Tom Phillips

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Laksamana Sir Tom Phillips

Laksamana Sir Thomas "Tom" Spencer Vaughan Phillips KCB (19 Februari 1888 - 10 Disember 1941) adalah seorang pegawai Tentera Laut Diraja Britain yang mengukir nama harum sepanjang perkhidmatan beliau dengan perkhidmatan tersebut. Beliau paling terkenal sebagai pemerintah “Pasukan Z” semasa Pertempuran Malaya apabila dia membawa pasukannya terdiri daripada dua buah kapal perang besar dan 4 buah kapal pembinasa untuk menghadapi armada yang membawa pasukan penaklukan Tentera Jepun tetapi telah dipintas dan ditenggelamkan oleh kapal-kapal terbang Jepun di perairan Laut China Selatan berhampiran Kuantan. Tom Phillips terbunuh dan tenggelam bersama-sama Kapal Laksamana HMS Prince of Wales.

Hayat Awal[sunting | sunting sumber]

Tom Phillips adalah anak kepada Kolonel Thomas Vaughan Wynn Phillips, Rejimen Artileri Diraja. Ibunya, Louisa Mary Adeline de Horsey Phillips adalah puteri kepada Laksamana Sir Algernon Frederick Rous de Horsey.

Kerjaya Tentera Laut[sunting | sunting sumber]

Tom Phillips menyertai Tentera Laut Diraja dalam tahun 1903 sebagai seorang kadet laut. Beliau menjadi seorang kadet kanan dalam tahun 1904, dan dinaikkan pangkat menjadi Leftenan Madya dalam tahun 1907. Dalam bulan Julai 1908, Tom Phillips dijadikan seorang Leftenan.

Semasa Perang Dunia I, Tom Phillips berkhidmat di atas kapal pembinasa di Laut Mediterranean dan di Timur Jauh. Tom Phillips menghadiri Maktab Turus dalam tahun 1919. Dalam tahun 1920 hingga 1922, Tom Phillips menjadi penasihat tentera Liga Negara-Negara (League of Nations). Dalam bulan Jun 1921, beliau dinaikkan pangkat menjadi Komander dan dalam bulan Jun 1927, beliau dinaikkan pangkat lagi sebagai Kepten. Dalam tahun 1932, Tom Phillips dilantik menjadi Penolong Pengarah Bahagian Perancangan di Jabatan Admiralti. Beliau dinaikkan pangkat menjadi Komodor dalam tahun 1938 dan pada bulan Januari 1939 dinaikkan pangkat menjadi Laksamana Madya dan diberi memerintah sebuah flotilla kapal pembinasa.

Force Z[sunting | sunting sumber]

Tom Phillips dilantik menjadi pemerintah tertinggi Kumpulan Laut Timur Jauh pada penghujung tahun 1941. Phillips dijadikan pemangku Laksamana dan belayar pada 25 Oktober 1941 menuju Singapura bersama-sama satu detasmen dikenali sebagai "Pasukan G" yang terdiri daripada kapal Laksamana HMS Prince of Wales, HMS Repulse dan empat buah kapal pembinasa HMS Electra, HMS Express, HMS Encounter, and HMS Jupiter. Kapal induk HMS Indomitable sepatutnya menyertai pasukan ini tetapi terkandas di Hindia Barat. Setibanya Phillips di Singapura, pasukannya ditukarkan nama menjadi "Force Z".

Jepun melancarkan serangan ke atas Semenanjung Tanah Melayu pada 8 Disember 1941 dengan pendaratan di Kota Bharu. Phillips berpendapat kapal terbang Jepun tidak dapat mengancam pasukannya, dan membawa pasukannya terdiri dari HMS Prince of Wales, HMS Repulse dan empat buah kapal pembinasa HMS Electra, HMS Express, HMAS Vampire'' dan HMS Tenedos ke arah utara untuk bertembung dengan pasukan Jepun. Force Z tidak menjumpai pasukan Jepun itu tetapi sebaliknya dijejak oleh kapal selam Jepun I-65.

HMS Prince of Wales, dan HMS Repulse ditenggelamkan dalam serangan udara pada 10 Disember yang dilancarkan oleh 86 pesawat pengebom Jepun dari Flotilla udara Ke-22 yang berpangkalan di Saigon. 2,081 daripada 2,921 pegawai dan anak kapal daripada HMS Prince of Wales dan HMS Repulse dapat diselamatkan tetapi Tom Phillips dan Kapten John Catterall Leach tenggelam bersama-sama kapal mereka.

Pautan Luar[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Mark M. Boatner: The Biographical Dictionary of World War II. - Presidio Press, Novato CA, 1996. – ISBN 0-89141-548-3
  • H. G. Thursfield: Phillips, Sir Tom Spencer Vaughan (1888–1941). In: Oxford Dictionary of National Biography. – Oxford und New York, 1959


Didahului oleh
Sir Geoffrey Layton
Pemerintah Tertinggi Angkatan Laut TImur Jauh
1941–1941
Diikuti oleh:
Sir Geoffrey Layton

[[Kategori:Pegawai Tentera Laut Diraja British]