The Da Vinci Code

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Buku / Novel
Contoh kulit buku yang diterbitkan
Contoh kulit buku yang diterbitkan
The Da Vinci Code
Siri -
Pengarang Asal Dan Brown
Penterjemah Tidak diketahui
ISBN ISBN 0385504209 (edisi kulit tebal AS)
ISBN 0593052447 (edisi kulit tebal UK)
ISBN 1400079179 (edisi kulit kertas US)
Kod Buku -
Saiz 454 muka (AS) & 359 muka (UK)
Genre Tidak diketahui
Terbitan Doubleday (AS) & Bantam (UK)
Negara Tidak diketahui
Bahasa Bahasa Inggeris
Tahun Keluaran 2003
Bilangan Muka Surat Tidak diketahui
Harga Tidak diketahui
Kulit bukuThe Da Vinci Code (Edisi pertama UK)

The Da Vinci Code atau Kod Da Vinci merupakan sebuah novel cereka karangan Dan Brown dan diterbitkan pada tahun 2003 oleh Doubleday Fiction (ISBN 0385504209). Buku ini menjadi buku yang terlaris di dunia dengan jualan lebih daripada 40 juta naskhah dan diterjemahkan kepada 44 buah bahasa. Buku ini merangkumi genre penyiasatan, ngeri dan pengkomplotan dan menjadi buku kedua karangan penulis sama selepas Angels and Demons yang diterbitkan pada tahun 2000 yang mula memperkenalkan watak Robert Langdon selaku watak utama bagi kedua-dua novel. Buku ketiga telah diterbitkan pada tahun 2009 dengan tajuk The Solomon Symbol.

Pada November 2004, Random House menerbitkan "Edisi Bergambar Khas", dengan lebih 160 ilustrasi yang diselitkan bersama. Terdapat juga edisi kulit tebal yang mukanya tersorok kunci kepada persoalan yang berkaitan dengan jalan cerita.

Latar novel tersebut merangkumi pengkomplotan pihak Gereja Katolik untuk menutup cerita "sebenar" Jesus. Pihak Vatikan mengetahui bahawa ia satu pembohongan tetapi tetap menyembunyikannya untuk membiarkan mereka kekal berkuasa. Novel ini menaikkan kembali persoalan yang timbul disebalik legenda atau mitos Cawan Suci dan peranan Mary Magdalene dalam sejarah Kristian.

Buku yang merupakan hasil kreatif, penuh aksi dan pencetus minda mendapat kritikan kerana menyatakan pembabitan Gereja Katolik dan Opus Dei dalam kes-kes negatif.

(Kulit kertas pasaran AS)

Templat:Spoiler

Watak Utama[sunting | sunting sumber]

Watak yang diperkenalkan Dan Brown mengikut gaya penulisannya apabila nama watak turut memainkan peranan apabila dijadikan anagram dan petunjuk tersembunyi dalam jalan cerita:

