Undang (Negeri Sembilan)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Undang)
Undang Yang Empat dalam suatu perhimpunan tahun 1897
(Chiefs of Negeri Sembilan, 1897 - dalam simpanan Arkib Negara British)

Undang ialah gelaran Pembesar Memerintah bagi Negeri Sembilan. Undang bersama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Tunku Besar Tampin didefinisikan sebagai Raja bagi Negeri Sembilan mengikut Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.[1]

Undang pada asalnya adalah penghulu yang dilantik dalam kalangan suku Biduanda, iaitu suku pembesar Melayu berketurunan batin Orang Asli Sakai dan Jakun yang berkahwin campur dengan pembesar Kesultanan Johor Lama dan pembesar Minangkabau semasa zaman awal Negeri Sembilan.

Penghulu ini kemudiannya mendapat pengiktirafan daripada Kesultanan Johor-Riau dan diperakui sebagai pemerintah berdaulat dalam wilayah masing-masing dan dipercayai mula memakai gelaran Undang pada abad ke-18.[1]

Kedudukan Undang sebagai pemerintah terus diiktiraf oleh Belanda dan British pada abad ke-19 selain Raja-raja Melayu lain dan memainkan peranan dalam mengasaskan institusi asas Tanah Melayu yang menjadi teras kewujudan Malaysia.

Sistem pelantikan dan penggiliran Yang di-Pertuan Agong adalah berasaskan sistem pemerintahan Undang di Negeri Sembilan. Undang juga memainkan peranan dalam mengasaskan Rejimen Askar Melayu Diraja, penubuhan Majlis Perundingan Persekutuan yang kemudian menjadi Parlimen serta sistem pentadbiran awam Malaya (kini Malaysia).[1]

Kedudukan dalam perlembagaan[sunting | sunting sumber]

Kedudukan dan keistimewaan Undang selaku Raja diiktiraf dalam Perkara 71[2], Perkara 160[3] dan Perkara 181 [4] Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Perkara 28 dan Perkara 34 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Negeri Sembilan mempunyai empat Undang yang mengetuai empat wilayah atau luak utama di negeri itu. Mereka ialah Undang Sungei Ujong, Undang Jelebu, Undang Johol dan Undang Rembau, dikenali sebagai Undang Yang Empat.

Undang Yang Empat dianggap sebagai empat 'beradik' yang berkuasa menentukan hala tuju pemerintahan beraja di Negeri Sembilan, berikutan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 mengkehendaki Yang di-Pertuan Besar perlu mendapatkan persetujuan Undang Yang Empat dalam kebanyakan kuasa budi bicara Raja di negeri berkenaan.

Peranan paling utama Undang Yang Empat ialah memilih dan menabal Yang di-Pertuan Besar mengikut Perkara 7 dan Perkara 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 turut memperuntukkan kuasa prerogatif kepada Undang Yang Empat untuk menggantung tugas atau melucutkan kedudukan, menarik segala kuasa serta keistimewaan Yang di-Pertuan Besar, sekiranya penyandang melanggar hukum Syarak, didapati bersalah atas kesalahan jenayah, tidak siuman, mengingkari Undang-Undang Tubuh negeri atau dirasakan tidak lagi layak menjadi Yang di-Pertuan Besar.

Peranan utama lain bagi Undang adalah mempunyai kuasa persetujuan berhubung:-

  • pelantikan Menteri Besar,
  • menangguhkan pembubaran Dewan Undangan Negeri,
  • pengurniaan darjah kebesaran negeri,
  • hal ehwal agama Islam dan adat Melayu,
  • kedudukan tanah adat dan rizab Melayu,
  • kedudukan istimewa Bumiputera dan kepentingan sah kaum lain dan,
  • pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Mengikut Perkara 17 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, Undang Yang Empat adalah ahli Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (The Council of Yang di-Pertuan Besar and the Ruling Chiefs of Negeri Sembilan) yang turut dianggotai Tengku Besar Tampin, Tunku Besar Seri Menanti dan Dato' Shahbandar Sungei Ujong, yang mana ianya dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Besar.

Undang Yang Empat[sunting | sunting sumber]

Secara tradisinya, Undang adalah Raja Melayu dalam jajahannya yang dikenali sebagai luak atau luhak. Pemilihan dan pelantikan Undang dilakukan oleh oleh Dato'-Dato' Lembaga di dalam sesebuah luak itu mengikut adat yang diamalkannya.

  • Dato' Undang Luak Sungai Ujong dipilih mengikut Adat Purbakala di antara Waris Klana di-Hulu dan Waris Klana di-Hilir yang berpusat di Mukim Pantai, Seremban dan penyandangnya digelar Dato' Klana Petra. Pemerintahan Dato' Undang Luak Sungai Ujong sudah bermula sejak tahun 1760 dengan pemilihan Dato' Klana Petra Bador daripada Waris Hulu sebagai Undang yang pertama.
  • Dato' Undang Luak Jelebu dipilih antara tiga waris berundang iaitu Waris Ulu Jelebu, Waris Sarin dan Waris Kemin secara bergilir. Penyandangnya dikenali sebagai Dato' Mendika Mentri Akhirulzaman. Pemerintahan Undang Jelebu wujud pada tahun 1757 dan Undang Jelebu yang pertama ialah Dato' Moyang Salleh selepas memperoleh kemerdekaan daripada Kesultanan Johor.
  • Dato' Undang Luak Johol dipilih dengan ditentukan daripada Waris Johol dan Waris Gemencheh dan memakai gelaran Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan. Undang Johol yang pertama ialah seorang wanita bergelar Puteri Kanun atau Puteri Sitiawan dan mula memerintah pada tahun 1723.
  • Dato' Undang Luak Rembau dipilih secara bergilir antara Waris Biduanda Jawa dan Waris Biduanda Jakun. Penyandang pusaka Undang Rembau daripada Waris Biduanda Jakun dikenali sebagai Dato' Lela Maharaja, manakala penyandang daripada Waris Biduanda Jawa pula dikenali sebagai Dato' Sedia Raja. Undang Rembau yang pertama ialah Dato' Seri Rama yang mewujudkan pemerintahannya di Kampung Kota, Rembau pada tahun 1540, iaitu ketika Sultan Johor yang pertama, Sultan Alauddin Riayat Shah II berkuasa.

Penjawat semasa[sunting | sunting sumber]

Luak Gelaran Undang[5] Tempoh memerintah
Sungai Ujong Dato' Klana Petra Sri Jaya Dato' Mubarak Dohak Sejak 1993
Jelebu Dato' Mendika Menteri Akhirulzaman Sultan Jelebu Dato' Maarof Mat Rashad Sejak 2019
Johol Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Dato' Muhammad Abdullah Sejak 2016
Rembau Dato' Lela Maharaja Dato' Muhammad Sharif Othman Sejak 1999

Baca lagi[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c Faridzwan Abdul Ghafar (2019). Balai Undang di Negeri Sembilan: 1933-2004. Sungei Ujong Press Resources. ISBN 9789671716502.
  2. ^ "Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan. Jaminan Persekutuan terhadap Perlembagaan Negeri".
  3. ^ Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan
  4. ^ Perkara 181. Kecualian bagi kedaulatan, dsb., Raja-Raja
  5. ^ "Institusi Diraja & Undang". Kerajaan Negeri Sembilan. Dicapai pada 21 Ogos 2020.