Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Yang di-Pertuan Agong
Img agung10 2.gif
Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman
Yang di-Pertuan Agong ke- 10
Raja Permaisuri Agong Tunku Najihah binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin
Negeri Negeri Sembilan
Keputeraan 19 Julai 1922
Klang, Selangor
Kemangkatan 27 Disember 2008
Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan
Mula jawatan 26 April 1994
Tamat jawatan 25 April 1999
Penyandang terdahulu Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Yussuf Izzuddin Shah
Penyandang kemudian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah

Al-Marhum Tuanku Jaafar ibni Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman (19 Julai 1922 - 27 Disember 2008) merupakan Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang kesepuluh. Baginda telah diputerakan pada 19 Julai 1922, Klang, Selangor. Baginda merupakan putera kedua bagi Yang di-Pertuan Agong yang pertama.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Tuanku Ja’afar menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu di Seri Menanti, Kuala Pilah dari 1928 hingga 1933. Memandangkan baginda merupaka pelajar yang bijak dan rajin, Tuanku Ja’afar mendapat tempat di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Ketika tujuh tahun di sana iaitu dari 1933 hingga 1940, baginda menampilkan ketokohan dalam memimpin dan merupakan Ketua Pelajar dari 1939 hingga 1940.

Selepas menamatkan pelajaran di Kolej Melayu, Tuanku Ja’afar memasuki Raffles College di Singapura. Walau bagaimanapun, pembelajaran baginda terganggu akibat tercetusnya Perang Dunia II. Ketika pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu, baginda berkhidmat sebagai Pejabat Tanah di Seremban dan Pegawai Daerah Rembau dari 1946 hingga 1947.

Tuanku Ja’afar akhirnya dianugerahkan biasiswa untuk belajar di luar negara berikutan kesungguhan baginda untuk meneruskan pengajian. Selepas Perang Dunia II, baginda berlepas ke University of Nottingham, United Kingdom untuk meneruskan pembelajaran dalam bidang undang-undang. Sebagai pelajar, Tuanku Ja’afar diketahui sebagai pelajar yang berdisiplin dan bijak. Baginda menerima Ijazah Undang-undang tanpa banyak masalah. Selepas menerima ijazah pertama baginda memasuki Universiti Oxford (Balliol College) Bagi Sarjana dalam bidang ekonomi. Pada 1951, Tuanku Ja’afar mengambil Sains Politik dan Bahasa Perancis di London School of Economics and Political Science.

Kembalinya baginda dari United Kingdom pada 1952, Tuanku Ja’afar memegang beberapa jawatan termasuklah Penolong Setiausaha Negeri Perak, Penolong Pegawai Daerah Parit, Perak, dan Pegawai Daerah Tampin.

Kerjaya diplomatik baginda bermula Tuanku Ja’afar pada 1957. Baginda mengambil kursus khas bagi perkhidmatan diplomatik di London untuk setahun. Tugasan pertama baginda adalah sebagai Kuasa Usaha di Washington, D.C., Amerika Syarikat diikuti sebagai Setiausaha Pertama dengan Misi Kekal ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Konsul dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu di London.

Tuanku Ja’afar kemudian dilantik sebagai Duta Malaysia ke Mesir dan kemudian sebagai Pesuruhjaya Tinggi ke Nigeria and Ghana.

Tuanku Ja’afar turut dipanggil berkhidmat sebagai Duta Malaysia ke Jepun tetapi dipanggil pulang oleh Kerajaan Negeri Sembilan berikutan kemangkatan kekanda baginda, DYMM Tuanku Munawir, pemerintah Negeri Sembilan. Kesemua empat pembesar Undang dan Tuanku Besar Tampin telah memilih Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan untuk menggantikan Tuanku Munawir. Tuanku Ja’afar menaiki takhta sebagai Pemerintah ke-10 Negeri Sembilan pada 18 April 1967.

Tuanku Ja’afar mengahwini Tunku Najihah binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin pada 8 Ogos 1943. Pasangan diraja itu dikurniakan tiga orang putera dan tiga orang puteri.

Ketika baginda berkhidmat sebagai pemerintah Negeri Sembilan, Tuanku Ja’afar menumpukan perhatian kepada masalah rakyat dan pentadbiran negeri. Dalam menangani hal ehwal sosio-ekonomi negeri, baginda mengarahkan perhatiannya kepada sektor industri dan perumahan awam supaya dapat meningkatkan mutu hidup rakyat. Kesannya, beberapa kawasan perumahan telah dibangunkan antaranya ialah Taman Tuanku Ja’afar yang merangkumi kawasan perindustrian dan padang golf, Taman Tuanku Ampuan Najihah di Sungai Gadut dan projek perumahan Mambau.

Tuanku Ja’afar menjadi Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia pada 16 April 1976. Tuanku Ja’afar sering menggesa akar ditingkatkan lagi mutu pendidikan di Malaysia. Baginda dianugerahkan Doktor Kehormat Undang-Undang oleh beberapa buah universiti seperti Universiti Filipina (27 Julai 1990), Universiti Nottingham (21 Julai 1995), Universiti Santiago, Chile (28 September 1995) dan Universiti Brunei Darussalam (11 September 1996).

Tuanku Ja’afar dan keluarga diraja Negeri Sembilan turut dikenali sebagai "Keluarga Diraja Sukan". Baginda dan keluarga baginda meminati sukan kriket, tenis, badminton, skuasy, hoki dan golf di dalam dan luar Malaysia. Anakanda baginda, YTM Tunku Imran merupakan Presiden Skuasy Dunia untuk tujuh tahun.

