Terowong Hai Van

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Bahagian hujung selatan Terowong Hai Van.

Terowong Hai Van merupakan terowong jalan raya terpanjang di Asia Tenggara. Terowong sepanjang 6.28km ini terletak di Laluan 1 antara bandar Danang dan Huế di tengah Vietnam.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Genting Hai Van seringkali mengalami masalah kesesakan jalan raya yang teruk. Konsep terowong ini untuk memintas laluan asal yang lebih panjang sudah lama diutarakan.

Perancangan dan reka bentuk[sunting | sunting sumber]

Perancangan laluan serta kerja reka bentuk bermula pada Januari 1998 oleh satu usaha sama antara Nippon Koei Company Limited Jepun dan Louis Berger International Inc., AS bersama-sama Perbadanan Reka Bentuk Pengangkutan Vietnam (TEDI) bagi memberikan khidmat rundingan projek berkenaan.

Pembinaan[sunting | sunting sumber]

Bahagian hujung utara Terowong Hai Van. Terowong penyelenggaraan kedua terletak di sebelah kiri.

Syarikat-syarikat pembinaan utama bagi projek ini adalah syarikat usaha sama Vietnam-Jepun, Hazama-Cienco 6, serta syarikat usaha sama antara syarikat pembinaan Dong Ah dari Korea dan Song Da Construction Corporation Vietnam.

Terowong ini dibuka secara rasminya pada 5 Jun 2005.

Terowong utama adalah selebar 11.9 meter. Terowong kedua yang dibina bersebelahan dengan terowong utama kini digunakan untuk tujuan penyelenggaraan dan kecemasan, tetapi ia turut dirancang sebagai terowong laluan tambahan pada masa akan datang apabila kadar aliran trafik meningkat. Ia dihubungkan dengan terowong utama melalui 15 terowong lintasan. Terowong ini dilengkapi sistem pencahayaan, penggera kebakaran, sistem komunikasi, bekalan dan rawatan air, kipas pengudaraan, serta sistem siaran radio.

Terowong ini turut menerima anugerah kualiti oleh Persatuan Pengurusan Pembinaan Amerika. [1]

Operasi[sunting | sunting sumber]

Buat masa sekarang, terowong ini mempunyai satu lorong bagi setiap hala. Memandangkan pemandu dilarang daripada memotong sepanjang berada di dalam terowong, lengahan kecil boleh berlaku apabila pemandu terperangkap di belakang kenderaan yang bergerak perlahan. Kereta dan bas mini dikenakan tol sejumlah VND25,000.

Motosikal, basikal serta pejalan kaki tidak dibenarkan melalui terowong ini, namun perkhidmatan shuttle disediakan untuk mengangkut kenderaan berkenaan serta pejalan kaki bermula November 2006. Perkhidmatan shuttle ini beroperasi 24 jam sehari dengan kadar tambang yang lebih murah disediakan pada waktu malam. Tambang waktu siang untuk perkhidmatan tersebut ialah VND12,000 bagi motosikal, VND5,000 bagi basikal, serta VND3,000 bagi pejalan kaki.

Satu ruang menunggu disediakan di kedua-dua hujung terowong di mana pelawat boleh mengambil gambar serta menonton dokumentari berkaitan pembinaan terowong tersebut.

Terowong ini memendekkan jarak perjalanan antara Da Nang dengan Huế sebanyak 20km serta memendekkan masa perjalanan antara 30 minit hingga sejam berbanding jalan lama Genting Hai Van.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Koordinat: 16°11′13.13″N 108°06′06.09″E / 16.1869806°U 108.1016917°T / 16.1869806; 108.1016917