Wang ihsan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Wang ihsan (wang ehsan) berkait dengan royalti petroleum kerajaan persekutuan Malaysia kepada kerajaan negeri Terengganu dan Kelantan. Hasil petroleum tidak lagi dibayar terus ke dalam akaun kerajaan negeri. Sebaliknya akan disalurkan menerusi jabatan baru, Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Ini bermakna agensi kerajaan persekutuan yang akan mengagihkan wang tersebut, bukan agensi kerajaan negeri.

Penubuhan wang ihsan ini amat berkesan kerana pada 2004, Barisan Nasional kembali berkuasa di Terengganu. Semasa bijih timah banyak dikeluarkan dari perut bumi negeri Perak dan Selangor, isu royalti ini tidak pernah berbangkit.

Royalti minyak[sunting | sunting sumber]

Sejak 1974, kerajaan negeri Terengganu, Sarawak dan Sabah menerima royalti petroleum daripada syarikat Petronas yang menguruskan carigali minyak dan gas di pesisir pantai Laut China Selatan.

Kemenangan PAS di Terengganu[sunting | sunting sumber]

Tetapi apabila kerajaan Terengganu jatuh ke tangan pembangkang PAS dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1999, dasar royalti itu diubah serta-merta. Dalam Perhimpunan Agung UMNO 2000, beberapa desakan daripada perwakilan yang tidak senang dengan pemberian royalti yang akan menguatkan pembangkang di Terengganu.

Penemuan minyak di Kelantan[sunting | sunting sumber]

Walaupun minyak telah dikeluarkan dari luar pantai Kelantan sejak 2004 tetapi royalti tidak dibayar kepada kerajaan negeri Kelantan. Dasar federalisme tidak diamalkan berhubung negeri Kelantan dan Terengganu. Perbezaan parti memerintah di negeri dan persekutuan menjadi punca pembayaran minyak tidak dilangsaikan.[1] Dasar federalisme ialah pembahagian kuasa antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri. Biasanya hasil tanah, kuasa bekalan air, sempadan, hasil hutan diuruskan oleh kerajaan negeri. Kerajaan persekutuan menguruskan dasar luar negeri, keselamatan, kesihatan, pendidikan dan lain-lain.

Laporan Petronas berhubung hasil pengeluaran petroleum di luar pesisir Kelantan mencetuskan isu baru. Ekoran itu, Dato Husam Musa dan lain-lain menuntut kerajaan persekutuan membayar royalti petroleum sejak ia ditemui pada 2004. Datuk Seri Mohd Najib bin Abdul Razak selaku Perdana Menteri Malaysia mengakui kewajaran tuntutan itu tetapi akan dibayar dalam bentuk wang ihsan.

Polemik wang ihsan[sunting | sunting sumber]

Polemik tercetus di kalangan rakyat dan ahli parlimen Pakatan Rakyat. Dato Ibrahim Ali mencadangkan jalan tengah iaitu separuh dikendalikan oleh kerajaan persekutuan dan sebahagian lagi diagihkan oleh agensi kerajaan negeri.

Dato Salahuddin Ayub dan Dato Nazri Abdul Aziz sanggup berdebat secara terbuka tentang royalti minyak Kelantan ini. Mereka sanggup berdebat di Mazkas PAS di Greenwood, Gombak. Dalam Astro Awani pada 18 November 2009, Tengku Razaleigh Hamzah menyatakan hasil minyak Kelantan patut dibayar dalam bentuk royalti sebagaimana terma perjanjian antara Petronas dengan kerajaan-kerajaan negeri .

Rujukan[sunting | sunting sumber]