VTEC

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

VTEC adalah kependekan bagi Variable Valve Timing and lift Electronic Control (Pemasaan dan bukaan Injap Boleh Laras Kawalan Elektronik). VTEC adalah sistem pemasaan injap boleh laras yang diperkenalkan oleh Honda bagi meningkatkan kecekapan volumetrik enjin, dan sistem VTEC adalah sistem pemasaan injap boleh laras komersial pertama digunakan dalam industri automotif. Sistem VTEC dicipta oleh jurutera R&D Honda, Ikuo Kajitani.

Sepintas lalu[sunting | sunting sumber]

Kepala silinder enjin Honda yang menggunakan sistem VTEC

Dalam sesebuah enjin, saiz sesondol bukan sahaja menentukan bukaan injap, malah turut menentukan pemasaan dan tempoh masukan / keluaran. Apabila kelajuan enjin semakin meningkat, tempoh masukan campuran udara-bahan api serta tempoh keluaran gas ekzos menjadi semakin terhad. Namun demikian, saiz bukaan injap yang tetap menghalang lebih banyak campuran udara-bahan api untuk masuk ketika kelajuan tinggi, sekaligus mengehadkan kuasa maksimum enjin. Oleh itu, sistem pemasaan injap boleh laras dicipta bagi membolehkan lebih banyak campuran udara-bahan api masuk ke dalam kebuk pembakaran semasa kelajuan enjin tinggi, seterusnya meningkatkan kuasa enjin.

Jenis-jenis sistem VTEC[sunting | sunting sumber]

VTEC konvensional (SOHC dan DOHC)[sunting | sunting sumber]

Sistem VTEC yang paling asas ialah DOHC VTEC. Di dalam sistem ini, sistem VTEC mengawal pemasaan dan bukaan bagi kedua-dua injap masukan dan injap ekzos. Setiap aci sesondol mempunyai 2 sesondol bagi setiap silinder - sesondol bukaan kecil dan sesondol bukaan besar. Semasa kelajuan rendah, sesondol bukaan kecil digunakan secara lalai bagi penjimatan minyak. Semasa kelajuan tinggi, solenoid elektronik membuka laluan minyak ke pin pengunci sesondol bukaan besar dan tekanan minyak mengunci pin sesondol bukaan besar. Akibatnya, sesondol bukaan besar digunakan untuk kuasa maksimum. Apabila kelajuan enjin kembali menurun, solenoid tersebut dimatikan dan pin pengunci dilepaskan, menyebabkan sesondol bukaan kecil digunakan kembali.

Bagi SOHC VTEC, mekanisme yang digunakan adalah sama tetapi aci sesondol tunggal tersebut hanya boleh mengawal pemasaan dan bukaan injap masukan sahaja.

VTEC-E[sunting | sunting sumber]

VTEC-E berfungsi dengan cara yang berbeza; jika VTEC konvensional digunakan untuk meningkatkan kuasa enjin, VTEC-E pula direka bagi penjimatan bahan api yang maksimum. Di dalam sistem VTEC-E, hanya satu sahaja injap masukan yang dibuka secara lalai pada kelajuan rendah bagi penjimatan bahan api yang maksimum. Pada kelajuan tinggi, tekanan minyak menolak pin mengunci yang mengunci injap masukan kedua, membolehkan kedua-dua injap masukan digunakan.

VTEC 3 Peringkat[sunting | sunting sumber]

VTEC 3 Peringkat menggabungkan kedua-dua teknologi VTEC-E dan VTEC konvensional. Pada kelajuan rendah, hanya 1 injap masukan sahaja dibuka secara lalai. Pin pengunci pertama mengunci injap masukan kedua semasa kelajuan enjin sederhana manakala pin pengunci kedua digerakkan untuk membolehkan sesondol bukaan besar digunakan pada kelajuan tinggi. Dengan ini, enjin yang menggunakan VTEC 3 Peringkat dapat memanfaatkan kedua-dua penjimatan minyak dan peningkatan kuasa enjin.

i-VTEC[sunting | sunting sumber]

i-VTEC menggabungkan teknologi pemfasaan sesondol yang digunakan oleh sistem pemasaan injap boleh laras yang lain dengan teknologi VTEC sedia ada bagi mengurangkan "kejutan kuasa" semasa mekanisme VTEC berfungsi.

VTEC pada motosikal[sunting | sunting sumber]

Selain pada enjin kereta, Honda turut menggunakan teknologi VTEC pada beberapa model motosikalnya. Ia mula digunakan pada motosikal Honda CBR400F Super Four HYPER VTEC, dan seterusnya pada motosikal Honda VFR800.