  • Robert Langdon – merupakan seorang profesor Kaji Simbol Agama di Universiti Harvard dan datang ke Paris bertujuan untuk memberikan syarahan tentang kerjanya. Perkaitannya dengan cerita utama bermula apabila Jacques Saunière, kurator Louvre terbunuh dan kebetulan mereka telah mengadakan temu janji pada pada satu waktu sebelum pembunuhan berlaku. Pihak polis Perancis meminta bantuannya, yang tanpa disedari Langdon, menganggapnya sebagai suspek utama di sebalik pembunuhan tersebut. Mungkin bukan kebetulan nama watak ini berkaitan dengan John Langdon pembuat ambigram dalam novel kemunculan pertama Robert Langdon iaitu Angels and Demons.
  • Jacques Saunière – kurator Louvre, ketua kepada Priory of Sion, dan datuk Sophie Neveu. Sebelum dibunuh oleh Silas di muzium, dia mendedahkan maklumat palsu tentang kata kunci Priory. Setelah ditembak, dia menggunakan masa-masa terakhirnya untuk meninggalkan petunjuk untuk cucunya, Sophie, agar dapat merungkai misteri pembunuhan dan menyimpan rahsia Priory of Sion. Nama Saunière mungkin berdasarkan nama Bérenger Saunière, orang yang banyak kali disebut dalam buku Holy Blood, Holy Grail.
  • Sophie Neveu – cucu Jacques Saunière. Dia ialah ahli kriptografi kerajaan Perancis yang belajar di Royal Holloway, Kumpulan Maklumat Keselamatan Universiti London. Dia dibesarkan oleh datuknya selepas kematian ibu bapa dalam kemalangan kereta. Dia dipanggil "Princesse Sophie" - "Puteri Sophie" oleh datuknya ketika kecil. Dia turut membantu menyelesaikan masalah bersama Robert Langdon walaupun dia pernah mengalami konflik tentang datuknya dan kumpulan rahsia itu.
  • Bezu Fache – kapten "Direction centrale de la police judiciaire (DCPJ)" (Badan Polis Pusat), polis penyiasatan jenayah Perancis. Dia ditanggungjawabkan kes pembunuhan Saunière. Daripada pesanan yang ditinggalkan kurator itu, dia yakin bahawa pembunuh tersebut ialah Robert Langdon, lalu menyuruhnya datang ke Louvre untuk mengorek rahsia. Penangkapan Langdon terhalang apabila Sophie Neveu, yang mengetahui Langdon tidak bersalah telah secara senyap melarikannya.
  • Silas – pengikut Opus Dei yang balar. Dia ialah anak yatim dari Marseille dan terjebak dalam kancah jenayah lalu dipenjarakan di Andorra di Pyrenees dan bebas akibat gempa bumi. Dia mencari perlindungan daripada paderi muda berbangsa Sepanyol iaitu Aringarosa, yang menamakannya Silas. Sebelum bermulanya peristiwa utama novel, Aringarosa menyuruhnya sentiasa berhubung dengan Guru dan memberitahunya bahawa misi yang diberikannya adalah sangat penting demi menyimpan Kata Tuhan yang benar. Di bawah arahan Guru, dia membunuh Jacques Saunière dan tiga lagi pemimpin Priory of Sion semata-mata ingin mengetahui "batu kunci" Priory. Apabila mendapati dia diberikan maklumat yang salah, dia mengejar Langdon dan Neveu untuk mendapatkan batu kunci yang sebenar. Dia tidak mengetahui siapa Guru yang sebenarnya. Walaupun mengetahui pembunuhan ialah satu dosa, dia tetap melakukannya kerana yakin dengan perbuatannya itu, dia mampu menyelamatkan Gereja Katolik.
  • Biskop Manuel Aringarosa – ketua Opus Dei dan penjaga Silas. Dia dihubungi "Guru", yang mengetahui mesyuarat rahsia di Vatikan bersama golongan gereja iaitu sebaik sebelum dihubungi. Guru itu memberitahu dia boleh menyediakan artifak kepada Aringarosa yang bernilai kepada gereja yang mampu menaikkan Opus Dei mengatasi Vatikan.
  • Guru – watak bayangan yang mendalangi jalan cerita. Dia bukan sahaja mengetahui tentang Opus Dei, tetapi tahu pengenalan keempat-empat pemimpin Priory of Sion yang mengetahui tentang lokasi batu kunci. Dia mempergunakan Silas, jagaan Aringarosa, untuk menjalankan rancangannya.
  • André Vernet – presiden Bank Simpanan Zurich cawangan Perancis. Dia memberitahu Neveu dan Langdon bahawa mereka dikehendaki pihak DCPJ. Dia mahu menghalau mereka sebelum ketibaan polis untuk mengelakkan nama buruk. Mereka memberitahunya tentang kematian pemegang akaun bank Jacques Saunière dan Neveu kini memegang kunci tersebut iaitu Kunci Emas. Dengan menyamar sebegai pemandu bank, dia membawa keluar Neveu dan Langdon dari bank dengan selamat tanpa pengetahuan polis.
  • Sir Leigh Teabing – Ahli Sejarah Diraja British dan kawan Robert Langdon. Sangat kaya dan tinggal di pinggir Paris. Langdon dan Neveu mencari perlindungan dengannya selepas melarikan diri dari Bank Simpanan Zurich bersama kotak 'rosewood' yang mengandungi batu kunci. Dia membantu menerangkan tafsiran Cawan kepada Neveu. Selepas diketahui kehadiran mereka oleh Silas dan polis Perancis, mereka bersama chauffeurnya, Rémy, terbang ke England. Mereka membawa Silas bersama mereka dalam keadaan terikat. Selepas Neveu menyelesaikan gabungan kunci, Teabing membantu menafsirkan teka-teki yang mengatakan mereka akan ke Gereja Temple di London untuk mencari batu kunci yang kedua. Perhatikan bahawa nama Sir Leigh Teabing ialah anagram nama pengarang Holy Blood, Holy Grail, — Michael Baigent dan Richard Leigh.
  • Rémy Legaludec – orang gaji dan chauffeur kepada Leigh Teabing. Selepas terbang bersama Teabing, Langdon, dan Neveu ke England, dia memandu mereka ke Gereja Temple di London. Tanpa pengetahuan yang lain, dia bekerja untuk Guru. Ketika yang lain berada dalam Gereja Temple, dia melepaskan Silas dan dengan bersenjatakan pistol, memasuki gereja sebelum yang lain dapat mencari lokasi batu kunci di sana.
  • Lieutenant Collet – leftenan DCPJ dan turut bertanggungjawab dalam kes ini. Dia kecewa akan Fache, Collet cuba menaikkan maruahnya dengan mengingkari arahan Fache. Di akhir penyiasatan, Collet berjaya menguruskan kes itu dan menyelamatkan Fache daripada malu dengan penangkapan Guru.

