Haji Yusuf bin Abdul Rahman

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Tok Pulau Ubi)
Lompat ke: pandu arah, cari

Haji Yusuf bin Abdul Rahman (1887-1957) atau lebih dikenali sebagai Tok Pulau Ubi ialah ulamak Melayu yang mengembangkan syiar Islam di nusantara. Beliau telah mengarang beberapa buah kitab dalam bidang Tajwid dan Usuluddin.


Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Haji Yusof bin Abdul Rahman bin Abdul Ghani dilahirkan di Sungai Pinang, Kelantan kepada Che Jamilah, ibunya, pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad II. Pada tahun itu, Angin Besar melanda dan membawa kemiskinan kepada negeri Kelantan kerana banyak ternakan dan tanaman yang musnah; ada di kalangan penduduk Kelantan yang mati kebuluran dan ada yang terpaksa memakan pucuk kelapa atau pucuk pinang dan sebagainya untuk hidup.

Haji Yusof diasuh sebagai anak kesayangan Abdul Rahman. Beliau belajar di bawah Tuan Guru Haji Abdul Malek dan terutamanya dengan bapa sepupunya, Haji Abdul Latif Patani. Haji Yusof kemudian melanjutkan pendidikannya di Patani dan selepas itu, Haji Abdul Latif, bapa sepupunya itu, membawanya ke Makkah untuk menyambungkan pelajarannya kerana ibu bapanya miskin dan tidak dapat membiayainya. Haji Yusof tinggal di Makkah selama sepuluh tahun.

Haji Yusof belajar dengan Tok Wan Ali Kutan dan Haji Wan Ahmad bin Muhammad Zain Patani. Beliau belajar al-Quran dengan Haji Abdullah Senggora. Ketika belajar di Makkah, Haji Yusof telah bersahabat rapat dengan Tok Selehor, Tok Kenali, dan Pak Da Ail.

Tawaran menjadi mufti[sunting | sunting sumber]

Setelah sepuluh tahun belajar dengan sungguh-sungguh, walaupun terpaksa menempuh bermacam-macam kesulitan, perasaan dan peristiwa dengan berkat sabar dan Tabah hati itu beliau telah berjaya menjadi seorang Ulama’. Setelah kembali ke Sungai Pinang beliau telah membuka Pondok dalam kawasan rumah Dato’ Menteri Che Hasan bin Muhammad Saleh, tidak jauh dari Pondok Tuan Guru Haji Abdul Malek. Beliau mengajar bermacam-macam kitab. Di antara kitab-kitab yang beliau ajar ialah Furu’ al-Masa’il, Kashf al-Litham, ‘Aqidah al-Najid, Al-Durr al-thamin, Jauhar al-Mauhub, Hikam, Hudhud, Qatr al-Nada,Fath al-Muin dan lain-lain. Kelebihannya dalam ilmu fiqh dan tauhid. Di antara murid-muridnya di sini ialah Haji Ali Pulau Pisang, Syaikh ‘Uthman Jalaludin Penanti dan lain-lain.

Setelah Mufti Haji Wan Musa meletakkan jawatannya pada tahun 1916 M, Dato’ Menteri meminta beliau memegang jawatan Mufti Negeri Kelantan tetapi beliau menolak tawaran itu; namun demikian beliau masih berhubung rapat dengan Menteri tersebut. Oleh hal yang demikian maka jawatan itu diberi kepada Haji wan Muhammad, abang kepada Mufti Haji Wan Musa. Tidak lama kemudian Haji Yusof berpindah dari Sungai Pinang ke Pulai Ubi, di mana pada masa itu tidak ada penghuninya, Cuma rumput-rumput yang panjang. Haji Yusof mempunyai hasrat supaya kawasan itu menjadi kawasan yang maju kerana selepas berpindah ke situ, ramailah orang-orang yang datang membuka pondok. Rumput yang panjang telah musnah oleh tangan manusia, kawasan yang lengang telah mula menjadi bising dengan suara manusia membaca kitab suci al’Quran. Pondoknya berkekalan hampir 50 buah sehingga Perang Jepun. Pelajar-pelajar yang datang ke situ dari Patani, Tabal dan terdapat juga dari luar Negeri Kelantan. Pondok dan pengajarannya makin kemuncak setelah Tuan Guru Haji Husain Mustafa Besut menjadi menantunya dan kedua-duanya mengajar berganti-ganti.Walaupun beliau tinggal di Pulau Ubi tetapi Dato’ Menteri masih menghormatinya. Beliau diberi sepucuk senapang untuk menjaga keselamatan diri dan perkampungannya. Perhubungan kedua-duanya sentiasa teguh.

