Tornjak

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Tornjak
Tornjak
Nama lainAnjing gembala Bosnia-Herzegovina dan Croatia
Negara asalBosnia dan Herzegovina
Croatia
Anjing (Canis lupus familiaris)

Tornjak[a] atau anjing gembala Bosnia-Herzegovina dan Croatia[b] ialah satu baka anjing penjaga haiwan ternakan yang asli di Bosnia dan Herzegovina dan Croatia.[1] Namanya berasal daripada perkataan tempatan untuk pagaran biri-biri, iaitu "tor". Ternakan asasi terdiri daripada anjing gembala baka tempatan homogen secara genetik yang tersebar di pergunungan dan di lembah-lembah di kawasan ini.[2] Ia merupakan anjing gunung jenis molosser[1] yang serupa dengan baka-baka penjaga haiwan ternakan lain di kawasan ini, iaitu anjing Pergunungan Šar, anjing gembala Bukovina, dan anjing gembala Yunani.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Tornjak tergolong dalam baka perlindungan haiwan ternakan jarang dan mengongsi banyak ciri dengan anjing penjaga haiwan ternakan lain. Baka tornjak pertama kali disebut pada abad ke-11 dan merupakan anjing pindah ternak bagi gembala Vlach zaman pertengahan Bosnia.[3] Perihal bagi tornjak ditemukan dalam tulisan Peter Horvat, uskup Đakovo, Croatia, yang bertarikh kembali ke tahun 1374, dan dalam tulisan Peter Lukić, Kanun Keuskupan Đakovo, pada tahun 1752. Sehingga hari ini, anjing-anjing ini dipanggil toraši di sekeliling bandar bandary Sinj dan di gunung Kamešnica, manakala pengembala di pergunungan Dinara memanggilnya dinarci ("anjing Dinara"). Perihal tentang Tornjak daripada dokumen-dokumen ini adalah serupa dengan perihal moden, kecuali nama baka, iaitu Bosanski Ovčar, yang memaksudkan "anjing gembala Bosnia".[4] Ia juga dipanggil hrvatski pas planinac, yang memaksudkan "anjing gunung Croatia". Anjing-anjing dalam dokumen ini diperihalkan dengan cara serupa: anjing pelindung yang menjaga dan mengawasi semua yang diminta oleh pemiliknya, namun amat cerdas dan dibiakbakakan secara terpilih untuk menjadi tidak mempunyai agresi berlebihan. Ia juga dikatakan menyenangkan terhadap orang asing yang ditemui di luar domainnya.

Anjing jenis tornjak dianggap telah wujud di dalam kawasan dan di sekeliling kawasan Alp Dinara, terutamanya di rantau di sekitar Vlašić (dekat dengan bandar raya Travnik, Bosnia dan Herzegovina) sebagai kawasan pusat rantau ini, sejak zaman Rom. Orang Rom menggunakan anjing mereka untuk peperangan, sebagai penjaga, dan untuk pertarungan di arena. Walaupun tornjak ialah baka sangat tua, ia beransur-ansur berkurang dengan pengakhiran penggembalaan biri-biri nomad. Pada awal tahun 1970-an, sekumpulan ahli kinologi tempatan mula mengumpulkan anjing tersisa yang paling sesuai dengan tulisan lama tentang baka ini.[5] Tornjak pertama kali diimport ke United Kingdom pada tahun 2013 dengan niat untuk berusaha ke arah pengiktirafan The Kennel Club United Kingdom.

Ciri[sunting | sunting sumber]

Seekor tornjak betina yang dibiakbakakan di Croatia yang menyertai Pertunjukan Pemenang Eropah 2008 di Budapest, Hungary

Penampilan[sunting | sunting sumber]

Tornjak ialah anjing besar dengan ciri-ciri tubuh lebih kurang berbentuk segi empat sama dan pergerakan agak tangkas. Walaupun begitu, tulangnya tidak ringan. Tornjak ialah baka berbulu panjang dengan bulu pendek di bahagian muka dan tungkai. Bulunya jelas panjang dan lebat di bahagian leher (surai) dan di belakang paha atas (punggung). Ekornya sangat berbulu dan terangkat seperti bendera semasa anjing berkenaan bergerak. Lapis bulunya sangat padat dan tidak dapat dipisahkan.

Sebagai peraturan, tornjak berwarna-warna, dengan putih sebagai warna dasar dominan. Penandaan putih paling kerap ditemukan di sekeliling leher, di atas kepala, dan di sepanjang tungkai. Tompok-tompok boleh memiliki apa-apa warna. Serupa dengan anjing penjaga haiwan ternakan lain, tanda-tanda berbeza berfungsi untuk tujuan utilitarian, iaitu membantu gembala membezakan anjing mereka daripada biri-biri dan serigala.