Ringkasan[sunting | sunting sumber]

Templat:Spoiler

Buku ini mengisahkan usaha Robert Langdon, Profesor "Kaji Simbol Agama" di Universiti Harvard, menyelesaikan masalah pembunuhan seorang curator terkenal di Muzium Louvre, Paris iaitu Jacques Saunière. Sudahpun tertera sebagai tajuk buku, keadaan kematian Saunière menepati karya Da Vinci apabila mayatnya ditemui di Sayap Denon Louvre dalam keadaan berbogel dan menunjukkan gaya Vitruvian Man iaitu satu daripada karya terkenal Leonardo da Vinci. Menurut karya tersebut, mesej rahsia tertulis di sebelah badannya dengan rajah Pentagram terlukis di atas perutnya dengan darahya sendiri.

Vitruvian Man, oleh Leonardo da Vinci.

Pesanan yang tersembunyi di sebalik karya agung Leonardo seperti Mona Lisa dan The Last Supper, menjadi titik tolak dalam menyelesaikan masalah dan rahsia yang dilindungi yang tidak sempat disampaikan oleh Saunière sebelum mati serta misteri di sebalik pembunuhan tersebut.

Dalam merungkai misteri tersebut, watak (bersama pembaca) terpaksa memerah otak untuk mengaitkan kejadian, pesanan dan rahsia yang mungkin tersembunyi secara sulit termasuk anagram dan nombor. Robert Langdon dalam usaha mencari jawapan terhalang apabila disyaki menjadi dalang di sebalik pembunuhan tersebut. Dalam keadaan diburu, mereka mendapati semua itu berkaitan dengan tempat yang mungkin terletaknya Cawan Suci dan persatuan sulit yang dikenali sebagai [[Priory of Sion], begitu juga dengan Kesatria Templar. Turut muncul dalam jalan cerita ialah organisasi Katolik dan "Opus Dei".

