Tuanku Muhriz

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Tuanku Muhriz
Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
Pemerintahan29 Disember 2008 – kini
Pertabalan26 Oktober 2009
Pemasyhuran29 Disember 2008
Didahului olehTuanku Ja’afar
Pewaris takhtaPutera Yang Empat
Tunku Besar Seri Menanti
Tempoh1961 – 2008
Didahului olehTunku Besar Burhanuddin
Diikuti olehTunku Ali Redhauddin
Keputeraan (1948-01-14) 14 Januari 1948 (umur 76) (umur 76 tahun, 2 bulan dan 5 hari)
Kuala Pilah, Negeri Sembilan
PasanganTuanku Aishah Rohani (k. 1974)
Anakanda
AyahandaTuanku Munawir
BondaTunku Ampuan Durah
AgamaIslam

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir diputerakan pada 14 Januari 1948. Baginda ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-11. Baginda merupakan satu-satunya putera daripada enam orang adik-beradik kepada pasangan Tuanku Munawir, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-9 dan pasangan baginda, Tunku Ampuan Durah binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Baginda mendapat pendidikan rendah & menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Muhammad di Kuala Pilah. Kemudian di Sekolah Menengah Tunku Besar Tampin, Tampin dan Sekolah Menengah King George V di Seremban dan meneruskan pelajaran baginda di Aldenhem School, United Kingdom. Baginda memperoleh Ijazah Undang-undang dari Kolej Universiti Wales, Aberystwyth, Britain.

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Baginda menjadi ahli perniagaan serta Pengarah Bangkok Bank Berhad.

Istiadat pertunangan diraja[sunting | sunting sumber]

Pada 16 Februari 1973, pertunangan diraja antara Tunku Besar Seri Menanti Tunku Muhriz, 25 tahun dengan Tengku Aishah Rohani, 20 tahun berlangsung pada pukul 4:30 petang di Istana Terengganu, Jalan Pekeliling.

Tunku Muhriz ialah seorang pegawai tadbir di Bank Rakyat dan bakal isterinya, Tengku Aishah Rohani ialah seorang kerani jurukira di sebuah bank tempatan.

Ketika ditemui, Tengku Aishah memberitahu bahawa Tunku Muhriz yang bakal jadi suaminya itu adalah pilihan hatinya berdasarkan suka sama suka.

Istiadat perkahwinan diraja[sunting | sunting sumber]

Pada 25 April 1974 bersamaan 2 Rabiul Akhir 1394 Hijrah, Tuanku Muhriz kemudiannya mengahwini Tengku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dari Terengganu ketika berusia 26 tahun. Istiadat perkahwinan baginda berdua diadakan di Istana Maziah, Kuala Terengganu disaksikan oleh bonda Tunku Muhriz, Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan Durah serta kerabat diraja Negeri Sembilan dan Terengganu.

Pada 4 Mei 1974, Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan Durah mengadakan Istiadat Menyambut Keberangkatan Balik Pengantin Diraja yang diadakan di Istana Lama Seri Menanti. Baginda berdua bersanding di atas singgahsana lama Istana Lama Seri Menanti.

Kerabat diraja[sunting | sunting sumber]

Hasil perkahwinan dengan Tengku Aishah Rohani, baginda berdua memperoleh tiga orang putera iaitu Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin, Tunku Zain Al-'Abidin dan Tunku Alif Hussein Saifuddin Al-Amin.

Tunku Besar Seri Menanti[sunting | sunting sumber]

Dilantik sebagai Tunku Besar Seri Menanti pada 1960, Tunku Muhriz dipilih oleh Majlis Undang berikutan kemangkatan ayahanda baginda. Perlembagaan Negeri Sembilan menyatakan bahawa penggantian takhta adalah mengikut anakanda lelaki, cucunda lelaki, adinda lelaki dan anak kepada adinda lelaki kepada pemerintah itu. Tunku Muhriz merupakan waris pertama selepas kemangkatan Tuanku Munawir, lalu diikuti oleh Tuanku Ja’afar dan Tunku Abdullah. Walau bagaimanapun, baginda tidak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Besar ketika itu tetapi ayahanda saudaranya, Tuanku Ja’afar yang untuk satu penggal iaitu 5 tahun ketika itu seorang diplomat, telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Besar yang ke-10. Pemilihan ini secara tidak langsung dicadangkan sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tunku Abdul Rahman, yang meminta supaya Tuanku Muhriz tidak dipilih kerana masih terlalu muda iaitu ketika itu berusia lapan belas tahun.

