Universiti Putra Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari UPM)
Universiti Putra Malaysia
اونيۏرسيتي ڤوترا مليسيا
Universiti Putra Malaysia
MotoBerilmu Berbakti
JenisAwam
Ditubuhkan pada1971
CanselorSultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj
Naib CanselorDato' Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah
Pelajar29,060 (2022)
Lokasi,
KampusBandar
WarnaMerah, kelabu dan putih
              
PenggabunganASAIHL, AUN, UMAP, ACU, FUIW, AAACU, APAARI
Laman sesawangwww.upm.edu.my
Pintu utama UPM

Universiti Putra Malaysia (UPM, dahulu dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia) telah ditubuhkan pada 29 Oktober 1971, hasil daripada penggabungan antara Fakulti Pertanian Universiti Malaya dan Kolej Pertanian Malaya Serdang. Universiti ini bermula dengan tiga buah fakulti iaitu Fakulti Pertanian, Fakulti Perhutanan dan Fakulti Kedoktoran Veterinar dan Sains Penternakan. Ia terus kekal sebagai sebuah universiti tradisional yang memberikan tumpuan terutama kepada pendidikan ijazah pertama, penyelidikan dalam bidang pertanian dan bidang yang berkaitan.

UPM mempunyai dua kampus, iaitu sebuah kampus utama terletak di Serdang, Selangor, menawarkan pendidikan peringkat ijazah sarjana muda, sarjana, dan PhD, manakala sebuah lagi adalah kampus cawangan terletak di Bintulu, Sarawak, menawarkan pendidikan peringkat diploma sehingga PhD.

Pada 3 April 1997 Universiti Pertanian Malaysia ditukar nama kepada Universiti Putra Malaysia, selari dengan perkembangan UPM yang menawarkan pelbagai program dalam bidang sains komputer, perubatan, seni bina dan lain-lain.

UPM merupakan salah sebuah daripada 5 universiti di Malaysia yang bertaraf universiti penyelidikan. UPM berada pada kedudukan ke-158 berdasarkan keputusan yang dihasilkan oleh QS.[1]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sekolah Pertanian (1931-1947)[sunting | sunting sumber]

Penubuhan UPM mula dikesan sejak penubuhan Sekolah Pertanian pada 21 Mei 1931 yang memberi tumpuan dan penekanan kepada bidang pertanian di Tanah Melayu. John Scott, Pegawai Pentadbir Kerajaan Negeri-negeri Selat merangkap Pesuruhjaya Tinggi 'Ex-Officio' Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada masa itu, merupakan orang yang bertanggungjawab mengasaskan penubuhan Sekolah Pertanian yang berkeluasan 8.8 hektar di kawasan Serdang, Selangor. Sekolah ini bertujuan menyediakan pegawai-pegawai bagi Jabatan Pertanian telah beroperasi selama 10 tahun sehinggalah Sir Edward Gent, Gabenor Malayan Union telah mengisytiharkan bahawa Sekolah Pertanian tersebut dinaik taraf menjadi Kolej Pertanian Malaya pada 23 Jun 1947.

Kolej Pertanian Malaya (1947-1971)[sunting | sunting sumber]

Bermula dengan naik taraf ini, kecermelangan kolej semakin mendapat perhatian sehingga timbul cadangan untuk menaikkan taraf kolej ini menjadi sebuah universiti. Namun, hasrat ini tertangguh berikutan meletusnya darurat pada pertengahan tahun 1948. Pada tahun 1960, Fakulti Pertanian Universiti Malaya telah ditubuhkan dan pada 1 Januari 1962 satu status telah diluluskan untuk menjadikan Majlis Kolej Pertanian Malaya sebagai satu pihak berkuasa Universiti Malaya.

Selaras dengan kepentingan sektor pertanian kepada ekonomi negara, peranan kolej ini adalah sangat penting. Justeru, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 7.9 juta bagi melaksanakan pembangunan dalam Rancangan Malaysia Pertama (1966-1970). Peruntukan yang diterima digunakan bagi mempertingkatkan pengambilan pelajar, membina dewan kuliah, meluaskan kawasan bagi perkembangan kolej, menambah makmal sains serta menambah bilangan pegawainya. Hasrat menubuhkan sebuah universiti pertanian yang menawarkan program pengajian di peringkat ijazah semakin cerah apabila hasrat tersebut diutarakan oleh Tun Abdul Razak Hussein, Timbalan Perdana Menteri semasa merasmikan bangunan tambahan Kolej Pertanian Malaya di Serdang pada 31 Mac 1969.

