Tulisan Tamil

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Tamil
Jenis Abugida
Bahasa Tamil, Saurashtra, Sanskrit
Sistem tulisan Induk
ISO 15924 Taml

Nota: Muka ini mungkin mengandungi simbol fonetik IPA.

Skrip Tamil (atau vaṭṭeḻuttu "tulisan berbulat") ialah sejenis skrip Indic yang digunakan untuk menulis bahasa Tamil. Dengan penggunaan tanda diakritik khas untuk mewakili aspirasi dan konsonan bersuara yang tidak terdapat dalam skrip asas, skrip ini juga digunakan untuk menulis bahasa Saurashtra dan, oleh orang Tamil untuk menulis bahasa Sanskrit.




Gambaran[sunting | sunting sumber]

Ciri-ciri[sunting | sunting sumber]

Skrip Tamil mempunyai 12 huruf vokal (uyireḻuttu "huruf roh"), 18 konsonan (meyyeḻuttu "huruf jasad") dan satu aksara bergelar aytam yang dikelaskan dalam nahu bahasa Tamil sebagai bukan konsonan mahupun vokal (aliyeḻuttu "huruf khunsa"). Namun begitu, sistem tulisan ini berasaskan suku kata dan bukan huruf. Maka, dalam keseluruhan skrip ini terdapat 31 huruf dalam bentuk tunggal, ditambah dengan 216 huruf gugusan (uyirmeyyeḻuttu) yang mewakili setiap kombinasi konsonan dan vokal yang boleh dibentuk. Huruf gugusan ini dibentuk dengan membubuh tanda vokal pada konsonan. Sesetengah vokal memerlukan bentuk asas konsonan untuk diubah mengikut cara yang tertentu kepada vokal itu. Ada gugusan lain yang ditulis dengan membubuh akhiran, awalan atau apitan khusus pada vokal pada aksara konsonan. Dalam setiap kes ini tanda vokal berbeza bentuknya daripada bentuk tunggal bunyi vokal masing-masing.

Skrip Tamil merupakan sejenis abugida, iaitu bentuk asas aksara bagi setiap konsonan mempunyai bunyi vokal susulan a dalaman, dan perlu diubah bukan sahaja dengan menggantikan bunyi vokal dalaman dengan vokal yang berlainan, bahkan juga dengan menghasilkan konsonan tunggal tanpa bunyi a dalaman. Contohnya, bentuk asas bagi aksara yang melambangkan bunyi k ialah க ka. Konsonan k tunggal ditulis க், dengan membubuh tanda titik di atas yang menghapuskan bunyi vokal dalaman. Tanda titik yang digunakan untuk to menghapuskan bunyi vokal susulan itu sentiasa dibubuh di atas aksara (lihat imej), dan bergelar puḷḷi dalam bahasa Tamil.

Skrip Tamil ditulis dan dibaca dari kiri ke kanan.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Skrip Tamil Brahmi, tidak seperti skrip Brahmi Asoka piawai, membezakan konsonan tunggal dan konsonan dengan tanda vokal dalaman.

Skirp Tamil, seperti mana skrip-skrip Indik yang lain, dikatakan berevolusi daripada skrip Brahmi.

Skrip yang digunakan oleh catatan terawal yang masih wujud dikenali sebagai skrip Brahmi Tamil atau Tamili, dan banyak berbeza daripada tulisan Brahmi Asoka piawai. Contohnya, seperti yang ditunjukkan pada rajah di sebelah kanan, tulisan Brahmi Tamil awal berbeza daripada tulisan Brahmi Asoka kerana mempunyai sistem untuk membezakan konsonan tunggal (m dalam contoh ini) daripada konsonan yang mengandungi bunyi vokal dalaman (ma dalam contoh ini). Tambahan pula, skrip Brahmi Tamil ini menggunakan tanda vokal yang sedikit bezanya serta mempunyai aksara tambahan untuk melambangkan huruf yang tidak terdapat dalam bahasa Sanskrit.

Catatan abad kedua Masihi menggunakan satu bentuk skrip Brahmi Tamil yang lain, dan amat serupa dengan sistem tulisan yang dihuraikan dalam Tolkappiyam, satu nahu bahasa Tamil kuno. Paling penting sekali, puḷḷi digunakan dalam skrip-skrip ini untuk menghapuskan vokal dalaman. Kemudian, aksara-aksara Tamil berubah bentuk menjadi lebih kebulatan, dan menjelang abad ke-5 atau ke-6 Masihi tercapainya bentuk yang dipanggil vaṭṭeḻuttu awal, iaitu leluhur terdekat kepada skrip vaṭṭeḻuttu ("tulisan berbulat") script yang dipakai pada hari ini. Salah satu faktor bentuk aksara itu kebulatan adalah kenyataan bahawa pada zaman kuno, penulisan melibatkan penggunaan jarum berbucu tajam untuk mengukir huruf pada daun palma (olaiccuvaṭi), yang mana adalah lebih mudah untuk menghasilkan lengkungan berbanding garis lurus. Sesetengah pengkaji menyatakan bahawa skrip ini asalnya dipanggil veṭṭeḻuthu iaitu tulisan yang dipotong (pada batu), menandakan kesenangan mengukir pada batu.