Peribadi[sunting | sunting sumber]

Haji Yusof Pulau Ubi adalah seorang Ulama’ yang sangat kuat ingatan. Apabila satu-satu kemusykilan ditanya kepadanya beliau memberi jawapan dengan menerangkan nama kitab da muka suratnya sekali. Walaupun ada ramai lagi guru-guru sezaman dengannya disekitar Geting dan Pengkalan Kubor, beliau masih dihormati oleh guru-guru itu kerana kematangannya dalam ilmu ugama dan al’Quran.Satu dari kelebihannya bahawa perbuatan-perbuatan maksiat tidak dapat dilakukan dihadapannya. Kalau dibawa ayam sabung, ayam sabung itu tidak dapat bersabung. Kalau bergendang dikawasannya, gendang akan pecah. Seorang telah cuba mencuri buah kelapa, ketika turun dia nampak ular besar dibatangnya. Sejak berlakunya peristiwa- peristiwa itu orang rasa takut kepadanya. Demikianlah dijelaskan oleh En.Taib Bin Ismail, Kg.Geting(100thn lebih umurnya).Tuan Guru Haji Abdul Hamid menjelaskan bahawa ayahnya sangat gemar membaca al-Quran dimalam-malam hari, suka mentelaah kitab-kitab dan dimalam-malam hari juga beliau mengawal murid-murid dari keluar tak tentu arah. Kerana kemasyhuran namanya sejak ketika berada di Sungai Pinang lagi, maka pepondok beliau telah menjadi tempat perlindungan Cik Yusof anak Tok Kaya Semantan bersama-sama isterinya dan Saadiah, isteri Tok Kaya Semantan Satu daripada sifat Tuan Guru Haji Yusoff Pulau Ubi ialah, berdakwah dengan berpindah tempat. Dari Sungai Pinang ke Pulau Ubi, dan dari Pulau Ubi ke Telaga Lanas. Perpindahan dari kali pertama adalah jauh jaraknya, tetapi perpindahan kali kedua adalah dekat. Tuan Guru Nik Mohammad Bin Abdullah Geting(Pelawat Mubaligh) adalah diantara muridnya yang paling rapat. Perpindahan kali kedua itu adalah atas dorongan beliau dan pertolongannya dari segi tenaga dan material(benda), kerana Pulau Ubi adalah susah perhubungannya sedangkan di Telaga Lanas adalah senang untuk dibuat perhubungan. Satu penyakit yang ada pada Tuan Guru Haji Yusof Pulau Ubi ialah penyakit was-was. Beliau takbir berkali-kali ketika mulai sembahyang ini berlaku ketika umurnya telah lanjut. Tetapi was-wasnya itu tidaklah pula mengganggukannya sangat kerana beliau dapat mengawal dirinya. Haji Yusof Pulau Ubi adalah diantara Ulamak Kelantan yang pernah mengeluarkan pendapat bahawa sembahyang tidak wajib Qada semuanya, tetapi hanya Qada’ yang lima waktu sahaja. Hal ini pernah dibawa kepengetahuan Mufti Haji Ibrahim dan telah dibuat perbincangan dengan Haji Muhammad Nor Mufti Khas ketika itu dirumah Dato’ Perdana Haji Nik Mahmud di Tumpat. Tetapi tidaklah membuat apa-apa tindakan kerana beliau mengetahui peribadi dan pengetahuan Haji Yusof Pulau Ubi itu, kerana keduanya pernah bersahabat baik.


MENINGGAL DUNIA

Tuan Guru Haji Yusof Pulau Ubi telah meninggal dunia pada tahun 1957 dalam usianya 70 thn. Beliau telah berjaya meninggalkan anaknya, Haji Abdul Hamid seorang Ulamak dan selainnya berminat dalam agama.

Anak-anak beliau ialah: 1. Tok Guru Haji Abdul Hamid (meninggal dunia pada 23 September 1978

2. Haji Abdullah (meninggal dunia pada 6 Julai 1977)

3. Muhammad Saud(meninggal dunia)

4. Mariam (meninggal dunia)

5. Zainab (meninggal dunia)

6. Azirah (sekarang menetap di Kg.Telaga Lanas)

Dan yang lain-lain telah meninggal dunia. (Tok Guru Pulau Ubi mempunyai 13 orang anak semuanya tidak termasuk 5 lagi yang keguguran)


Kedudukan nusantara diantara jalan perdagangan tanah Arab dengan negara China merupakan peluang yang membenarkan kawasan nusantara menjadi satu kuasa bertaraf antarabangsa yang dipengaruhi oleh idea dan kebudayaan daripada bangsa Arab, India dan China.

Mereka yang bertaraf ulamak biasanya pernah melanjutkan penggajian ke Semenanjung Arab seperti di Mekah, atau Universiti Al-Azhar. Di sana mereka juga terdedah kepada kebudayaan Parsi, Rom dan Turki sebagaimana yang dapat dikesan dalam sastera golongan istana seperti Hikayat Amir Hamzah, dan juga oleh kebudayaan China seperti mana yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah, dan Syair Siti Zubaidah.

Pengetahuan ugama dan politik dunia ini menjadikan mereka seseorang yang berpengaruh sekembalinya mereka ke nusantara ketika itu.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Ismail Che Daud. Tokoh-tokoh Ulama' Semenanjung Melayu (1). Percetakan ZulRahim Sdn. Bhd. ISBN 983-2391-00-8