Dalang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Tok dalang)
Seorang dalang yang sedang berlatih.

Dalang (Jawi: دالڠ) atau tok dalang dalam bidang wayang kulit ialah seorang yang memainkan berbilang peranan, antaranya sebagai penulis cerita, pengarah lakonan, pengatur pentas, penyusun iringan, pengisah, pemain watak, dan "penyanyi". Kesimpulannya, dalang adalah seseorang yang mempunyai kemahiran berbilang disiplin, serta juga seorang pemimpin dalam pertunjukan dan kumpulannya.

Untuk peranan ini, seorang dalang harus mempunyai ilmu pengetahuan yang sangat luas. Sudah tentu, berbagai-bagai bidang ilmu harus dipelajari, meskipun hanya sedikit, supaya dapat menyesuaikan cerita dengan perkembangan-perkembangan zaman dan nilai-nilai kekinian.

Dalang berasal dari bahasa Jawa Kuno ḍalaṅ (bentuk moden: ꦝꦭꦁ dhalang[1]) yang bermakna pemain boneka. Dalam filosofi jawa pula, dalang bermaksud "ngudal piwulang" (menerangkan ilmu), dan memberikan pencerahan kepada para penontonnya. Gelaran "dalang" turut dimodenkan lanjut kepada pengkarya animasi (atau juruanimasi) daripada kiasan sama penggerakkan gambar berurutan "menghidupkan" watak dilukis.[2]

Di Kelantan, Tok Dalang membawa watak-watak dalam wayang kulit dengan loghat Kelantan atau Thailand. Di Kedah, Tok Dalang membawa hikayat dengan menggunakan loghat Kedah.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Pekerjaan dalang mempunyai sejarah berabad-abad, seiring dengan sejarah wayang. Pada zaman dahulu, seni ini diturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Seorang anak dalang biasanya mendalang melalui perantisan, tanpa sebarang pembelajaran formal. Dia akan mengikut bapanya semasa mendalang dan membawa peralatan, mengatur panggung, main gamelan, atau duduk di belakang bapanya untuk membantu. Dalang-dalang biasanya akan membuat persembahan mereka dari tempoh selepas padi habis dituai sampai ke musim hujan; dalang tidak akan bekerja pada malam Jumaat dan bulan Ramadan.[3]

Melalui perantisan tersebut, seorang anak dalang pada zaman dahulu biasanya akan mengikut jejak bapanya di kemudian hari. Tetapi banyak juga anak-anak dalang di Indonesia kini tidak hendak menjadi dalang kerana mempunyai pilihan-pilihan hidup sendiri, baik dalam perkhidmatan awam, Tentera Nasional Indonesia, mahupun dalam sektor swasta.

Dalam perkembangan selanjutnya, kini terdapat juga sekolah-sekolah pendalangan sehingga peringkat insititusi pendidikan tinggi di Indonesia.

Dalam perkembangan yang lebih lanjut lagi dalam seni ini, muncullah dalang jemblung, versi pertunjukan yang dipermudah dan yang tidak menggunakan wayang sebagai media ceritanya. Pertunjukan ini terdiri daripada dialog sahaja dan dalam keadaan ini, dalang merupakan pencerita kisah wayang.

Sekolah pendalangan[sunting | sunting sumber]

Pekerjaan dalang telah menjadi suatu profesion yang formal, khususnya di Indonesia, dengan adanya sekolah-sekolah pendalangan sehingga peringkat insititusi pendidikan tinggi, antaranya:

Sekolah Tinggi Seni Indonesia Surakarta (STSI) misalnya menawarkan kursus Sarjana Muda dalam pendalangan yang tidak hanya tertumpu pada memainkan wayang tetapi juga pada wawasan luas dan fikiran kritis. Dalam institusi-institutisi pendidikan tinggi inilah lahir pula dalang yang bukan daripada keturunan dalang.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Rujuk:
    • S. Wojowasito (1977). Kamus Kawi-Indonesia. Malang, Jawa Timur: Penerbit CV Pengarang. m/s. 68.
    • en Roorda, Gericke (1901). "dhalang". Javaansch-Nederlandsch Handwoordenboek. 26: Dha. E. J. Brill: Leiden, Belanda. m/s. 2: 359 – melalui Sastra Jawa kelolaan Yayasan Sastra Lestari. KN. de wayangspeler, die het wayangspel vertoont JZ. II; fig. de leider van een zaak.
  2. ^ Mansor Puteh (1989). Glosari Perfileman. Dewan Bahasa dan Pustaka & Kementerian Pendidikan Malaysia. m/s. 21.
  3. ^ Sweeney, Amin (1970). "The Shadow Play of Kelantan: Report on a Period of Field Research". Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society. 43 (2 (218)): 54. ISSN 0126-7353.