Selain menghasilkan aksara kebulatan, penggunaan daun palma sebagai bahan utama untuk penulisan turut menyebabkan perubahan lain pada skrip Tamil. Si penulis hendaklah berhati-hati agar tidak tertikam daun dengan jarum ketika menulis, kerana daun yang berlubang lebih mudah terkoyak dan cepat mereput. Akibatnya, penggunaan puḷḷi untuk membezakan konsonan tunggal kian jarang, sehingga konsonan tunggal itu ditulis seperti andainya vokal dalamannya masih ada. Begitu juga, tanda vokal untuk kuṟṟiyal ukaram, u separuh-berbulat yang terdapat pada hujung sesetengah vokal dan pada kedudukan tengah kata majmuk tertentu, turut dimansuhkan lalu diganti oleh tanda untuk u tunggal. Tanda puḷḷi tidak dikembalikan sepenuhnya sehingga pencetakan diperkenalkan, namun tanda kuṟṟiyal ukaram pula tidak kembali lagi, meskipun bunyinya sendiri masih wujud dan memainkan peranan penting dalam prosodi bahasa Tamil.

Bentuk sesetengah aksara dipermudah pada abad ke-19 untuk memudahkan atur huruf pencetakan. Pada abad ke-20, skrip ini dipermudah lagi dalam satu siri pembaharuan yang mempiawaikan penggunaan tanda vokal bersama konsonan dengan memansuhkan tanda khusus dan kebanyakan bentuk yang tidak sekata.

Hubungan dengan skrip Indik yang lain[sunting | sunting sumber]

Skrip Tamil berbeza daripada skrip wairsan Brahmi yang lain dalam beberapa segi. Tidaklah seperti skrip Indik yang lain, skrip Tamil menggunakan aksara yang sama untuk mewakili kedua-dua plosif tidak bersuara dan bersuara. Maka, aksara க் k, sebagai contoh, mewakili kedua-dua bunyi [k] dan [g]. Ini adalah kerana tatabahasa Tamil hanya menganggap plosif tidak bersuara sebagai konsonan "tulen", manakala plosif bersuara dan beraspirasi merupakan bentuk kelainan eufoni bagi plosif tidak berbunyi itu. Tatabahasa Tamil tradisional mengandungi hukum-hukum terperinci yang diperhati dalam pertuturan rasmi, untuk bila konsonan plosif itu perlu disebut dengan atau tanpa suara. Hukum-hukum ini tidak dituruti dalam pertuturan tidak formal atau dialektik, yang mana versi bersuara dan tanpa suara bagi plosif itu berlaku sebagai alofon yang digunakan dalam konteks fonetik tertentu tanpa bertujuan membezakan perkataan.

Juga berbeza daripada skrip Indik yang lain adalah bahawa skrip Tamil jarang sekali menggunakan huruf kembar untuk mewakili konsonan gugusan yang jauh lebih jarang didapati dalam bahasa Tamil berbanding bahasa-bahasa India yang lain. Konsonan gugusan, jika ada, ditulis dengan menulis aksara bagi konsonan pertama, membubuh puḷḷi untuk menghapuskan vokal dalamannya, dan kemudian menulis aksara bagi konsonan kedua. Terdapat sedikit pengecualian kepada ciri ini, iaitu adanya huruf kembar க்ஷ kṣa and ஸ்ரீ srī.

Aksara Tamil[sunting | sunting sumber]

Konsonan asas[sunting | sunting sumber]

Konsonan dikenali sebagai huruf 'badan' (mei). Konsonan-konsonan ini dikelaskan kepada tiga kategori: vallinam (konsonan keras), mellinam (konsonan lembut, termasuk semua konsonan nasal), dan idayinam (konsonan sederhana).

Terdapat hukum-hukum leksikal bagi pembentukan kata yang ditentukan oleh Tolkāppiyam. Contohnya: sesuatu perkataan tidak boleh diakhiri dengan konsonan-konsonan tertentu, dan juga tidak boleh bermula dengan konsonan-konsonan tertentu termasuk 'r' 'l' dan 'll'; terdapat dua konsonan bagi bunyi 'n' pada gigi - mana satu yang wajar digunakan bergantung kepada sama ada bunyi 'n' itu dihasilkan pada permulaan kata dan pada aksara-aksara sekelilingnya.

