Tun Perak

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Tun Perak

Tempoh berjawat
1456 – 1498
Didahului oleh Sri Nara Diraja Tun Ali
Digantikan oleh Tun Perpatih Putih

Bendahara Seri Paduka Raja Tun Perak bin Tun Perpatih Sedang (mati 1498) ialah Bendahara Melaka yang ke-5 adalah Bendahara yang termasyhur antara semua bendahara Melaka. Pangkat ini yang membawa gelaran "Bendahara Paduka Raja" dalam Kesultanan Melayu Melaka adalah setanding dengan Perdana Menteri moden. Tun Perak, bersama-sama dengan Aria Gajah Mada dari Majapahit, dan Raja Kenayan dari Pasai, telah dianggap sebagai tiga orang pentadbir yang teragung di alam Melayu pada abad ke-15.

Tun Perak ialah anak Bendahara Seri Wak Raja dan beliau telah menjadi Penghulu Kelang dari tahun 1445 ketika berlangsungnya permusuhan antara kerajaan Siam dan Melaka. Maka, Tun Perak diperintahkan untuk datang ke Melaka bersama-sama orang Kelang yang lain, lelaki mahupun perempuan. Tindakan Tun Perak membawa sekali golongan perempuan menimbulkan persoalan pada Sultan Muzaffar Syah kerana mereka dikehendaki berperang. Tun Perak memberi alasan bahawa kedatangan perempuan adalah supaya lelaki akan berperang lebih bersungguh-sungguh untuk melindungi anak dan isteri mereka.

Setelah menewaskan percubaan Siam untuk menakluk Melaka pada tahun 1446, beliau dilantik oleh baginda Sultan Muzaffar Syah sebagai Bentara.

Bendahara Pembina Empayar[sunting | sunting sumber]

Setelah Tun Perak menjadi Bentara, beliau tidak digemari oleh Tun Ali, iaitu Bendahara ketika itu. Tun Ali yang berketurunan Tamil ketika itu sudahpun lanjut usianya. Perkara tersebut mengkhuatirkan sultan yang hendak melantik Tun Perak sebagai pengganti Tun Ali. Disebabkan risau dengan perbalahan antara pembesar yang memungkinkan kejatuhan pentadbiran negara, baginda mengahwinkan Tun Ali dengan Tun Kudu Tun Perpatih Sedang, iaitu kakak kepada Tun Perak dan isteri baginda sendiri. Baginda yang sanggup menceraikan Tun Kudu menerima keputusan yang dijangkakan bahawa Tun Ali sudahpun berbaik dengan Tun Perak.

Kemudian, baginda melantik Tun Perak sebagai Bendahara yang bergelar Paduka Raja pada tahun 1456 sementara Tun Ali, Bendahara keempat, diantik sebagai Penghulu Bendahari dengan gelaran Seri Nara Diraja.

Ketika Tun Perak menjawat jawatan Bendahara, beliau telah menakluk negeri-negeri di pantai Selat Melaka seperti Rokan, Siak, Kampar dan Inderagiri di pulau Sumatera serta Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Perak yang menjadikan semua negeri ini sebagai jajahan takluk Melaka manakala Kedah pula menjadi negeri naungan Melaka. Dengan ini, Melaka telah menjadi sebuah empayar yang besar. Tidak kurang juga bagi aspek lain apabila Melaka membangun sehingga mencapai kekuatan dari segi politik, sosial, dan ekonominya. Kepesatan pembangunan di Melaka telah menarik banyak pedagang asing dari China, India, Timur Tengah, serta negara-negara jiran yang lain.

Pelantik Raja[sunting | sunting sumber]

Sebagai Bendahara Melaka yang berpengaruh, Tun Perak mempunyai kuasa untuk melantik raja Melaka. Lazimnya, beliau akan memilih raja yang mempunyai perkaitan persaudaraan dengannya. Sebagai contoh, Sultan Alauddin Riayat Syah yang dilantik beliau merupakan anak saudara beliau.

Tun Perak juga telah meletakkan Raja Muhammad, putera sulung Sultan Perak menjadi Raja Pahang tetapi bukan sebagai Raja Melaka. Keputusan itu dibuat berikutan peristiwa Raja Muhammad membunuh Tun Besar, anak Tun Perak dalam satu permainan sepak raga.

Sultan Alaudin Riayat Syah pula mangkat pada 1488 dan lazimnya, putera sulung baginda, Raja Menawar akan dilantik sebagai raja tetapi baginda hanya dilantik sebagai Raja Kampar manakala putera Sultan Alaudin yang lebih muda yang juga merupakan cucu Tun Perak iaitu Raja Mahmud, telah dilantik sebagai Sultan Mahmud.

Beliau meninggal dunia pada tahun 1498 ketika pemerintahan Sultan Mahmud Syah setelah bernaung di bawah empat pemerintahan sultan iaitu Sultan Muzaffar Syah, Sultan Mansur Syah, Sultan Alauddin Riayat Syah dan Sultan Mahmud Syah. Setelah kematian beliau, baginda sultan melantik Tun Perpatih Putih, adik Tun Perak sebagai Bendahara Melaka yang ke-6.

Anakanda[sunting | sunting sumber]

  1. Tun Zainal Abidin
  2. Tun Pikrama
  3. Tun Telani
  4. Tun Besar

Sahabat[sunting | sunting sumber]

  1. Hang Ujal (gelaran: Tun Bija Setia)
  2. Sang Naweng
  3. Hang Busu (gelaran: Tun Bija Pikrama)
  4. Hang Tulus (gelaran: Tun Rakna)


Penyandang Terdahulu Bendahara Melaka
ke-5
14561498
Penyandang Kemudian
Bendahara Seri Nara Di Raja Tun Ali
Tun Perpatih Putih