Umar ibni Abd al-Aziz

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Umar ibni Abd al-Aziz (682-720) ialah khalifah Ummaiyyah yang memerintah dari tahun 717 hingga tahun 720. Tidak seperti khalifah Ummayyah sebelumnya, dia dilantik ke jawatan khalifah. Dia ialah sepupu khalifah sebelumnya dan ialah anak adik Khalifah Abdul Malik iaitu Abd al-Aziz.

Biografi[sunting | sunting sumber]

Umar dilahirkan pada tahun 682[1]. Ada dua pendapat mengenaai tempat kelahirannya iaitu pendapat pertama dia dilahirkan di Madinah manakala pendapat kedua mengatakan dia dilahirkan di Mesir. Bapanya ialah Abd al-Aziz, Gabenor Mesir dan adik kepada Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Umar ialah cicit kepada Khalifah kedua Khulafa al-Rasyidin iaitu Saidina Umar Al-Khatab.

Menjadi Gabenor Madinah[sunting | sunting sumber]

Umar dibesarkan di Madinah dan tinggal di sana sehinggalah kematian ayahnya. Selepas itu dia dipanggil oleh Khalifah Abdul Malik ke Damsyik untuk mengahwini anak Khalifah Abdul Malik, Fatimah. Khalifah Abdul Malik meninggal dunia tidak lama kemudian dan digantikan dengan anaknya Al-Walid I yang kemudian melantik Umar sebagai Gabenor Madinah. Tidak seperti gabenor terdahulu, Umar menubuhkan sebuah majlis untuk membantunya menguruskan Madinah. Ramai orang berhijrah dari Iraq ke Madinah mencari perlindungan daripada kekejaman gabenor Iraq iaitu Hajjaj ibn Yusuf. Hal ini mendatangkan kemarahan Gabenor Iraq yang kemudiannya mendesak Khalifah Al-Walid supaya memecat Umar. Walaupun mendapat bantahan penduduk Madinah, Khalifah Al-Walid terpaksa tunduk kepada tuntutan Hajjaj.

Menjadi Khalifah[sunting | sunting sumber]

Umar terus tinggal di Madinah sepanjang pemerintahan Khalifah Al-Walid dan Khalifah Sulaiman. Khalifah Sulaiman yang juga merupakan sepupu Umar amat mengaguminya dan melantik Umar sebagai penggantinya walaupun ditentang oleh saudara terdekatnya. Umar dengan berat hati menerima jawatan ini walaupun mencuba beberapa kali untuk mengubah keputusan Khalifah Sulaiman. Umar tidak mementingkan kekayaan dan kemegahan dan memilih untuk hidup dalam kesederhanaan[2].

Walaupun mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi rakyat, beliau menggalakkan rakyat supaya memilih khalifah yang baru sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan pemerintahannya. Beliau membahagikan tanah jajahan Ummayyah kepada rakyat dan amat jarang menerima hadiah kerana takut dirasuah. Beliau juga mendesak kaum keluarganya supaya mendermakan barang kemas kepada perbendaharaan awam.

Perubahan Pentadbiran[sunting | sunting sumber]

Umar juga melakukan beberapa perubahan keagamaan. Dia menghapuskan amalan menyumpah Saidina Ali Abi Talib semasa khutbah Jumaat. Khalifah Umar juga menguatkuasakan undang-undang Syariah dan menghapuskan amalan pembayaran cukai Jizyah terhadap saudara baru Islam walaupun mereka telah memeluk Islam.

Walaupun beliau tidak berminat untuk mengembangkan empayar Ummaiyyah, beliau berjaya menumpaskan beberapa pemberontakan dan penentangan[3].

Kewafatan[sunting | sunting sumber]

Perubahan yang dilakukannya menimbulkan kemarahan golongan bangsawan Ummaiyyah yang kemudiannya merasuah seorang hamba untuk meracuni makanannya. Umar mengetahui mengenai perkara ini dan memaafkan pesalah ini. Beliau wafat pada tahun 720 di Aleppo. Beliau digantikan oleh sepupunya Yazid II.

Pengiktirafan[sunting | sunting sumber]

Hadis Nabi S.A.W

"Allah akan mengirimkan seorang mujaddid (orang yang memperbaharui urusan agamanya) setiap seratus tahun"

Ijtima' ulama bersepakat mengatakan bahawa untuk kurun pertama Hijrah, Umar ibn Abd Aziz merupakan mujaddid pada kurun tersebut.

Hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Adi ibn Hatim sebelum beliau menjadi Muslim

"Adi ibn Hatim. Barangkali yang menghalangi engkau memasuki Islam adalah dengan kemelaratan kaum muslimin. Akan tiba masanya nanti di suatu zaman di mana seluruh umat Islam tidak layak menerima zakat lantaran kekayaan yang telah mereka miliki"

Berkata Adi ibn Hatim setelah dia menjadi seorang Muslim

"Aku telah melihat dua perkara yang dinyatakan oleh Nabi dan aku bersumpah perkara ketiga mengenai kekayaan umat Islam pasti berlaku"

Yahya ibn Said (salah seorang gabenor ketika pemerintahan Umar ibn Abd Aziz) menceritakan pengalamannya

"Umar ibn Abd Aziz telah mengutus aku ke Afrika Utara untuk membahagi zakat. Lalu kucari fakir miskin di sana tetapi tiada seorang pun yang layak digelar fakir miskin. Khalifah Umar benar-benar telah menjadikan rakyatnya kaya"

Pemimpin Bani Abbasiyyah mengatakan

"Kami dapat menandingi kerajaan Bani Ummaiyyah dalam semua hal kecuali 4 perkara. Salah satunya ialah tiada orang seperti Umar ibn Abd Aziz dari kalangan kami buat selama-lamanya"

Cebisan kata-kata menarik[sunting | sunting sumber]

Pemerintah selalunya melantik pegawai untuk mengawasi rakyatnya. Aku melantik kamu untuk mengawasi diriku dan kelakuanku. Jika kamu mendapati aku melakukan kesalahan, bimbinglah aku atau halanglah aku daripada melakukannya.

[4]

- Umar ibni Abd al-Aziz.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]