Universiti Pertanian Malaysia (1971-1997)[sunting | sunting sumber]

Penubuhan Universiti Pertanian Malaysia ini akhirnya menjadi kenyataan dan telah diaktakan sebagai satu Perintah Perbadanan yang ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, dan disiarkan menerusi Warta Kerajaan P.U. (A) 387 pada 29 Oktober 1971.[2]

Dr. Mohd Rashdan Baba menjadi Naib Canselor yang pertama. Sebelum itu, Dr. Mohd Rashdan Baba merupakan Pengetua Kolej Pertanian Malaya dari tahun 1965 hingga 1969. Bermula 23 Julai 1973, UPM telah memulakan sesi akademiknya dengan pengambilan seramai 1,559 pelajar. Pelajar-pelajar tersebut memulakan pengajian di tiga buah fakulti pengasas, iaitu Fakulti Kedoktoran Veterinar dan Sains Penternakan, Fakulti Pertanian dan Fakulti Perhutanan. UPM telah mengeluarkan graduan pertamanya pada Majlis Konvokesyen pertamanya pada 30 Julai 1977.

Pada tahun 1978, UPM telah melancarkan sebuah jurnal akademik berjudul Pertanika. Nama Pertanika telah diinspirasikan oleh 'Pertanian' yang merupakan asas penubuhan UPM. Jurnal ini telah diketuai oleh Dr. John Joseph Augustin selaku ketua editor pertama daripada tahun 1978 sehingga 1982.[3][4] Beliau dibantu oleh Dato' Profesor Dr. Ahmad Mahdzan Ayob, bekas timbalan naib canselor akademik Universiti Utara Malaysia yang ketika itu merupakan pengurus perniagaan Pertanika.

Pada awal tahun 1980-an, skop pengajian UPM telah dikembangkan dengan memperkenal bidang sains dan teknologi dalam bidang pengajian yang ditawarkan. Sebagai sebuah universiti yang dinamik dan sensintif kepada tuntutan semasa dan peningkatan pembangunan, UPM menambahkan bidang baru dalam program pengajian seperti sains sosial dan kesenian, teknologi maklumat dan perubatan sebagai persediaan untuk menjadi universiti abad ke-21.

Pada tahun 1993, jurnal Pertanika telah dipecahkan kepada tiga jurnal selaras dengan keperluan jurnal khusus dalam bidang-bidang pengajian yang sejajar dengan kekuatan UPM. Tiga jurnal tersebut masih beroperasi sehingga hari ini. Jurnal-jurnal tersebut ialah Jurnal Pertanika Sains Pertanian Tropika, Jurnal Pertanika Sains & Teknologi dan Jurnal Pertanika Sains Sosial & Kemanusian.[5]

Pada tahun 1994, UPM memulakan satu rancangan yang bercita-cita tinggi untuk membina Universiti Masa Hadapan yang menyediakan sistem-sistem penyampaian yang lebih baik dan terkini dalam pendidikan sains dan teknologi dengan memanfaatkan bidang teknologi maklumat (IT) yang sedang pesat berkembang. UPM telah bertukar dengan pesatnya menjadi kampus tanpa sempadan yang melampaui sempadan kebangsaan.

Universiti Putra Malaysia (1997-sekarang)[sunting | sunting sumber]

Kemuncak dari itu, berlakulah penukaran nama Universiti Pertanian Malaysia kepada Universiti Putra Malaysia pada 3 April 1997 oleh Perdana Menteri, Mahathir Mohamad. la adalah merupakan satu langkah strategik untuk mencerminkan kedudukan UPM sebagai sebuah pusat pengajian tinggi yang berupaya menawarkan pelbagai program pengajian dan secara langsung tidak menjadikan pertanian lagi sebagai teras utama UPM dalam membentuk sistem kajian dan pendidikannya.

Kini, UPM mempunyai sebuah kampus utama di Serdang dan sebuah kampus cawangan di Bintulu.

Perkembangan UPM[sunting | sunting sumber]

Universiti Putra Malaysia memulakan program akademiknya pada bulan Julai 1973 di Serdang, Selangor dengan tiga fakulti asas iaitu Fakulti Pertanian, Fakulti Perhutanan, Fakulti Kedoktoran Veterinar dan Sains Haiwan serta Bahagian Sains Asasi. Kini UPM menawarkan 84 program Bacelor, 8 program Diploma dan 1 program asasi. UPM juga menawarkan 63 program sarjana secara kerja kursus (coursework)[6] dan juga lebih dari 295 bidang pengajian untuk program dengan penyelidikan (research) yang merangkumi peringkat master sains veterinar (M.V.Sc.), sarjana sains (M.S.), sarjana sastera (M.A.), doktor falsafah (Ph.D.) dan doktor kejuruteraan (D.Eng.)[7].

Setakat ini Universiti Putra Malaysia mempunyai 15 fakulti, 2 sekolah, 10 institut, 10 kolej kediaman, 2 taman, 1 akademi dan sebuah kampus cawangan[8].