Antara beberapa plot cerita:

  • Jacques Saunière ialah ketua Priory of Sion, maka dia tahu akan maklumat tentang "batu kunci", yang mendedahkan lokasi Cawan Suci dan dokumen yang mampu menggoyahkan institusi asas Kristian dan Gereja Katolik. Dia dibunuh kerana maklumat tersebut ingin dicungkil oleh pembunuhnya.
  • Pesanan yang ditinggalkan Saunière yang tertulis dengan pen di atas lantai mempunyai tambahan "P.S. Find Robert Langdon" (P.S. Cari Robert Langdon). Sebab itulah Bezu Fache mengesyaki Langdon sebagai pembunuhnya. Fache memadamnya sebelum Langdon tiba di Louvre supaya Langdon tidak tahu bahawa polis mengesyakinya. Walau bagaimanapun, Sophie Neveu melihat keseluruhan pesanan tersebut setelah difakskan oleh pihak polis ke pejabatnya. Dia menyedari bahawa pesanan tersebut adalah untuknya memandangkan datuknya sering memanggilnya "Princesse Sophie" (atau "PS") ketika kecil. Kerana itulah dia mengetahui bahawa Langdon tidak bersalah dan meninggalkan sistem peti simpanan suara untuk mengelakkannya daripada pihak polis.
  • Terdapat lagi tiga baris pesanan yang tertulis dengan darah Saunière yang merupakan anagram. Baris pertama ialah nombor Fibonacci yang ditunggangterbalikkan. Baris kedua dan ketiga tertulis "O, draconian devil!" dan "Oh, lame saint!" iaitu anagram bagi "Leonardo da Vinci" dan "The Mona Lisa" (dalam Inggeris). Petunjuk tersebut ialah panduan ke set petunjuk kedua. Pada kaca di potret Mona Lisa, Saunière menulis pesanan "So dark the con of Man" dengan pen curator yang hanya boleh dilihat dengan cahaya ultra ungu. Petunjuk tersebut ialah anagram bagi Madonna of the Rocks, iaitu satu lagi lukisan Da Vinci yang tergantung berhampiran. Di balik lukisan tersebut ialah kunci yang disorokkan Saunière yang tertulis di atasnya dengan pen kurator satu alamat.
  • Kunci tersebut boleh membuka peti keselamatan di Bank Simpanan Zurich dengan nombor akaunnya ialah nombor Fibonacci yang disusun mengikut susunan yang betul.
  • Di Westminster Abbey, Langdon membuka kripteks kedua dan menanggalkan isinya sebelum memusnahkannya di hadapan Teabing. Teabing ditangkap dan merayu kepada Langdon agar memberitahu kandungannya dan lokasi rahsia Cawan tersebut.
  • Biskop Aringarosa dan Silas mempercayai bahawa mereka menyelamatkan Gereja Katolik dan bukan memusnahkannya.
  • Bezu Fache mendapati Neveu dan Langdon tidak bersalah hanya selepas menemui peralatan perisikan di kawasan rumah Teabing.
  • Pesanan terakhir dalam batu kunci yang kedua tidak merujuk kepada gereja kecil Rosslyn Chapel, walaupun Cawan tersebut pernah ditanam di sana, di bawah Bintang David di atas lantai (dua segi tiga adala "bilah" dan "piala", atau lambing lelaki dan perempuan).
  • Penjaga gereja kecil Rosslyn ialah nenek Sophie (isteri Jacques Saunière ) yang telah lama menghilang.
  • Walaupun keempat-empat pemimpin Priory of Sion dibunuh, rahsia mereka tetap tidak hilang di kalangan organisasi tersebut
  • Pada penghujung buku, Robert Langdon dan Sophie Neveu merancang pertemuan mereka di Florence, Itali.

Rahsia Cawan Suci[sunting | sunting sumber]

Perincian The Last Supper oleh Leonardo da Vinci.

Seperti yang diterangkan Leigh Teabing kepada Sophie Neveu, orang yang berada di tangan kiri Jesus sepatutnya bukan John si Hawari, tetapi Mary Magdalene. Menurut buku ini, Mary Magdalene merupakan isteri Jesus Christ dan mengandungkan anaknya ketika penyaliban berlaku. Ketiadaan piala minum dalam lukisan tesebut menunjukkan bahawa Leonardo tahu bahawa Mary Magdalene ialah si Cawan Suci (pembawa darah Jesus). Kenyataan ini dikatakan dengan jelas lagi apabila bentuk "M" wujud di antara Jesus, Mary, dan hawari (Saint Peter) iaitu tempat Mary bersandar. Buku ini juga menyatakan warna pakaian mereka berdua saling padan dan berlawanan: Jesus memakai jubah mereah dengan selendang biru manakala John/Mary memakai jubah biru berselendangkan kain merah — yang mungkin melambangkan ikatan perkahwinan. (Walau bagaimanapun, tafsiran ini ditolak sejarawan seni.)

