Temasya Mandi Safar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Temasya Mandi Safar merupakan satu perayaan orang Melayu khususnya orang Melaka[1], Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak[2] yang diwarisi sejak zaman berzaman. Di Kelantan dan Terengganu, perayaan ini dikenali sebagai Pesta Puja Pantai. Temasya ini diadakan setiap tahun apabila tiba bulan Safar iaitu bulan kedua di dalam kalendar Islam. Mandi Safar adalah temasya mandi-manda yang diadakan pada hari Rabu yang terakhir dalam bulan Safar dengan tujuan menolak bala. Pada pagi hari tersebut, orang ramai mandi di pantai atau sekurang-kurangnya minum air yang telah direndam kertas safar atau papan kecil yang bertulis dengan kalimat suci. Air ini dikenal sebagai air safar.

Sebelum Perang Dunia II, sebahagian masyarakat menganggap temasya mandi Safar ini mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama Islam. Menurut anggapan mereka, kononnya hari tersebut dirayakan sebagai menyatakan kesyukuran kerana junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. telah sembuh daripada sakit yang amat berat.

Ada pendapat yang menganggap bulan Safar bulan Nahas atau bulan Bala kerana di dalam bulan ini terutamanya pada hari Rabu terakhir, Allah banyak menurunkan bala kepada makhluknya di dunia ini. Oleh itu orang-orang tua sering mengingatkan anak cucu mereka agar berhati-hati ketika melakukan sebarang pekerjaan.

Oleh kerana wujud kepercayaan seumpama ini, maka upacara perkahwinan, pertunangan dan majlis keraian tidak dilalukan pada bulan tersebut kerana dipercayai jodoh teruna dan dara tidak berkekalan.

Di Melaka tempat yang terkenal mengamalkan pesta Mandi Safar ialah di Tanjung Beruas, Tanjung Kling, Melaka. Tempat ini terletak di tepi laut Selat Melaka iaitu kira-kira tujuh batu dari Bandar Melaka.

Dalam menjayakan pesta ini, kereta lembu memainkan peranan yang penting. Pemilik kereta lembu yang rat-ratanya terdiri daripada masyarakat tani akan mengambil bahagian. Setiap tahun pada malam Rabu akhir bulan Safar mereka akan membanjiri sepanjang pantai Tanjung Keling dengan membawa kumpulan mereka. Beberapa minggu sebelum tibanya hari tersebut, lembu-lembu ini akan dibersihkan dan disapu minyak. Di samping itu mereka akan mengumpulkan alat muzik seperti biola, gong dan gendang bagi mengiringi mereka nanti.

Semasa dalam perjalanan mereka akan mengesek biola, memukul gendang dan gong serta menyanyi sepanjang jalan sehingga ke Tanjung Kling. Mereka akan menyanyi sambil berbalas pantun dalam berbagai corak pantun.

Rujukan[sunting | sunting sumber]