Yinglong

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Yinglong illustration from the Shanhaijing

Yinglong (Cina ringkas: 应龙Cina tradisional: 應龍pinyin: yìnglóngWade-Giles: ying-lung; harf. "naga pembalas") ialah seekor naga berkepak dan dewa hujan dan mitos Cina purba. Nama yinglong terdiri daripada yìng 應 "membalas; menjawab; bersetuju; berjanji" dan lóng 龍 "naga".

Kegunaan klasik[sunting | sunting sumber]

Yinglong sering disebut dalam naskhah-naskhah klasik Cina dalam kisah-kisah mitos tentang Tiga Tokoh Mulia dan Lima Maharaja, terutamanya Huangdi (Maharaja Kuning), dan Raja Yu yang diperkatakan sebagai pewaris Maharaja Huang itu. Contoh-contoh di bawah disusun lebih kurang mengikut turutan masa.


Chuci[sunting | sunting sumber]

Naskhah Chuci "Lagu Negeri Chu" (abad ke-3 hingga ke-2 SM) menyebut tentang Yinglong yang menolong Raja Yu 禹, pengasas legenda Dinasti Xia, untuk mengawal Bnjir Besar. Menurut budaya rakyat Cina, Raja Yao 堯 menugaskan bapa Yu yaitu Gun 鯀, yang kononnya seorang pewaris Maharaja Huang, untuk mengawal banjir besar, tetapi Gun gagal. Pewaris Yao iaitu Raja Shun 舜 menghukum mati Gun dan membiarkan mayatnya terdedah, tetapi apabila mayat Gun tidak reput, ia dikelar pula dan Yu lahir dari tubuh bapanya. Shun melantik Yu untuk mengawal banjir; setelah berjaya dengan membina terusan, Yu membahagikan negara China kepada Jiuzhou atau Sembilan Wilayah.


Bab "Persoalan Samawi" (3, 天問) bertanya tentang Yinglong, dalam konteks bersama Zhulong 燭龍 "Naga Obor". Tianwen, yang disifatkan oleh Hawkes (1985:38, 126) sebagai "soal jawab kepawangan (?) tentang hal-ehwal kosmologi, astronomi, mitos dan sejarah", apatah lagi "ditulis dalam bahasa kuno yang tidak terdapat di tempat-tempat lain dalam antologi negeri Chu" selain "satu dua rangkap ringkas" dalam bahagian Li Sao.

Apabila Raja Gun melahirkan Yu dari dalam perutnya, bagaimanakah dia berubah? Yu mewarisi tradisi yang sama dan meneruskan usaha ayahandanya. Jika beliau ingin meneruskan usaha yang sudah dimulakan itu, apakah beza dalam rancangannya? Bagaimanakah beliau mampu mengisi air bah yang paling dalam sekali? Bagaimanakah beliau menentukan sempadan Sembilan Wilayah? Apakah yang ditinggalkan oleh naga bersayap atas bumi? Di manakah laut dan sungai mengalir? (tr. Hawkes 1985:128)


Ulasan Chuci oleh Wang Yi 王逸 pada abad ke-2 M menjawab bahawa Yinglong melukis garis-garis di atas tanah untuk menunjukkan Yu di mana untuk menggali parit dan terusan pengairan.

Shanhaijing[sunting | sunting sumber]

Shanhaijing 山海經 "Kitab Gunung dan Laut" (ca. abad ke-3 SM-abad pertama M) menyebut tentang pelbagai mitos Yinglong dalam dua bab dalam bahagian "Kitab Gersang Besar". Yinglong berkait rapat dengan dua orang dewa yang memberontak terhadap Maharaja Huang: iaitu dewa perang dan dewa hujan, Chi You 蚩尤 (Banyak Seloroh), dan puaka kemaran Kua Fu 夸父 (Pak Degar).

Bab "Kitab Gersang Besar Timur" (14, 大荒東經) menyebut tentang Yinglong membunuh Chi You dan Kua Fu, serta menggambarkan Yinglong yang menggunakan sakti tiruan untuk membuat hujan.