Sebagai peminat golf, Tuanku Ja’afar merupakan peserta lazim dalam kejohanan golf dalam dan luar negara. Baginda turut menaik taraf padang golf dan kemudahannya terutama di Kelab Golf Antarabangsa Seremban. Tuanku Ja’afar turut menyertai Golf Pro-Amatur Terbuka Malaysia sejak kali pertama diadakan. Baginda turut bersama merasmikan Sukan Komanwel 1998 yang diadakan di Kuala Lumpur ketika baginda memegang tampuk pemerintahan Yang di-Pertuan Agong.

Sepanjang memerintah Negeri Sembilan, Tuanku Ja’afar telah memperkenalkan perubahan besar ke atas perkembangan sosio-ekonomi negeri baginda.

Tuanku Ja’afar merupakan Yang di-Pertuan Agong Malaysia kesepuluh yang memerintah dari 26 April 1994 hingga 25 April 1999.

Baginda mangkat pada 27 Disember 2008 di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban.[1]

Kes saman Standard Chartered Bank[sunting | sunting sumber]

Mahkamah khas yang ditubuhkan untuk mendengar kes membabitkan Tuanku Ja'afar pada 15 Oktober 2008 mengarahkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman, membayar AS$1 juta (RM3.5 juta) kepada Standard Chartered Bank Malaysia Berhad (SCBMB) selepas memutuskan Tuanku Ja'afar perlu mematuhi terma-terma dalam surat kredit.

Mahkamah juga mengetepikan saman balas Tuanku Ja'afar terhadap bank berkenaan untuk mengisytiharkan bank itu tidak berhak mengikut undang-undang untuk melepaskan simpanan tetapnya bagi menyelesaikan bayaran AS$1 juta itu.[2]

Saman itu dikemukakan selepas kerabat diraja itu telah, pada atau sekitar 12 Februari 1999, memperolehi menerusi SCBMB, surat kredit (SBLC) tunggu sedia bernilai AS$1 juta untuk Connecticut Bank of Commerce (CBC) di Amerika Syarikat bagi kemudahan kredit yang akan diberikan oleh CBC kepada sebuah syarikat AS yang dikenali sebagai Texas Encore LLC (TEC).

Menurut peguam bank itu, Robert Lazar, bank berkenaan berhak mengeluarkan jumlah terbabit daripada akaun simpanan tetap Tuanku Ja'afar.[3]

Kemangkatan[sunting | sunting sumber]

Empat bulan selepas kemangkatan adinda baginda, Tunku Abdullah, Tuanku Jaafar mangkat pada pukul 11.45 pagi hari Sabtu, 27 Disember 2008 di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban pada usia 86 tahun kerana serangan angin ahmar. Dilaporkan bahawa baginda mengadu kurang sihat dan sakit kepala pada pukul 8.10 pagi. Pihak hospital tersebut telah dihubungi dan dua Pakar Perunding Kanan HTJ, Datuk Dr. Tarmizi Thayaparan dan Datuk Dr. K. Sree Raman telah bergegas ke Istana Hinggap di Seremban untuk memberikan rawatan kepada Tuanku. Jenazah baginda telah dibawa ke Istana Hinggap Seremban untuk majlis penghormatan terakhir serta menunggu kepulangan anakanda baginda yang masih berada di luar negara dan dimakamkan pada 28 Disember 2008.[4]

Almarhum baginda telah ditempatkan di Dewan Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah untuk penghormatan terakhir daripada kerabat Diraja, pemimpin dan orang ramai. Istiadat pemakaman jenazah Almarhum baginda diadakan pada 29 Disember 2008 selepas solat asar iaitu apabila istiadat pemasyhuran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah berlangsung untuk menitahkan bermulanya istiadat pemakaman. Tempoh Perkabungan berikutan kemangkatan baginda juga dilaksanakan selama 40 hari, bermula hari kemangkatan baginda.[4]

Semua premis termasuk pejabat kerajaan dan bangunan mengibarkan bendera negeri separuh tiang dalam tempoh tersebut. Dalam tempoh berkabung itu juga, semua kakitangan kerajaan dikehendaki memakai songkok berlilit putih manakala wanita memakai lilitan putih di lengan. Semua majlis rasmi kerajaan telah ditangguh dalam tempoh tujuh hari. Premis pusat hiburan dan aktiviti keraian juga ditangguhkan selama tujuh hari.[4]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. "Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mangkat". Utusan Malaysia. 27 Disember 2008. Diperoleh pada 27 Disember 2008. 
  2. "Mahkamah Khas Perintah Tuanku Ja'afar Bayar US$1 Juta Kepada Bank". Bernama. 15 Oktober 2008. Diperoleh pada 15 Oktober 2008. 
  3. "Mahkamah Khas arah Tuanku Ja'afar bayar Standard Chartered RM3.5 juta". mStar Online. 15 Oktober 2008. Diperoleh pada 15 Oktober 2008. 
  4. 4.0 4.1 4.2 The New Straits Times: Tuanku Ja'afar dies
Didahului oleh
Sultan Azlan Shah
Yang di-Pertuan Agong
1994-1999
Diikuti oleh:
Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
Didahului oleh
Tuanku Munawir ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
1967-2008
Diikuti oleh:
Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir