Tash Aw

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Tash Aw.

Tash Aw, dilahirkan Ta-Shii (lahir 1973), ialah seorang pengarang Malaysia yang kurang dikenali yang telah mencapai jualan yang amat cemerlang untuk novel sulungnya, "Kilang Sutera Harmoni" (The Harmony Silk Factory). Beliau mencapai jualan sebanyak £500,000 (~RM3.5 juta) di sepuluh pasaran antarabangsa dalam tempoh sebulan daripada penerbitannya. Karya ini memberikannya "Anugerah Novel Sulung" dalam "Anugerah-anugerah Buku Whitbread" yang merupakan anugerah berprestij di Britain. Novel ini kini telah diterjemahkan dalam melebihi sedozen bahasa asing.

Aw diwakili oleh ejen sastera David Godwin yang juga mewakili penulis-penulis termasyhur seperti Arundhati Roy, Jim Crace, Simon Armitage, William Dalrymple, Claire Tomalin, Ben Rice dan Alan Warner. Penerbitnya ialah Fourth Estate.

Aw kini sedang menulis novel keduanya yang melatarkan Malaysia dan Indonesia pada dekad 1960-an. Beliau berkata, "Aku tidak terpesona tentang masa dahulu, tetapi terdapat suatu ungkapan usang: untuk memahami masa sekarang, seseorang mesti meninjau masa dahulu. Perbuatan ini juga memudahkanku bermain-main dengan fakta-fakta dan kemungkinan-kemungkinan, serta membentuknya. Jika seseorang di tengah-tengah kejadian itu, dia berasa amat susah hendak melihat sesuatu dengan terang. Kita memerlukan setakat jarak, termasuk jarak masa-ruang, dari dunia yang kita hidup sebelum kita dapat memahaminya."


Biografi ringkas[sunting | sunting sumber]

Dilahirkan di Taipei, Taiwan kepada ibu bapa warganegara Malaysia, Aw dibesarkan di Kuala Lumpur dan kemudian berpindah ke England pada masa remajanya untuk belajar undang-undang di Universiti Cambridge dan di Universiti Warwick. Selepas memperoleh ijazahnya, beliau menyandang beberapa jawatan, termasuk menjadi peguam selama empat tahun, semasa menulis novel sulungnya yang beliau habiskan ketika menyertai kursus penulisan kreatif di Universiti East Anglia. Universiti Anglia Timur ialah sebuah universiti masyhur yang telah menghasilkan berdozen-dozen penulis yang terkenal, termasuk Ian McEwen (Enduring Love'), Kazuo Ishiguro (The Remains of the Day), dan Tracy Chevalier (Girl with a Pearl Earring).

Aw telah tinggal di England selama hampir 15 tahun (2005), dengan 11 tahunnya di London. Beliau suka akan undang-undang sebagai suatu matapelajaran akademik, tetapi tidak berasa teruja terhadap menjadi seorang peguam. Walaupun masih bertugas dengan sebuah firma peguam di London, beliau sering menganggap diri sebagai seorang penulis, dan selalu menulis dengan apa-apa masa lapang yang ada. Beliau berkata, "Aku tidak berasa bahawa mana-mana satu pekerjaan akan menghalang anda daripada penulisan — semua orang yang berhasrat menjadi penulis harus bekerja... Kamu kena bayar sewa rumah dan oleh itu, kena ambil apa-apa kerja sahaja yang kamu dapat. Tetapi datangnya masa yang harus kamu buat keputusan dan mengambil risiko... Sudah tentu, terdapatnya garis yang halus antara kepercayaan diri dan penipuan diri, tetapi saya berasa ini akan menjadi jelas kemudian."

Aw memulakan penulisan secara penuh masa sejak 2003 dan beliau berhasrat meneruskan penulisan novel, serta menguji kajinya.

Penulisan "Kilang Sutera Harmoni"[sunting | sunting sumber]

Kulit novel Kilang Sutera.
Kulit novel Kilang Sutera.

"Kilang Sutera Harmoni" ialah sebuah cerpen yang menonjolkan tiga orang pencerita dan dilatarkan pada Lembah Kinta, Tanah Melayu, pada dekad 1940-an. Datuknya tinggal di Parit, sebuah bandar kecil yang terletak di tebing Sungai Perak, dan Aw biasa menghabiskan masanya di sana pada percutian sekolah. Bandar Paritlah yang mengilhami latar novel sulung itu. Kilang Sutera Harmoni telah dihormati kerana gayanya yang padat dan tidak mengandungi perkataan-perkataan yang sia-sia.

Aw dikatakan mengambil masa lima tahun untuk menulis Kilang Sutera Harmoni semasa menyandang jawatan peguam; 24,000 perkataan dalam masa empat tahun pada setiap pagi dan hujung minggu. Dan kemudiannya pada tahun akhir kursusnya dalam Sarjana Penulisan di Universiti Anglia Timur, beliau menulis 100,000 perkataan pada tahun itu. Aw menghabiskan hampir dua tahun untuk membuat penyelidikan untuk buku ini di Perpustakaan British.

Menurut Aw, novel ini bukan buku autobiografi. Beliau mengatakan bahawa maklumat peribadi "susah untuk diolahkan, kerana [matlumat-matlumat itu] seringnya tidak amat membantu dalam proses fiksyen: seseorang terpaksa bersetia kepada kenyataan walaupun maklumat itu tidak sesuai untuk novel tersebut". Oleh itu, beliau menjauhkan diri daripadanya, selain daripada memperoleh ilham daripada Lembah Kinta yang merupakan tempat kediaman datuknya.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]