Di sudut timur laut Tanah Gersang terdapat sebuah gunung yang bernama Guar Bajak Malang [凶犁土丘]. Naga Pembalas berdiam di Kutub Selatan. Ia membunuh dewa-dewa Chi You dan Kua Fu, tetapi kemudian tidak dapat kembali ke angkasa, maka di bumi terjadinya banyak kemarau. Ketika kemarau, orang melukis Naga Pembalas demi menerima hujan yang lebat. (tr. Birrell 2000:162)

Ulasan oleh Guo Pu pada awal abad ke-4 M (tr. Visser 1913:114) pula menyebut akan tulong 土龍 "naga tanah", "Naga tanah masa kini mungkin berasal dari ini."

Bab "Kitab Gersang Besar Utara" (17, 大荒北經) turut menyebut tentang Yinglong yang membunuh Kua Fu. Mengikut versi pertama, Yinglong membunuh Kua Fu sebagai hukuman kerana meminum air sungai dan menyebabkan kemarau dengan mengejar matahari.

Di tengah Gersang Besar wujudnya sebuah gunung yang bernama "Kota Jaya Menjunjung Angkasa" [成都載天]. Di gunung itu ada seorang yang memegang dan memakai dua ekor ular kuning sebagai hiasan telinga. Namanya ialah Kua Fu. Bumi melahirkan Percaya, Percaya melahirkan Kua Fu. Kekuatan Kua Fu tidak terhingga. Ia ingin berlumba dengan cahaya suria, dan sempat mengejarnya di Lembah Mawas. Ia mencedok air dari Sungai besar untuk diminum, tetapi ia tidak mencukupi. Ia berlumba ke arah Rawa Besar, tetapi sebelum sempat mencapainya, matilah ia dekat gunung ini. Naga Pembalas sudah pun membunuh Chi You, dan kini ia membunuh Kua Fu. Maka Naga Pembalas pergi ke rantau selatan dan berdiam di situ, maka di rantau selatan banyaklah hujan. (tr. Birrell 2000:185-6, cf. Schiffeler 1978:124)

Mengikut versi mitos yang kedua, puteri Maharaja Kuning iaitu Ba 魃 "puaka kemarau" membunuh Chi You setelah Yinglong gagal berbuat demikian. Ba ialah seekor puaka kemarau yang seakan-akan Kua Fu.

… Di sinilah letaknya Gunung Beranak Malar [係昆之山], tempat letaknya Deretan Buruh Jelata. Pemanah tidak berani menyasar ke arahnya. Di gunung ada seseorang yang perpakaian serba hijau. Namanya ialah Puaka Kemarau, puteri kepada Maharaja Kuning. Dewa Chi You mencipta senjata lalu menyerang Maharaja Kuning. Maka Maharaja Kuning menitahkan Naga Pembalas untuk bertempur dengan Chi You di Tanah Gersang Pulau Harapan. Naga Pembalas mengumpulkan segala air, tetapi Chi You meminta Raja Angin dan Ketua Hujan untuk melepaskan angin kencang dan hujan lebat. Maka Maharaja Kuning menghantar puterinya Puaka Kemarau dari angkasa, maka berhentinya hujan. Kemudian, puteri itu membunuh Chi You dan tidak dapat balik ke angkasa. Maka tempat kediamannya di atas bumi itu tidak pernah hujan. (tr. Birrell 2000:186-7)

Berdasarkan sejarah catatan Yinglong, Chi You, Kua Fu, dan legenda-legenda yang berkaitan Bernhard Karlgren (1946:284-5) membuat kesimpulan bahawa "kesemua mitos alam ini sekadar cerita rakyat zaman Han, dan tiada kesan bukti tentangnya dalam sumber-sumber sebelum Han", dengan dua pengecualian. Ba ialah seorang "tokoh cerita rakyat teramat lama" yang sudah disebut dalam Shijing (258) dari Zaman Musim Bunga dan Musim Luruh, dan Yinglong, "yang mengarahkan aliran sungai dan laut", disebut dalam Tianwen dari Zaman Negeri-Negeri Berperang.

Huainanzi[sunting | sunting sumber]

Naskhah Huainanzi (abad ke-2 SM) menyebut Yinglong dalam tiga bab. Aksara Ying turut terdapat dalam ganying 感應 (harf. "perasaan dan balasan") "gema; gerak balas; interaksi; pengaruh; pencetusan", yang dianjurkan oleh Charles Le Blanc (1985:8-9) sebagai gagasan paling penting dalam catatan Huannanzi.