Perangai[sunting | sunting sumber]

Tornjak mempunyai perangai tenang. Tornjak dewasa tipikal ialah haiwan tenang, damai, dan kelihatan acuh tak acuh, tetapi apabila keadaan menuntut, ia merupakan anjing pengawas berjaga-jaga dan berwaspada. Perwatakannya sama dengan perangai; ia tidak gementar mahupun agresif.[perlu rujukan] Pada umumnya, ia merupakan anjing sangat teguh, tegap, dan tidak terlalu menuntut. Dengan keluarga manusianya, ia dapat menjadi sangat penyayang. Apabila hidup dalam kawanan, ia merupakan haiwan sangat sosial, tanpa pergaduhan sesama anggota kawanan. Terhadap orang asing atau haiwan lain, sebagai peraturan, tornjak tidak terlalu agresif. Walau bagaimanapun, apabila keadaan memerlukannya, tornjak cukup tegas dan ia mampu menyerang lawan lebih kuat tanpa pertimbangan. Gembala pernah mengatakan bahawa tornjak yang menjaga kawanan ternakan ialah padanan adil dengan dua ekor serigala dan bahawa sepasang tornjak akan menghadap dan mengusir seekor beruang. Dalam situasi ini, tornjak dapat menjadi sangat tabah.

contoh lapis bulu lebih pendek pada musim panas
Lapis bulunya lebih pendek pada musim panas.

Kegiatan[sunting | sunting sumber]

Paras senaman tornjak biasanya tidak menuntut, terutamanya dalam 9–12 bulan pertama (semasa tempoh pertumbuhan intensif terakhir). Ia lebih suka berjalan jauh-jauh tanpa cawak dan banyak bermain dengan anjing lain. Ia juga berpuas hati dengan hanya berjalan kaki selama 20 minit jika pemiliknya tergesa-gesa. Tornjak belajar dengan cepat dan tidak mudah lupa; ia gembira melaksanakan tugas dan, oleh itu, mudah dilatih. Kuat dan tahan lasak, anjing ini berbaring di atas tanah semasa malam musim sejuk bersalji dan kerap dilitupi oleh salji tanpa membeku oleh sebab lapis bulu tebalnya. Ia digunakan terutamanya untuk penggembalaan dan perlindungan haiwan ternakan.[perlu rujukan]

Penjagaan[sunting | sunting sumber]

Tornjak tidak sesuai untuk kehidupan pangsapuri. Ia memerlukan banyak ruang dan bertahan dengan terbaik dengan sekurang-kurangnya halaman luas. Oleh sebab lapis bulu tebalnya melindunginya dengan baik, ia mampu mengatasi kehidupan di luar rumah dengan baik asalkan ia mempunyai tempat perlindungan sesuai. Baka ini paling sesuai untuk keluarga dengan ruang di sekeliling rumah yang dapat digunakan untuk memenuhi keperluan senaman sendiri.[perlu rujukan]

Sendi keting dapat rosak atau displasia pinggul dengan menaiki dan menuruni tangga dalam enam bulan pertama.[perlu rujukan]

Tornjak memerlukan sosialisasi awal. Pengalaman awal (sebelum umur 9 bulan) mempunyai kesan sangat ketara sepanjang hayat anjing berkenaan. Ia perlu berhadapan dengan rangsangan yang berpotensi menakutkan seawal mungkin untuk mengelakkan tindak balas ketakutan kemudiannya. Hingar-bingar lalu lintas, trak besar, dan bas bakal menimbulkan tindak balas ketakutan pada usia dewasa jika tornjak berkenaan tidak pernah menghadapi situasi ini sebagai anak anjing. Pada usia awal ini, semua anak tornjak perlu bertemu seramai mungkin orang yang tidak dikenali, dan juga haiwan, anjing, dan haiwan peliharaan lain terutamanya, untuk membangunkan tingkah laku sosial baik dan stabil sebagai dewasa.[perlu rujukan]

Pelarangan[sunting | sunting sumber]

Baka ini dilarang di Denmark.[6]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: تورڽک, Sebutan bahasa Melayu: [torˈɲak]; Templat:Lang-sh-Latn-Cyrl, disebut [torɲâk]
  2. ^ Jawi: انجيڠ ݢمبالا بوسنيا-هيرزيݢوۏينا دان کروءيشا; Templat:Lang-sh-Latn-Cyrl; bahasa Inggeris: Bosnian and Herzegovinan-Croatian shepherd dog

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b "Tornjak". Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 9 Januari 2024.
  2. ^ Tornjak (Bosnian and Herzegovinian 2017 (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Persekutuan Kinologi Antarabangsa. Dicapai pada 9 Januari 2024.
  3. ^ Cathie Carmichael, A Concise History of Bosnia (Inggeris), Cambridge University Press, 2 Julai 2015 - 221, hlm. 17
  4. ^ "TORNJAK - Bosnian shepherd dog". Bhtornjak.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 19 Januari 2024.
  5. ^ "Tornjak - A Breed Resurrected - Dogs and dog breeds and dog pictures". 123dog.net (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 19 Januari 2024.
  6. ^ "Danish Legislation on Dogs". www.foedevarestyrelsen.dk (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 19 Januari 2024.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]