Menurut novel tersebut, rahsia Cawan Suci, seperti yang disimpan Priory of Sion, adalah seperti berikut:

  • Cawan Suci bukanlah piala atau cawan tetapi perempuan yang namanya Mary Magdalene, yang membawa darah Jesus.
  • Istilah bahasa Perancis Lama bagi Cawan Suci alah San gréal yang merupakan permainan kata bagi Sang réal yang bermaksud "darah diraja" dalam bahasa Perancis Lama.
  • Peninggalan Cawan tersebut mengandungi dokumen yang mengesahkan pertalian darah dan juga tulang Mary Magdalene yang mungkin disimpan di Gereja Kecil Rosslyn Chapel.
  • Pihak Gereja menyembunyikan kebenaran tentang pertalian darah antara Mary Magdalene dan Jesus selama 2000 tahun. Ini disebabkan mereka takut akan kuasa perempuan yang telah dirasuki Syaitan.
  • Mary Magdalene merupakan keturunan suci (melalui Yahudi, keturunan Benjamin) dan isteri Jesus, keturunan David. Khabar angin bahawa dia seorang pelacur ialah penghinaan yang dicipta Gereja Katolik untuk membuatkan orang tidak percaya akan hubungan mereka. Ketika waktu penyaliban, dia mengandung dan selepas itu, dia melarikan diri ke Gaul, di mana dia diberikan perlindungan oleh orang Yahudi Marseille. Dia melahirkan anak perempuan bernama Sarah. Pertalian darah Jesus dan Mary Magdalene menjadi Dinasti Merovingian di Perancis.
  • Kewujudan pertalian darah merupakan rahsia yang terkandung dalam dokumen yang dijumpai oleh tentera salib selepas mereka menguasai Jerusalem pada 1099 (lihat Kerajaan Jerusalem). Priory of Sion dan Kesatria Templar ditubuhkan untuk menyimpan rahsia itu.

Rahsia Cawan Suci berkait, menurut novel, dengan karya Leonardo Da Vinci dengan contoh berikut:

  • Leonardo merupakan ahli Priory of Sion dan tahu akan rahsia Cawan Suci. Rahsia tersebut didedahkan dalam The Last Supper, iaitu tiada piala yang ada di atas meja. Orang yang terletak di kiri Jesus bukanlah lelaki tetapi seorang perempuan, iaitu isterinya Mary Magdalene (Cawan Suci).
  • Mona Lisa ialah lukisan yang melambangkan penyatuan suci lelaki dan perempuan seperti juga Jesus dan Mary Magdalene. Nama Mona Lisa juga anagram kepada "Amon L'Isa", iaitu merujuk kepada dewa ibu dan bapa bagi Mesir Purba iaitu Amon dan Isis).

Persoalan dalam talian[sunting | sunting sumber]

Terdapat dua soalan atau teka-teki yang terdapat dalam talian yang merupakan kempen promosi bagi buku tersebut tetapi kini sudah menjadi satu permainan yang mencabar. Persoalan The Da Vinci Code menjadi tarikan popular bagi pelayar laman sesawang dan melibatkan pentafsiran petunjuk tulisan rahsia yang menggunakan buku dan internet untuk menyelesaikannya. Persoalan Da Vinci Code, kedua yang bertajuk 'Uncover The Code' (Mendedahkan Kod), juga mengikut gaya yang sama.

Misteri di sebalik misteri[sunting | sunting sumber]

Sebahagian daripada pengiklanan novel ialah hasil seni jaket kulit buku versi Amerika yang mempunyai kod dan pembaca yang mampu menyelesaikannya melalui laman sesawang pengarang akan diberikan hadiah. Beberapa ribu orang telah menyelesaikannnya dan satu nama dipilih secara rawak untuk dijadikan pemenang. Namanya diumumkan dalam siaran langsung, "Good Morning America", pada awal 2004 dan pemenangnya memperolehi hadiah perjalanan ke Paris.

