Transparency International Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Transparency International Malaysia (TI-M) merupakan badan yang memperjuangkan ketelusan, tidak berlaku rasuah dan penyelewengan dalam pentadbiran sesebuah negara. Badan induknya ialah Transparency International. Ia merupakan pertubuhan dunia yang mengepalai gerakan membasmi rasuah, mengeluarkan indeks rasuah yang menyenaraikan kedudukan negara-negara berdasarkan markah.

Ranking rasuah[sunting | sunting sumber]

Secara perbandingan di Asia, Singapura menduduki tempat teratas diikuti Hong Kong, Jepun, Macau, Korea Selatan dan Malaysia. Pada 2008, Bank Dunia dan TI telah meletakkan Malaysia di tangga ke-6 di kalangan negara-negara Asia.[1] Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) menyatakan Malaysia telah menunjukkan kemajuan dalam memerangi gejala rasuah tetapi masih mempunyai ruang untuk diperbaiki. Ranking oleh International Country Risk Guide (ICRG), Malaysia diletakkan di tempat ke-9 dengan 2.38 mata di kalangan 19 negara di Asia.

President TI-M, Tan Sri Ramon Navaratnam mengalu-alukan kelulusan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pecegahan Rasuah (MACC) dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) di Parlimen Malaysia kerana kuasa lebih besar diberikan untuk mendakwa dan menyiasat semua kes. Selepas ini semua kes akan disiasat dan dibawa ke mahkamah tanpa perlu merundingi pejabat Peguam Negara dan dipengaruhi oleh politik. Undang-undang menyediakan kerahsiaan penuh identiti pemberi maklumat . Tetapi mereka yang membuat laporan palsu boleh dikenakan hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda hingga RM100,000. Hukuman berat ini akan mematahkan semangat bakal pemberi maklumat. Jawatankuasa Aduan mestilah bertanggungjawab menentukan pemberi maklumat dilindungi dari salahguna dakwaan yang mereka membuat laporan palsu. Denda perlu dikurangkan dan pindaan dibuat oleh jawatankuasa itu semasa bacaan kali kedua di peringkat Parlimen nanti.[2]

Indeks Persepsi Rasuah[sunting | sunting sumber]

Dari segi Indeks Persepsi Rasuah yang dilaporkan oleh Transparency International , Malaysia berada di tempat ke-23 pada 1995, ke-36 pada 2001, ke-33 pada 2002, 37 (2003), 39 (2004), 39 (2005) dan 44 pada 2006 dan 43 pada 2007 [3]. Pada 2006, Malaysia menduduki tempat ke-44 antara 163 negara yang dikaji oleh Transparency International bagi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2006, dengan mendapat lima daripada 10 mata. [4] Indeks Persepsi Rasuah Transparency International 2007, kedudukan Malaysia lebih baik iaitu 76 peratus daripada keseluruhan 179 buah negara .[5]

Biasanya orang ramai memerhatikan pegawai agensi penguatkuasaan meminta habuan atau rasuah, seperti yang melibatkan jabatan imigresen, polis, kastam dan Puspakom. Ini ada kaitan dengan kerumitan dan kekaburan dalam proses kelulusan serta pelesenan oleh pelbagai pihak berkuasa tempatan dan berkanun. Budaya "senyap" yang diamalkan oleh masyarakat di Malaysia, apabila mereka menyaksikan perbuatan rasuah enggan bersuara atau melaporkan kes turut menyuburkan amalan rasuah.

Indeks Persepsi Rasuah Malaysia (CPI) tahun 2008 kekal di paras 5.1, sama seperti tahun 2007. Denmark, New Zealand dan Sweden berkongsi mata tertinggi iaitu 9.3, diikuti Singapura dengan 9.2 mata. Somalia pula mencatat mata paling rendah iaitu 1.0, manakala Iraq dan Myanmar mencatat 1.3 mata dan Haiti 1.4 mata. [6]

Ketua Pengarah BPR Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berharap Malaysia akan menjadi antara 30 negara terbaik dalam indeks rasuah Transparency International. Beberapa langkah telah diambil seperti penubuhan Sekretariat Pencegahan Rasuah Institusi Pengajian Tinggi yang dilancarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed. Kajian BPR pada 2003 melibatkan mahasiswa di IPT mendapati 30.5 % daripada mahasiswa yang disoal menyatakan mereka sanggup menerima sogokan dan menyalah guna kuasa jika mereka diberi peluang atau berkuasa. Jadi usaha membanteras rasuah perlu bermula dari sekolah hingga ke peringkat universiti.Terdapat 700,000 pelajar di institusi pengajian awam dan swasta, dan mereka perlu dididik dan dibimbing untuk menjauhi rasuah, masa depan negara menjadi lebih baik. [7]

BPR akan menubuhkan 17 bilik gerakan di seluruh negara untuk menyiasat sebarang dakwaan rasuah berhubung pilihan raya pada masa depan. Tujuannya bagi memudahkan orang ramai membuat aduan tentang kes salah guna kuasa atau rasuah semasa pilihan raya.

Malaysia juga adalah anggota lembaga pengarah eksekutif Persatuan Antarabangsa Badan-badan Anti Rasuah. Kerajaan Malaysia juga telah menggubal Pelan Integriti Nasional (PIN) dan penubuhan Institut Integriti Malaysia.

Secara signifikan, Malaysia lebih baik berbanding pesaingnya untuk pelaburan langsung asing (FDI), sebagai contoh Thailand, China, India, Vietnam, Filipina dan Indonesia.Mungkin Indeks Persepsi Rasuah tidak begitu penting dari segi daya penarik FDI sesebuah ekonomi seperti yang kita kadang kala percaya. Malah boleh dipertikaikan bahawa tahap ketelusan, keselarian dan kerumitan dasar serta peraturan kerajaan mungkin sama penting, kalau bukan lebih lagi.[8]

Isytiharkan liabiliti[sunting | sunting sumber]

Pada 18 Mac 2008,Pengerusi TI-M ,Tan Sri Ramon Navaratnam meminta Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan para Menteri dan Timbalan Menteri untuk turut mengisytiharkan liabiliti mereka selain deklarasi aset mereka. Tujuannya bagi bagi mengukuhkan ketelusan, akauntabiliti dan integriti dalam negara ini. Menteri besar dan ketua menteri kerajaan Barisan Nasional (BN) mestilah membuat deklarasi harta masing-masing.[9]

Akta Rahsia Rasmi[sunting | sunting sumber]

Akta Rahsia Rasmi tidak menetapkan secara khusus apakah kriteria yang tertakluk di bawahnya, maka segala perjanjian antara kerajaan dan sektor swasta , seperti perjanjian konsesi tol. Apabila sesuatu dokumen itu disenaraikan di bawah Akta Rahsia Rasmi semuanya menjadi rahsia. Sepatunya yang dirahsiakan ialah dokumen keselamatan, maklumat risikan dan perkara-perkara berkaitan yang perlu dilindungi untuk kepentingan awam. Oleh itu Akta Rahsia Rasmi patut diganti dengan Akta Maklumat dan mengambilkira pengalaman dan kecanggihan pentadbiran maklumat di negara-negara lain seperti Hong Kong. Cadangan Menteri Kerja Raya , Datuk Seri S. Samy Vellu hendak mendapatkan kelulusan Kabinet untuk mengklasifikasikan semula perjanjian konsesi amat dialu-alukan kerana dapat meningkatkan keyakinan orang awam dan integriti kerajaan. [10]

Rujukan[sunting | sunting sumber]