Konsonan ISO 15919 Kategori IPA
k vallinam [k], [g], [x], [ɣ], [h]
mellinam [ŋ]
c vallinam [ʧ], [ʤ], [ʃ], [s], [ʒ]
ñ mellinam [ɲ]
vallinam [ʈ], [ɖ], [ɽ]
mellinam [ɳ]
t vallinam [t̪], [d̪], [ð]
n mellinam [n]
p vallinam [p], [b], [β]
Konsonan ISO 15919 Kategori IPA
m mellinam [m]
y idaiyinam [j]
r idaiyinam [ɾ]
l idaiyinam [l]
v idaiyinam [v]
ẓ, ḻ, ṛ idaiyinam [ɹ]
idaiyinam [ɭ]
ṟ, R vallinam [r], [t], [d]
ṉ, N mellinam [n]

Konsonan pinjaman[sunting | sunting sumber]

Juga dikenali sebagai aksara Grantha, konsonan ini hanya digunakan untuk menulis perkataan yang dipinjam dari bahasa Sanskrit, Inggeris, dan lain-lain. Tentunya bukan semua perkataan sedemikian pasti mengandungi aksara-aksara sedemikian.


Konsonan ISO 15919 IPA
j [ʤ]
[ʂ]
s [s]
h [h]
க்ஷ kṣ [kʂ]

Vokal[sunting | sunting sumber]

Aksara vokal juga digelar huruf 'nyawa' (uyir) atau 'roh'. Bersama-sama aksara konsonan (huruf badan), terbentuklah aksara-aksara gugusan (abugida) yang bergelar huruf 'bernyawa' (uyirmei, i.e. aksara yang mempunyai kedua-dua 'badan' dan 'roh').

Vokal Tamil dibahagikan kepada yang pendek dan yang panjang (lima fonem vokal bagi setiap pengelasan tersebut) dan dua diftong.

Bentuk tunggal[sunting | sunting sumber]

Vokal ISO 15919 IPA
a [ʌ]
ā [ɑː]
i [i]
ī [iː]
u [u], [ɯ]
ū [uː]
Vokal ISO 15919 IPA
e [e]
ē [eː]
ai [ʌj]
o [o]
ō [oː]
au [ʌʋ]

Bentuk gugusan[sunting | sunting sumber]

Menggunakan konsonan k sebagai contoh:

Bentuk gugusan ISO 15919 IPA
ka [kʌ]
கா [kɑ:]
கி ki [ki]
கீ [kiː]
கு ku [ku], [kɯ]
கூ [kuː]
Bentuk gugusan ISO 15919 IPA
கெ ke [ke]
கே [keː]
கை kai [kʌj]
கொ ko [ko]
கோ [koː]
கௌ kau [kʌʋ]

Aksara khas (disebut 'akh') jarang digunakan secara bersendirian. Akh ini sering digunakan untuk fungsi nahu sebagai bentuk vokal tunggal bagi titik pada atas konsonan yang menghapuskan bunyi 'a' dalaman pada konsonan biasa.

Vokal panjang (nedil) ini lebih kurang dua kali panjangnya berbanding vokal pendek (kuRil). Diftong pula sering disebut lebih kurang 1½ kali panjangnya berbanding vokal pendek, namun sesetengah teks nahu meletakkannya bersama vokal panjang (nedil).

Seperti yang dilihat dalam bentuk gugusan, tanda vokal boleh dibubuh pada kanan, kiri atau kedua-dua belah konsonan, dan juga membentuk huruf kembar. Hukum-hukum ini kian berevolusi dan penggunaan lama lebih banyak huruf kembar berbanding penggunaan terkini. Apa yang dilihat pada halaman ini bergantung kepada pemilihan mukataip anda; contohnya, Code 2000 lebih banyak memaparkan huruf kembar berbanding Latha.

Terdapat sebilangan penyokong reformasi skrip yang hendakkan semua huruf kembar dihapuskan dan semua tanda vokal dibenarkan untuk hanya muncul di sisi kanan.

Unicode mengekodkan aksara dalam susunan logik (iaitu huruf konsonan sentiasa diinputkan dahulu), sementara pengekodan 8-bit lama (seperti TSCII) lebih cenderung terhadap susunan penulisan. Kesannya, adalah perlu untuk menyusun semula apabila beralih dari satu pengekodan ke pengekodan yang lain; adalah tidak mencukupi untuk sekadar memetakan satu set titik kod kepada yang lain.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Steever, Sanford B. (1996) "Tamil Writing" in William R. Bright and Peter B. Daniels (eds.) The World's Writing Systems. New York: Oxford University Press. ISBN 0-19-507993-0