Tarian Kuda Kepang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Tarian Kuda Kepang.

Tarian Kuda Kepang merupakan sejenis tarian rakyat Melayu traditional. Tarian ini ialah tarian warisan budaya Jawa dengan pengaruh Islam. Ciri Jawa itu jelas pada pakaian penari-penari dan unsur Islam jelas pada jalan cerita itu semasa ditarikan iaitu mengisahkan peperangan Rasulullah dan para sahabat. Dikatakan bahawa tarian ini diperkenalkan oleh pendakwah Islam sebagai cara menarik penduduk setempat agar datang beramai-ramai menyaksikan persembahan mereka. Pendakwah akan menyampaikan dakwah mereka sebelum atau selepas persembahan.

Tarian Kuda kepang amat digemari oleh penduduk Johor, terutamanya dari keturunan Jawa. Kuda kepang ini biasanya dibuat dari anyaman yang dibentuk seperti seekor kuda tanpa kaki. Ia diperbuat daripada buluh yang dianyam atau kulit binatang yang diwarnakan untuk menjadi lebih menarik.

Lazimnya terdapat 10 hingga 15 orang penari bagi setiap kumpulan penari kuda kepang yang biasanya akan mempunyai seorang ketua. Pada peringkat awalnya, semua gerak geri penari adalah atas arahan dayang yang menggunakan tali untuk mengawal permainan. Tarian ini biasanya dipertunjukkan di majlis-majlis keramaian untuk memeriahkan lagi suasana seperti sewaktu menyambut orang-orang kenamaan, meraikan majlis perkahwinan dan di hari-hari perayaan. Pada masa dahulu terdapat banyak pantang larang bagi mereka yang menonton persembahan kuda kepang seperti tidak mencaci penarinya atau akan menimpa musibah.

Tarian kuda kepang tradisi dikatakan memiliki banyak jampi serapah, dan pemain yang menarikannya boleh menjadi lupa. Mata penari yang berada dalam keadaan ini berkilauan, tidak boleh bercakap, manakala pergerakan dan kelakuan mereka menyerupai kuda. Hakikatnya, situasi seseorang penari itu bergantung kepada kekuatan roh juga niat atau azam diri. Faktor lain ialah makhluk yang menyerap dalam tubuh yang dipanggil atau diseru melalui rangkaian jampi mantera yang dituturkan oleh pawang yang mengetuai kumpulan, perasapan kemenyan, sajian yang dihidangkan, juga bunyi gendang dan gong yang dipalu. Mereka yang dirasuk dikatakan mampu melakukan perkara-perkara merbahaya seperti memakan kaca atau juga mengupas kelapa dengan gigi. Disebabkan itu, tarian kuda kepang yang masih mengamalkan jampi serapah difatwakan sebagai bercanggah dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiah.[1]

Terdapat berbagai pendapat mengenai asal usul tarian ini. Ada pendapat yang mengaitkan asal usulnya dengan Wali Songo yang hidup di Tanah Jawa pada abad ke-15. Dalam usaha mengembangkan Islam di kawasan pedalaman di Jawa, Wali Songo menghadapi kesulitan untuk mendekati orang-orang di sana. Beliau mendapat idea untuk menari-nari sambil menunggang kuda. Setelah waktu berlalu, kuda-kuda itu ditukar dengan kulit binatang atau buluh bagi menggantikan kuda sebenar. Ada pula yang berpendapat asal usul tarian ini ada kaitan dengan Saidina Ali. Untuk meniru gerak langkah bala tentera Saidina Ali maka lahirlah tarian kuda kepang.

Persembahan kuda kepang ini biasanya dipersembahkan bersama-sama persembahan tarian Barongan dengan tradisi mempersembahkan tarian Barongan selepas tarian Kuda Kepang kemungkinannya merupakan bukti kepentingan tarian Kuda Kepang dan Barongan dalam penyebaran syiar Islam ketika itu. [2], [3], [4]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]