Bab "Bentuk Bumi" (4, 墬形訓) menjelaskan bagaimana evolusi haiwan berasal dari naga, dengan Yinglong selaku leluhur segala makhluk berkaki empat. Carr (1990:107) menyatakan bahawa Yinglong biasanya dilukis dengan empat sayap yang menyamai empat kaki.

Segala makhluk, baik yang bersayap, berbulu, bersisik mahupun berkarapas, berakar-umbi dari naga. Makhluk yu-kia(羽嘉) melahirkan naga terbang, naga terbang melahirkan cenderawasih, dan seterusnya, burung luan-niao (鸞鳥) dan segala burung, iaitu hidupan bersayap pada amnya, dilahirkan berturut-turut. Makhluk mao-tuh (毛犢, "anak lembu berbulu") melahirkan ying-lung (應龍), ying-lung melahirkan kien-ma (建馬), dan seterusnya, k'i-lin (麒麟) dan segala makhluk berkaki empat, iaitu hidupan berbulu pada amnya, dilahirkan berturut-turut. … (tr. Visser 1913:65)

Wolfram Eberhard (1968:351) berhujah bahawa maodu "anak lembu berbulu" ini bermaksud "kerbau".

"Mengamati Kegelapan" (6, 覽冥訓) mengisahkan tentang Fuxi dan Nüwa yang diangkut oleh yinglong 應龍an qingqiu 青虯 "naga qiu hijau", sambil ditemani baichi 白螭 "naga chi putih" dan benshe 奔蛇 "ular laju".

Mereka menaiki rata petir, dengan naga bersayap sebagai pasangan dalaman dan naga hijau sebagai pasangan luaran ... mereka didahului oleh ular putih dan diekori oleh ular laju. (tr. Le Blanc 1985:161-2)

Komentar Huainanzi oleh Gao Yu's (abad ke-2 M) menakrifkan yinglong 應龍 sebagai "naga bersayap" dan qiu 虯 sebagai "naga tanpa tanduk".

Bab "Jurus Pemerintah" (9, 主術訓) menyamakan yinglong dengan tengshe 騰蛇 "ular melayang": "Makhluk tengshe bingkas ke dalam kabus, sementara naga ying pula terbang ke angkasa dan menaiki awan..." Ames (1981:74) membandingkan atribusi Hanfeizi tentang metafora yinglong dan tengshe ini dengan ahli falsafah Legalisme, Shen Dao.

Shen Tzu bersabda: "Naga terbang menaiki awan dan ular melayang berkelana dalam kabus, tetapi setelah awan dan kabus itu lenyap, maka naga dan ular itu menjadi sama dengan cacing dan semut hitam berkepak besar kerana kehilangan tungganggan mereka. (tr. Ames 1981:176)

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Birrell, Anne, tr. 2000. The Classic of Mountains and Seas. Penguin.
  • Carr, Michael. 1990. "Chinese Dragon Names",Linguistics of the Tibeto-Burman Area 13.2:87-189.
  • Eberhard, Wolfram. 1968. The Local Cultures of South and East China. E. J. Brill.
  • Groot, J.J.M. de. 1910.The Religious System of China 6. E. J. Brill.
  • Hawkes, David, tr. 1985. The Songs of the South: An Anthology of Ancient Chinese Poems by Qu Yuan and Other Poets. Penguin.
  • Karlgren, Bernhard. 1946. "Legends and Cults in Ancient China," Bulletin of the Museum of Far Eastern Antiquities 18:199-365.
  • Major, John S. 1993. Heaven and Earth in Early Han Thought: Chapters Three, Four, and Five of the Huainanzi. SUNY Press.
  • Porter, Deborah Lynn. 1996. From Deluge to Discourse: Myth, History, and the Generation of Chinese Fiction. SUNY.
  • Schiffeler, John W. 1978. The Legendary Creatures of the Shan hai ching. Hwa Kang.
  • Visser, Marinus Willern de. 1913. The Dragon in China and Japan. J. Müller.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]