Wan A. Rafar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Wan Abdul Rafar @ Yaakub bin Ishak (dilahirkan di Pasir Mas pada 3 Februari 1947) atau lebih dikenali dengan nama penanya Wan A. Rafar adalah seorang penyair/pemuisi dan penulis esei Malaysia.

Pendidikannya bermula di Sekolah Kebangsaan Lelaki Pasir (sekarang Sekolah Kebangsaan Dato' Hamid 1) dan Sekolah Menengah Sultan Ibrahim 1 (Sultan Ibrahim Secondary School). Beliau memasuki Maktab Perguruan Bahasa, Lembah Pantai pada tahun 1966-1967. Ketika di maktablah, sajaknya yang pertama, "Jendela dan Kemeja" tersiar, iaitu dalam majalah Dewan Masyarakat, pada September 1966. Seterusnya karya-karya yang lain, sama ada sajak atau rencana atau laporan kegiatan kebudayaan maktab tersiar dalam Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Utusan Zaman dan Dewan Masyarakat. Di maktab beliau sempat berguru dengan Kala Dewata dan Nuruddin Jamin, dua orang penulis terkenal yang menjadi pensyarah ketika itu.

Keluar dari maktab, beliau mengajar di beberapa buah sekolah di Kelantan sebelum kembali ke Kuala Lumpur untuk melanjutkan pelajarannya di Universiti Malaya. Beliau menamatkan pengajiannya pada tahun 1974 dalam bidang pengajian Melayu dengan pengkhususan dalam linguistik dan kesusasteraan Melayu. Antara pensyarahnya ialah Prof Nik Safiah Karim, Prof Dr Asmah Haji Omar (linguistik), Prof Ismail Hussein (kritikan), Prof Abu Bakar Hamid (cerpen), Hashim Awang (cerpen), Umar Junus (puisi), Abu Hassan Sham (sastera lama) dan Hamdan Hassan (sastera berunsur Islam).

Selepas tamat pengajian beliau kembali mengajar di beberapa buah sekolah menengah di Kelantan, termasuk di SMK Rantau Panjang, SMK Kangkong, SMK Bunut Susu, SMK Manik Urai. Beliau telah dilantik memegang beberapa jawatan di sekolah seperti Penyelia Petang, Penolong Kanan dan Pengetua. Jawatan terakhirnya sebelum bersara wajib ialah pengetua di SMK Tun Saban, Pengkalan Hulu Perak.

Dalam bidang penulisan beliau sama-sama membantu dan aktif dalam Persatuan Penulis Kelantan (PPK), memberi ceramah bahasa dan sastera, serta membimbing penulis-penulis muda dalam penulisan sajak. Beliau juga aktif bersama Abdulaziz HM dalam Teater Malini, membantu pementasan dan majlis membaca sajak.

Sajak-sajaknya juga pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana, termasuk Bahasa Kerbau (1971), Bagong (1974) dan Wukuf (1982). Sajak-sajaknya juga telah dihimpun dalam beberapa antologi bersama seperti Dalam Getaran (DBP,1973), Kumpulan Sajak-Sajak Hadiah Sastera 1971 -1973 (DBP, 1976), Pemenang '74 (DBP,1976), Modern Malaysian Poetry (DBP, 1980), Lagu Kehidupan (DBP, 1983), Bintang Mengerdip (DBP, 1984), Cakerawala (DBP, 1986), Bunga Gerimis (Fajar Bakti, 1986), Malaysia Dalam Puisi (DBP, 1991), Mengenang-Mu, Puisi-Puisi Melayu Berunsur Islam 1933-1986 (DBP 1989), Puisi Baharu Melayu 1961-1986 (DBP, 1990), Gema Membelah Gema 10 (1991), Kamar Kecil (Angkatan Penyair Kelantan, 1991), The Puppeteer's Wayang (In Print-DBP, 1992), Emas Tempawan/ Burnished Gold (DBP, 2004) dan Suara Kita, Antologi Seribu Sajak Merdeka (Jabatan Penerangan Malaysia,2013).

Atas usaha dan bakat beliau, Wan A. Rafar telah dianugerahi Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 1995 dan Ahli Mangku Negara (AMN) pada tahun 2004.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]