Senarai fakulti dan sekolah[sunting | sunting sumber]

Fakulti Ekologi Manusia
  1. Fakulti Pertanian (FP)
  2. Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS)
  3. Fakulti Perubatan Veterinar (FPV)
  4. Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE)
  5. Fakulti Kejuruteraan (FK)
  6. Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP)
  7. Fakulti Sains (FS)
  8. Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM)
  9. Fakulti Ekologi Manusia (FEM)
  10. Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK)
  11. Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB)
  12. Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK)
  13. Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM)
  14. Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB)
  15. Sekolah Pengajian Siswazah (SGS)
  16. Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan
  17. Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains

Senarai institut[sunting | sunting sumber]

Pusat kecemerlangan pendidikan tinggi (HICOE)[sunting | sunting sumber]

Institut Biosains
  1. Institut Biosains (IBS)
  2. Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP)
  3. Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS)

Institut Penyelidikan[sunting | sunting sumber]

  1. Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2)
  2. Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS)
  3. Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing)
  4. Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM)
  5. Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH)
  6. Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS)
  7. Institut Kajian Perladangan (IKP)
  8. Institut EkoSains Borneo

Senarai pusat[sunting | sunting sumber]

Pusat Sukan
  1. Pusat Perhubungan Alumni
  2. Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM)
  3. Pusat Kokurikulum & Pembangunan Pelajar (PKPP)
  4. Pusat Sukan
  5. Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC)
  6. Pusat Kesihatan Universiti (PKU)
  7. Pusat Islam
  8. Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan eNDOWMEN (WAZAN)
  9. Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS)
  10. Pusat Pembangunan Akademik (CADe)
  11. Pusat Asasi Sains Pertanian (ASPer)
  12. Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC)
  13. Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC)
  14. Pusat Hubungan dan Jaringan Industri (CiRNeT)
  15. Pusat Jaminan Kualiti (CQA)
  16. Pusat Penerbit Universiti

Senarai taman dan akademi[sunting | sunting sumber]

  1. Putra Science Park (PSP)
  2. Taman Pertanian Universiti (TPU)
  3. Akademi Sukan

Senarai kolej kediaman UPM[sunting | sunting sumber]

KMR OnePUTRA Residence
  1. KMR OnePUTRA Residence
  2. Kolej Mohamad Rashid (KMR)
  3. Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI)
  4. Kolej Canselor (KC)
  5. Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS)
  6. Kolej Pendeta Zaba (KPZ)
  7. Kolej Ke Sepuluh (K10)
  8. Kolej Kedua Belas (K12)
  9. Kolej Tan Sri Aishah Ghani (KTAG)
  10. Kolej Keempat Belas (K14)
  11. Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KMB)
  12. Kolej Sri Rajang (KSR)

Entiti perniagaan UPM[sunting | sunting sumber]

* UPM Holdings Sdn. Bhd.

UPM Kampus Bintulu, Sarawak[sunting | sunting sumber]

Kompleks Akademik Pusat

Antara program yang ditawarkan oleh UPM Kampus Bintulu adalah seperti berikut:

Persediaan diploma[sunting | sunting sumber]

  1. Program Persediaan Diploma Sains

Diploma[sunting | sunting sumber]

  1. Diploma Pertanian
  2. Diploma Perikanan
  3. Diploma Perhutanan
  4. Diploma Kesihatan Haiwan dan Penternakan
  5. Diploma Pengurusan Perladangan Makanan
  6. Diploma Perniagaantani
  7. Diploma Kejuruteraan Pertanian
  8. Diploma Sains Komputer
  9. Diploma Pembangunan Manusia

Bacelor[sunting | sunting sumber]

  1. Bacelor Sains Bioindustri dengan Kepujian
  2. Bacelor Sains Akuakultur dengan Kepujian
  3. Bacelor Sains Perhutanan dengan Kepujian (Perhutanan Ladang)
  4. Bacelor Sains Pembangunan Manusia dengan Pengurusan (Kepujian)
  5. Bacelor Sains Kimia Perindustrian dengan Kepujian

Pengajian pascasiswazah[sunting | sunting sumber]

Program Master dan PhD juga ditawarkan.

Logo UPM[sunting | sunting sumber]

Logo UPM

Logo UPM yang ringkas melambangkan tradisi, falsafah dan visi baru universiti.

Asas logo terbina daripada bentuk perisai yang secara tradisinya melambangkan prinsip, kemantapan dan penjagaan martabat ilmu untuk kebahagiaan dan kesejahteraan sejagat.

Bentuk titisan air merupakan simbolik kepada komitmen universiti untuk memelihara alam sekitar. Air juga adalah sebagai asas kehidupan sebagaimana juga ilmu adalah sebagai asas untuk mencapai kemajuan manusia.

