Ular Kapak

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Ular Kapak
frames
Pengelasan saintifik
Alam: Haiwan
Filum: Kordata
Subfilum: Vertebrat
Kelas: Reptilia
Order: Squamata
Famili: Viperidae


Ular Kapak merupakan sejenis ular berbisa dari keluarga Viperidae. Di Malaysia, jenis ular yang tergolong dalam keluarga ini adalah semua jenis ular kapak. Ular Kapak Bodoh, Ular Kapak Sumatra, Ular Kapak Gunung, Ular Kapak Tokong, Ular Kapak Hidung Pipeh, Ular Kapak Bakau, Ular Kapak Hijau.

Ular dari keluarga Viperidae ini amat mudah dikenali berdasarkan kepalanya yang seakan-akan bentuk segi tiga. Di antara mata dan lubang hidungnya terdapat lubang (pit) yang berfungsi sebagai deria pengesan haba yang amat sensitif kepada haiwan berdarah panas.

Kelenjar racun ular ini terletak di kedua belah pipinya. Bisa daripada ular jenis ini adalah dari jenis racun darah (haemotoksin) dan racun sel (sitolitik) yang biasanya bertindak terhadap sistem saluran darah dan tisu yang menyebabkan berlakunya pendarahan pada mangsa sama ada di dalam atau luar tubuh.

Gigitan ular ini adalah sakit dan akan menjadi bengkak. Sebagaimana keluarga Elapidae, keparahan mangsa gigitan ular ini juga bergantung kepada jumlah racun yang disuntikkan ke tubuhnya dan juga jenis ular yang menggigit.

Mangsa gigitan ular jenis ini biasanya akan mengalami pendarahan kesan daripada luka yang berlaku pada saluran darah dan pencairan darah merah yang mana darah sukar untuk membeku. Pendarahan akan merebak serta-merta dan ia akan berterusan selama beberapa hari. Pendarahan pada gusi, muntah darah, ludah atau batuk berdarah dan air kencing berdarah adalah kesan nyata bagi keracunan bisa ular dari keluarga ini. Walaupun tragedi kematian adalah jarang, kehilangan darah yang banyak akan mengancam nyawa mangsa.

Biasanya, ular kapak akan menggetarkan ekornya apabila didekati ataupun diusik. Ekornya yang bergetar itu apabila terkena kepada rumput atau daun-daun kering akan menghasilkan bunyi yang memberi amaran bahawa ia tidak suka diganggu dan akan mematuk pada bila-bila masa sahaja.

Kedudukan taring Viperidae[sunting | sunting sumber]

Ular dalam keluarga Viperidae yang berbisa biasanya mempunyai taring yang panjang dan boleh digerak-gerakkan.

Kesan gigitan[sunting | sunting sumber]

Antara tanda-tanda gigitan ular jenis ini ialah:

  • Sakit yang amat sangat pada tempat gigitantan (dalam masa 5 minit)
  • Bekas gigitan akan membengkak dan perubahan warna akan berlaku pada kulit dalam masa setengah jam.
  • Pendarahan yang tidak berhenti pada kesan gigitan.
  • Pendarahan pada gusi, usus dan saluran kencing.
  • Darah tidak membeku.
  • Keracunan yang teruk boleh menyebabkan bahagian lutut dan lengan atas membengkak dalam masa 2 jam disertai dengan pendarahan.