Virginia Davis

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Virginia Davis
Kelahiran(1918-12-31)31 Disember 1918
Meninggal dunia15 Ogos 2009(2009-08-15) (umur 90)
PekerjaanPelakon

Virginia Davis (31 Disember 1918 – 15 Ogos 2009) ialah seorang pelakon kanak-kanak filem Amerika Syarikat yang berasal dari Kansas City, Missouri.

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Kerjaya awal[sunting | sunting sumber]

Davis mula-mula bekerja di syarikat Laugh-O-Gram Studio yang diasaskan oleh Walt Disney di Kansas City pada tahun 1924, untuk berlakon dalam filem Alice's Wonderland yang menggabungkan lakonan hidup dengan animasi. Setelah Laugh-O-Gram lingkup dan Disney berpindah ke Los Angeles, Winkler Pictures mengambil masuk Disney untuk menghasilkan siri Alice Comedies, atau Alice In Cartoonland yang berasaskan Alice's Wonderland. Disney meyakinkan keluarga Davis supaya berpindah dari Missouri ke Los Angeles agar bintang kecil itu boleh membintangi siri ini.[2] Ketika ini, Davis tinggal di La Brea Apartments di Hollywood, California.

The Viennese Medley[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1925, Davis berlakon sebagai Resi dalam filem The Viennese Medley terbitan First National Pictures. Pengarah filem itu, Curt Rohfeld, mengulas bahawa Davis "... memiliki teknik seorang seniwati yang kemas, kebolehan yang luar biasa untuk mengikut arahan serta pembawaan seumpama bidadari. Tak pernah sesekali saya perlu menjelaskan sesuatu dua kali sepanjang penggambaran. Dengan segala pemahamannya yang matang, kekalnya daya tarikan yang kemudaan, maka terbentuknya satu gabungan yang sukar dicari dan amat dihargai."

Sewaktu penggambaran The Viennese Medley, Davis menandatangani kontrak bersama Harry Carey, dan kedua-dua pelakon itu bersama-sama membintangi The Man From Red Gulch (1925).

The Blue Bird[sunting | sunting sumber]

Pada Disember 1929, Davis menyertai barisan pelakon The Blue Bird di Pasadena Playhouse. Drama pari-pari ini turut dibintangi Janet Horning, seorang pelakon kanak-kanak yang hanya berumur dua tahun, di samping kira-kira 150 kanak-kanak lain.

Kerja lain[sunting | sunting sumber]

Davis turut membuat ujian suaranya untuk satu watak dalam filem cetera animasi pertama Disney, iaitu Snow White and the Seven Dwarfs (1937) di samping juga beberapa watak budak kecil dalam Pinocchio (1940), tetapi tidak berjaya.

Zaman dewasa[sunting | sunting sumber]

Selama 20 tahun seterusnya, Davis bekerja di studio-studio Hollywood Studios yang lain sebagai pelakon kanak-kanak dan juga pelakon pembantu. Beliau bernyanyi, menari, dan berlakon dalam filem-filem seperti Flying Down to Rio, Vivacious Lady, Young and Beautiful, College Holiday, Song of the Islands, Three on a Match, The Harvey Girls, Weekend in Havana, dan sebagainya. Adakalanya, beliau memakai nama glamor Mary Daily, dan muncul dalam filem-filem seperti Hands Across the Rockies di samping bintang koboi Bill Elliott.

Kehidupan peribadi[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1943, beliau berkahwin dengan juruterbang Tentera Laut yang bernama Robert McGhee, lalu melahirkan dua orang anak perempuan. Sepanjang perkahwinan mereka selama 59 tahun, mereka berdiam di New Jersey, Connecticut, Selatan California, dan Idaho. Selama 25 tahun, Virginia bekerja sebagai ejen hartanah di kawasan Irvine, California dan Boise, Idaho.

Kematian[sunting | sunting sumber]

Setelah setahun uzur, Virginia Davis-McGhee meninggal dunia di rumahnya di Corona, California pada 15 Ogos 2009, berusia 90.[3]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ In Memoriam: Virginia Davis
  2. ^ The Hand Behind the Mouse: The Ub Iwerks Story, Leslie Iwerks, Walt Disney Pictures,1999
  3. ^ Notice of death

Sumber[sunting | sunting sumber]

  • Los Angeles Times, "New Members of Players' Club", April 20, 1924, p. J3
  • Los Angeles Times, "Older Sisters' Art Emulated", August 23, 1925, p. 20
  • Los Angeles Times, "Tiny Actress In Blue Bird", December 29, 1929, p. 20
  • Los Angeles Times, "Around And About In Hollywood", March 24, 1934, p. 7

Pautan luar[sunting | sunting sumber]