Garisan kecil di tengah melambangkan wawasan universiti yang sentiasa ke hadapan. Tiga garisan di kiri dan di kanan ialah simbol dahan yang melambangkan kepentingan pertanian dalam kelangsungan kehidupan dan kemakmuran manusia yang merupakan tumpuan dan kekuatan UPM. Tiga garisan itu juga membawa maksud tiga fungsi utama Universiti iaitu pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan.

Buku yang berada di sebelah atas melambangkan keunggulan Universiti sebagai gapura yang menjunjung, menjana dan meneroka ilmu untuk kebahagian dan kesejahteraan sejagat.

Warna merah melambangkan dinamisme kepada tradisi perjuangan ilmu dan juga semangat perintis, keberanian dan ketahanan menghadapi cabaran. Warna putih melambangkan keikhlasan dan ketelusan. Warna kelabu melambangkan keneutralan, keluwesan dan ketekalan.

Kombinasi warna merah, kelabu dan putih bermaksud keharmonian, kestabilan, keceriaan, kematangan dan dinamisme.

Konsep bentuk perisai ini diperkukuh lagi dengan huruf 'UPM' yang menjadi singkatan kepada Universiti Putra Malaysia.

Lagu UPM[sunting | sunting sumber]

Lagu rasmi UPM ialah "Putra Gemilang". Lirik lagu ini ditulis oleh Dharmawijaya manakala lagunya oleh Dato' Ahmad Nawab.

Lirik[sunting | sunting sumber]

Universiti Putra Malaysia

Gedung ilmu menara budi

Disinilah berhimpun warga siswa

Menjunjung amanat BERILMU BERBAKTI


Teguh setia mengisi harapan

Insan bertaqwa penunjang peribadi

Berpadu tenaga mencapai kejayaan

Sehati sejiwa berhemah tinggi


Universiti Putra Malaysia

Pembina wawasan gemilang

Universiti Putra Malaysia

Pembentuk siswa cemerlang


Semarak namamu di sinar zaman

Semerbak namamu di suara sanjungan

Penyumbang bakti ke anak bangsa

Pewaris sejati negara tercinta


Di damai desa di permai kota

Tersemat citramu semegah kenangan

Di darjat bangsa di daulat negara

Tersurat jasamu menjana kemajuan

Ikrar pelajar UPM[sunting | sunting sumber]

Pada Minggu Perkasa Putra, mahasiswa dan mahasiswi yang baru memasuki UPM hendaklah berikrar seperti di bawah ini:

Bahawasanya saya, pelajar Universiti Putra Malaysia, berikrar dan mengaku, bahawa saya akan:

  1. Mematuhi Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, (termasuk pindaan-pindaan di bawahnya), perlembagaan, statut, kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan yang berkuat kuasa di universiti ini;
  2. Sentiasa memelihara imej dan nama baik universiti;
  3. Menghayati dan mengamalkan konsep insan dalam setiap tindakan
  4. Mematuhi etika penampilan pelajar dan berkeperibadian unggul sepanjang masa;
  5. Sentiasa berusaha untuk cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum;
  6. Berbakti kepada universiti dan masyarakat;
  7. Bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara demi keharmonian sejagat.

Teknologi pendidikan[sunting | sunting sumber]

Sejak 2010, UPM telah mula menggunakan sistem pengurusan pembelajaran yang diberi nama PutraLMS.[9]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Universiti Putra Malaysia (UPM), Quacquarelli Symonds, diarkibkan daripada yang asal pada 2023-11-08, dicapai pada 2023-11-08
  2. ^ Zaini Ujang, (2009) Menghayati Budaya Ilmu: Faham Ilmu, Amalan dan Panduan. Edisi Ke–2. Skudai: Penerbit UTM Press. ISBN 978-983-52-0712-9.
  3. ^ https://web.archive.org/web/20180712183852/http://www.pertanika.upm.edu.my/Resources/What%20is%20Pertanika%20(FINAL)%20-%20revised%2024%20Feb%202016%20%20%5BCompatibility%20Mode%5D.pdf
  4. ^ "Laporan Tahunan 1977-1978 Universiti Pertanian Malaysia" (PDF). http://discoverylib.upm.edu.my/discovery/Record/oai:psasir.upm.edu.my:21962. External link in |website= (bantuan)
  5. ^ https://penerbit.upm.edu.my/pertanika_journals/about_the_journal-12400
  6. ^ PROGRAM SECARA KERJA KURSUS, Sekolah Pengajian Siswazah.
  7. ^ PROGRAM SECARA PENYELIDIKAN, Sekolah Pengajian Siswazah.
  8. ^ SENARAI ENTITI Universiti Putra Malaysia, Portal UPM
  9. ^ Mohamed Amin Embi; Mohd Najib Adun, penyunting (2010). e-Pembelajaran di IPTA Malaysia. Selangor: Pusat Pembangunan Akademik UKM. m/s. 27–28. ISBN 978-967-5878-21-3.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]