Yang di-Pertuan Besar[sunting | sunting sumber]

Tuanku Muhriz akhirnya dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 29 Disember 2008 di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Istiadat pemasyhuran itu dilakukan oleh Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak mengikut Adat Perpatih yang dibawa dari Pagar Ruyung, Sumatera, Indonesia.

Duta AS Kamala Lakhdir membuat kunjungan hormat ke atas Tuanku Muhriz

Pemilihan pengganti dibuat antara Putera Yang Empat iaitu Tunku Besar Seri Menanti Tunku Muhriz Ibni Tuanku Munawir, Tunku Laksamana Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Ja'afar, Tunku Muda Serting Tunku Imran Ibni Tuanku Ja'afar dan Tuanku Panglima Besar Tunku Nadzaruddin Ibni Tuanku Ja'afar. Tunku Naquiyuddin pernah menjadi pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Tunku Imran dan Tunku Nadzaruddin turut dipertimbangkan sebagai calon Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru.

Turut hadir ialah kesemua putera Almarhum Tuanku Ja’afar, Tunku Laksamana Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja’afar; Tunku Muda Serting, Tunku Imran Tuanku Ja’afar; dan Tunku Panglima Besar, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, Undang Luak Jelebu, Datuk Musa Wahab; Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman; dan Undang Luak Johol, Datuk Mohd. Jan Abdul Gani. Lain-lain ialah Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri; kerabat diraja Negeri Sembilan; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta pemimpin negeri.

Istiadat pemasyhuran[sunting | sunting sumber]

Kesemua Undang Yang Empat bersidang di Dewan Keadilan dan memutuskan pemasyhuran Tuanku Muhriz sebagai pengganti Almarhum Tuanku Ja’afar. Kemudian tembakan meriam 32 das dan 21 das lagi menandakan pemasyhuran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baru. Semua Undang Yang Empat menghadap Tuanku Muhriz dan Mubarak menyampaikan persembahan Mas Manah. Seterusnya Mufti negeri, Datuk Murtadza Sheikh Ahmad membacakan doa kesyukuran.[1]

Baginda hadir dalam Istiadat Pemakaman Diraja iaitu membawa jenazah Almarhum Tuanku Ja’afar dari Pelambar di Istana Besar Seri Menanti ke Makam Diraja Seri Menanti bersebelahan Masjid Tuanku Munawir diiringi 86 das tembakan meriam.

Kolonel Yang DiPertua[sunting | sunting sumber]

DYMM Tuanku Mukhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah Kolonel Yang DiPertua Rejimen Semboyan Diraja (RSD) dan Kolonel Yang DiPertua Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja (KJLJD).[2]

Terasul dan gelaran[sunting | sunting sumber]

Gelaran hormat bagi
Tuanku Muhriz
Gaya panggilan Duli Yang Maha Mulia
Gaya pertuturan Duli Yang Maha Mulia
Gaya pilihan Tuanku
  • 14 Januari 1948 - 5 April 1960: Yang Mulia Tunku Muhriz ibni Tunku Laksamana Munawir
  • 5 April 1960 – 1960: Yang Amat Mulia Tunku Muhriz ibni Tuanku Munawir
  • 1960 - 14 April 1967: Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti Tunku Muhriz ibni Tuanku Munawir
  • 15 April 1967 - 27 Disember 2008: Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti Tunku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir
  • 27 Disember 2008 - kini: Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir

Keturunan[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • "Tunku Muhriz Is Proclaimed New Yang Dipertuan Besar Of NS". BERNAMA. 2008-12-29. Dicapai pada 2008-12-29.
  1. ^ Tuanku Muhriz dimasyhur, Utusan.
  2. ^ "Kolonel Yang DiPertua Rejimen Dan Kor". Warisan Permaisuri. 22 Julai 2016.


Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir
Kerabat diraja Negeri Sembilan
Tarikh keputeraan: 14 Januari 1948
Gelaran pemerintah
Didahului oleh
Tuanku Ja’afar
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
1957 – 1960
Pemegang jawatan kini