Berikut ialah petunjuk yang tersembunyi:

  • Di belakang jaket buku mengandungi koordinat latitud dan longitud, yang ditulis terbalik, merah terang di atas merah pekat. Tambah satu darjah kepada latitude akan memberikan koordinat Agensi Perisikan Pusat (Central Intelligence Agency – CIA) di Virginia Utara, iaitu terletaknya arca misteri yang dipanggil Kryptos. Koordinat diambil daripada teks tulisan rahsia yang dipecahkan daripada bahagian dua arca. Apabila Brown ditanya tentang mengapa koordinat berbeza satu darjah, dia menjawab, "Percanggahan itu disengajakan."
  • Terdapat pesanan tersembunyi dalam teks di muka jaket bahagian dalam penutup
  • Perkataan "only WW knows" ("hanya WW yang tahu") boleh dilihat di penutup belakang. Ini juga rujukan kepada bahagian dua iaitu arca Kryptos. [1]
  • Bulatan bersama nombor, apabila digabungkan dengan teks daripada buku, akan mendedahkan pesanan rahsia.
  • Terdapat tulisan terbalik pada penutup kulit buku.

Brown telah menyatakan bahawa teka-teki tersebut akan memberikan petunjuk kepada tajuk novelnya yang seterusnya, The Solomon Symbol. Hal tersebut berulangan apabila novel Deception Point mempunyai pesanan yang kemudian diselesaikan menjadi "The Da Vinci Code will surface - (The Davinci Code akan muncul) ".

Adaptasi[sunting | sunting sumber]

Sony's Columbia Pictures mengadaptasikan novel ini kepada filem dengan lakon layar ditulis oleh Akiva Goldsman dan pemenang Anugerah Akademi Ron Howard sebagai pengarah. Filem tersebut telah dilancarkan di Malaysia pada 18 Mei 2006 dan dibintangi Tom Hanks sebagai Robert Langdon, Audrey Tautou sebagai Sophie Neveu, dan Sir Ian McKellen sebagai Sir Leigh Teabing.

Kritikan[sunting | sunting sumber]

Kes mahkamah[sunting | sunting sumber]

Dan Brown pernah dibawa ke mahkamah oleh beberapa penulis yang mendakwa dia menciplak karya mereka. Antaranya seperti pada Februari 2006, Michael Baigent and Richard Leigh, dua daripada tiga pengarang The Holy Blood and the Holy Grail. Sesetengah berpendapat bahawa itu hanyalah aksi publisiti. Dan Brown menegaskan bahawa sejarah tidak boleh diciplak maka tuduhan dua pengarang tersebut adalah palsu.

Terdapat juga beberapa lagi perbicaraan yang dimenangi Dan Brown kerana peristiwa bersejarah tidak boleh dilindungi oleh undang-undang hak cipta dan sesiapapun berhak menulis tentangnya.

Tindak balas pihak Kristian[sunting | sunting sumber]

Biskop Katolik AS melancarkan laman sesawang yang menentang novel tersebut. Biskop menyatakan bahawa terdapat kesilapan dalam The Da Vinci Code.

Organisasi Kristian merancang untuk bertemu dengan penonton filem dengan bantahan dan doa di luar panggung di seluruh AS. Selepas mengumpul lebih daripada 60,000 tanda tangan dalam bantahan, organisasi Katolik merancang untuk mengadakan bantahan bagi seribu panggung dengan puluhan ribu pembantah. Pembantah juga mendapat galakan daripada pihak Vatikan yang menyatakan filem tersebut mengandungi "fitnah, menyinggung perasaan dan kesalahan".[2]

Tidak semua kumpulan Kristian bertindak sebegitu. Selain merancang boikot dan bantahan, banyak penganut Kristian melihat filem tersebut sebagai alat evangelisme.[3]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Bantuan dan panduan kajian[sunting | sunting sumber]

Pandangan dan kritikan[sunting | sunting sumber]

Laman peminat dan forum[sunting | sunting sumber]

Lain-lain[sunting | sunting sumber]