Ultra

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Rencana ini adalah mengenai risikan Perang Dunia II yang mempunyai nama kod "Ultra". Untuk kegunaan lain, sila lihat Ultra (nyahkekaburan).

Ultra (kekadangnya ditulis dalam huruf besar: ULTRA) merupakan nama yang asalnya dipergunakan oleh pihak British untuk risikan daripada pemecahan kod perhubungan Jerman dalam Perang Dunia II. Istilah itu kemudian menjadi gelaran piawai bagi Britain dan Amerika Syarikat untuk kesemua risikan daripada sumber-sumber kriptoanalisis aras tinggi. Nama ini dicipta kerana pemecahan kod dianggap lebih mustahak daripada pengelasan keselamatan yang sedia ada pada waktu itu ("Paling Rahsia"). Oleh itu, ia diberikan kelas tersendiri, iaitu "Rahsia Ultra".

Kebanyakan daripada trafik tulisan rahsia Jerman telah dikodkan oleh mesin Enigma, dan justera itu, istilah "Ultra" sering digunakan seolah-olah sinonim untuk "pemecahan kod Enigma". Sebelum gelaran "Ultra" diamalkan, terdapatnya beberapa nama rahsia untuk risikan daripada sumber ini, termasuknya Boniface. Untuk tempoh yang singkat selepas gelaran "Ultra" dicipta, ia hanya digunakan untuk risikan daripada saluran Enigma.

Pihak Jerman kemudian menggunakan beberapa sistem mesin teletaip tulisan rahsia berjajaran untuk trafiknya yang paling mustahak. Untuk sistem-sistem ini, pihak British memberi nama kod generik FISH. Terdapatnya beberapa sistem yang berbeza, terutamanya Lorenz SZ 40/42 (mula-mulanya diberi nama kod TUNNY) dan Geheimfernschreiber (nama kod STURGEON). Kesemua sistem ini juga dipecah oleh pihak British, khasnya TUNNY yang dipecah dengan sempurna. Mesej daripada sistem FISH kemudian dipecah melalui komputer Colossus yang dianggap sebagai perintis untuk komputer digital boleh atur cara elektronik. Walaupun jumlah mesej yang diterima daripada FISH adalah jauh lebih rendah daripada Enigma, ia telah diimbangi oleh pentingnya.

F.W. Winterbotham, di dalam bukunya yang berjudul "Rahsia Ultra" ("The Ultra Secret") (1974), menyebut bahawa Dwight D. Eisenhower, Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Bersekutu, pernah menerangkan pada akhir Perang Dunia II bahawa Ultra merupakan faktor yang muktamad dalam kemenangan peperangan itu.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]