. Suami isteri Hikoboshi dan Orihime hidup bahagia, tapi Orihime tidak lagi menenun dan Hikoboshi tidak lagi menggembala. Raja Langit sangat marah dan kedua-duanya dipaksa berpisah. Orihime dan Hikoboshi dipisahkan oleh sungai Amanogawa (galaksi Bima Sakti) dan hanya diizinkan bertemu setahun sekali pada malam hari ke-7 bulan ke-7. Kalau kebetulan hujan turun, sungai Amanogawa akan meningkat dan Orihime tidak mampu menyeberangi sungai untuk bertemu suami. Sekawanan burung kasasagi terbang menghampiri Hikoboshi dan Orihime yang sedang bersedih dan berbaris membentuk jambatan yang melintasi sungai Amanogawa supaya Hikoboshi dan Orihime boleh menyeberang dan bertemu.

Sastera klasik tentang legenda Tanabata melahirkan kepelbagaian cerita rakyat di banyak daerah di China. Di beberapa tempat, variasi legenda Tanabata dijadikan naskah sandiwara dan diangkat sebagai naskah Opera China. Antara naskah-naskah yang terkenal seperti Tian he pei dipentaskan sebagai Opera Beijing. Kisahnya tentang penggembala lembu bernama Niulang yang mencuri pakaian salah seorang bidadari bernama Zhinu yang sedang mandi. Niulang mengahwini dengan Zhinu hinggalah bidadari Zhinu harus kembali ke langit. Niulang mengejar Zhinu naik ke langit, tapi ibu Zhinu yang bernama Xi Wangmu (dewi syurga) memisahkan tempat tinggal Niulang dan Zhinu dengan sebuah sungai. Cerita ini mirip dengan cerita rakyat Jepun yang berjudul Hagoromo.

Bintang bernama Zhinu dan bintang bernama Niulang pertama kali disebut dalam kitab Shi Jing (kira-kira terbitan 1000 SM), tapi tidak secara pasti menunjuk ke bintang yang spesifik. Dalam kitab Catatan Sejarah Agung asal Dinasti Han Barat, bintang Niulang menunjuk ke buruj Taurus dan bintang Zhinu menunjuk ke buruj Kawatsusumi. Sesuai dengan perkembangan legenda Tanabata, bintang Niulang (Hikoboshi) akhirnya menunjuk ke bintang Altair.

Tradisi[sunting | sunting sumber]

Perayaan dilakukan pada malam ke-6 bulan ke-7, atau pagi hari ke-7 bulan ke-7. Sebahagian besar upacara dimulakan setelah tengah malam (pukul 1 pagi) di hari ke-7 bulan ke-7. Ketika tengah malam, bintang-bintang naik mendekati zenith, dan merupakan saat bintang Altair, bintang Vega, dan galaksi Bima Sakti paling mudah dilihat.

Kebarangkalian untuk hari cerah pada hari ke-7 bulan ke-7 kalendar Cina adalah lebih besar daripada 7 Julai yang masih merupakan musim panas. Hujan yang turun pada malam Tanabata disebut Sairuiu (洒涙雨?), dan konon berasal dari air mata Orihime dan Hikoboshi yang menangis kerana tidak dapat bertemu.

Festival Tanabata dimeriahkan tradisi menulis permohonan di atas tanzaku atau secarik kertas berwarna-warni. Tradisi ini khas di Jepun dan sudah ada sejak zaman Edo. Kertas tanzaku terdiri daripada 5 warna (hijau, merah, kuning, putih, dan hitam). Di China, tali untuk mengikat terdiri daripada 5 warna dan bukan kertasnya. Permohonan yang dituliskan pada tanzaku boleh jadi bermacam-macam, sesuai dengan keinginan orang yang menulis.

Kertas-kertas tanzaku yang berisi pelbagai jenis permohonan diikatkan pada ranting daun buluh membentuk pohon harapan pada hari ke-6 bulan ke-7. Orang yang kebetulan tinggal berhampiran laut mempunyai tradisi melarung pohon harapan ke laut sebagai tanda puncak perayaan, tetapi kebiasaan ini sekarang semakin ditinggalkan orang kerana hiasan banyak yang diperbuat daripada plastik.

Perayaan di pelbagai daerah[sunting | sunting sumber]

Tanabata diraikan secara besar-besaran di bandar-bandar, seperti: Sendai, Hiratsuka, Anjo, dan Sagamihara. Perayaan dimulakan setelah Perang Dunia II untuk menaikkan ekonomi, terutama di wilayah Jepun utara.

Pada zaman dulu, Sendai sering kali dilanda kekurangan makanan akibat kemarau dan musim sejuk yang terlalu dingin. Di kalangan penduduk, lahir tradisi menulis permohonan di atas secarik kertas tanzaku untuk meminta dijauhkan dari bencana alam. Date Masamune menggunakan perayaan Tanabata untuk memajukan pendidikan bagi kaum wanita, dan hiasan daun buluh mula kelihatan di kediaman samurai dan penduduk bandar. Pada zaman Meiji dan zaman Taisho, perayaan dilangsungkan secara kecil-kecilan hingga penyelenggaraan diambil alih oleh pusat membeli belah pada tahun 1927. Pusat membeli belah memasang hiasan Tanabata secara besar-besaran, dan tradisi ini berlanjutan hingga sekarang sebagai Sendai Tanabata.

Lihat pula[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]