Wee Kim Wee

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Wee Kim Wee
Presiden Singapura (1985-1993)

Wee Kim Wee (Cina: 黄金辉), lahir 4 November, 1915– meninggal 2 Mei, 2005 adalah Presiden Singapura yang keempat. Tempoh jawatannya adalah dari 1985 hingga 1993. Beliau menyandang jawatan presiden mulai 30 Ogos 1985.

Kehidupan Awal[sunting | sunting sumber]

Maklumatnya[sunting | sunting sumber]

Dilahirkan pada 4 November 1915 di Singapura, Dr Wee menerima pendidikan awal di Pearl's Hill School. Pada Januari 1930 sewaktu berumur 15 tahun, beliau meninggalkan Raffles Institution setelah dua tahun untuk bekerja di syarikat akhbar Straits Times sebagai seorang kerani. Lapan bulan sebelum tercetusnya Perang Pasifik (1941), beliau meletak jawatan dari Straits Times dan menyertai United Press Association, sebuah agensi berita milik Amerita Syarikat yang menubuhkan pejabatnya di Singapura untuk kali pertama.

Semasa Jepun menyerang Tanah Melayu dan Singapura, beliau telah berkhidmat dalam ARP (air raid precautions). Semasa pendudukan Jepun ke atas Singapura, beliau berkhidmat sebagai seorang kerani di pejabat-pejabat milik tentera Jepun. Selepas tamat perang, beliau menjadi penyelia and juruwang sebuah kantin yang memberi khidmat katering kepada pelaut-pelaut Asia yang berkhidmat dalam kapal-kapal perdagangan Jepun.

Apabila Singapura dibebaskan pada 1945, Encik Wee menganggotai semula United Press Association. Pada 1959 beliau kembali bekerja dengan Straits Times dengan menyandang jawatan Penolong Penyunting (Singapura) dan menerajui jabatan penyuntingan di Singapura.

Semasa bekerja dengan Straits Times, Encik Wee telah melaporkan tentang perang saudara yang berlaku di Belgian Congo (kini Zaire).

Pada 1966, beliau merupakan wartawan Singapura pertama yang memasuki Jakarta semasa berlakunya Konfrontasi dan berjaya menemuramah Suharto dan Menteri Luar Encik Adam Malik semasa Sukarno berada di dalam tahanan di dalam istananya di Bogor. Menerusi laporan dari interviu eksklusifnya, rakyat Singapura dan Malaysia sedar bahawa Indonesia juga ingin menamatkan insiden Konfrontasi dengan secepatnya.

Pada 1973, dua tahun sebelum beliau bersara dari Straits Times, kerajaan Singapura telah menawarkan beliau jawatan Pesuruhjaya Tinggi ke Malaysia. Perlantikan tersebut adalah untuk tempoh tiga tahun tetapi beliau telah berkhidmat selama tujuh tahun, dua tahun terakhirnya sebagai dekan kor diplomatik di Kuala Lumpur. Encik Wee juga telah berkhidmat sebagai ahli delegasi Singapura ke Perhimpunan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1977.

Beliau dilantik menjadi duta Singapura di Jepun dan Korea Selatan pada September 1980 dan Februari 1981. Beliau kembali ke Singapura pada akhir bulan April 1984 dan menyandang jawatan pengerusi dalam syarikat televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC).

Pada zaman mudanya, Encik Wee merupakan seorang ahli sukan yang aktif. Beliau aktif dalam badminton, ping pong, bola keranjang dan bolasepak. Pada tahun 1937, beliau merupakan juara remaja badminton Singapura. Beliau telah berkhidmat dalam persatuan-persatuan badminton di Singapura dan Malaya dan menjadi Presiden Persatuan Badmintion Singapura serta Naib Presiden Persatuan Badmintion Malaya.

Beliau juga aktif dalam bidang kemasyarakatan dan telah berkhidmat di dalam berbagai kelab dan pertubuhan. Untuk beberapa tahun, beliau telah menjadi penegerusi Persatuan Anti-Tibi Singapura (SATA).

Pada 1966, beliau dilantik sebagai Jaksa Pendamai (Justice of the Peace). Pada 1963, beliau telah dianugerahkan dengan Bintang Bakti Masyarakat kerana kerja awamnya dan pada 1979, anugerah Pingat Jasa Gemilang kerana perkhidmatannya dalam bidang diplomasi.

Pada 2004, beliau telah menulis sebuah buku bertajuk, "Glimpses and Reflections", untuk berkongsi pengalaman mudanya dan juga kerjayanya bermula dari seorang kerani, wartawan, dan kemudiannya, Presiden. Royalti yang diraih dari penjualan buku tersebut (dianggarkan bernilai setengah juta dolar Singapura) telah didermakan kepada lapan buah badan kebajikan.

Encik Wee telah berumahtangga pada 1936 dengan Cik Koh Sok Hiong. Mereka dikurniakan dengan tujuh orang anak; satu lelaki dan enam perempuan.

Pemergian[sunting | sunting sumber]

Encik Wee meninggal dunia pada awal pagi (pukul 5.10 waktu Singapura) 2 Mei 2005 akibat komplikasi penyakit barah prostat. Beliau berumur 89 tahun.

Sepanjang menjadi Presiden dari 1985 hingga 1993, mendiang Encik Wee dikenali sebagai 'Pemimpin Berjiwa Rakyat' kerana kemesraan dan keprihatinannya terhadap kesejahteraan umum.

Seorang Presiden yang rendah hati sehingga akhir hayatnya, beliau telah meminta agar tidak dikebumikan di Tanah Perkuburan Peperangan Kranji (lazimnya tempat bersemadi orang-orang yang telah berjasa kepada negara) dan meminta agar abu beliau ditempatkan bersama rakyat Singapura yang biasa di sebuah perkuburan awam di Mandai.