Yusof Ishak

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Yusof Ishak
Yusof Ishak

Presiden Tun Yusof Ishak


Republik Singapura

Tempoh berjawat
9 Ogos 1965 – 23 November 1970
Perdana Menteri Lee Kuan Yew (1959-1990)
Didahului oleh Pejabat ditubuhkan
Digantikan oleh Benjamin Sheares

Tempoh berjawat
3 Disember 1959 – 9 Ogos 1965
Perdana Menteri Lee Kuan Yew
Didahului oleh William A.C. Goode
Digantikan oleh Pejabat dimansuhkan

Tarikh lahir 12 Ogos 1910 (104 tahun)
Tempat lahir Taiping, Perak, Malaysia
Meninggal 12 Mei 1981 (umur 70)
Singapura
Dikuburkan di Tanah Perkuburan Negara Kranji, Singapura
Kerakyatan Singapura
Pasangan Toh Puan Noor Aishah
Alma mater Sekolah rendah: Sekolah Victoria
Sekolah menengah: Institusi Raffles
Pekerjaan Wartawan
Agama Agama Islam
Laman web Istana Presiden Singapura

Yang Amat Berhormat Tun Yusof bin Ishak (12 Ogos 1910 - 23 September 1970) adalah Yang di-Pertuan Negara Singapura ke-2 dan terakhir serta Presiden Singapura yang pertama. Beliau dilahirkan di Padang Gajah, Trong, lebih kurang 18 batu dari Bandar Taiping, Perak Darul Ridzuan, Malaysia. Bapanya, seorang keturunan Minangkabau, berasal daripada Sumatra Barat dan ibunya dari Langkat. Mereka berhijrah ke Pulau Pinang dan setelah itu ke Perak, Malaysia.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Tun Yusof adalah anak sulung di dalam keluarga yang terdiri daripada 9 orang. Bapanya, Encik Ishak bin Ahmad, merupakan Pemangku Pengarah Perikanan Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Tun Yusof menerima pendidikan awal di sebuah sekolah Melayu di Kuala Kurau, Perak. Dua tahun kemudian, beliau dipindahkan ke Malay School di Taiping dan pada 1921, memulakan pengajian dalam aliran bahasa Inggeris di Sekolah King Edward VII, Taiping.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Pada 1923, bapanya telah ditempatkan ke Singapura. Tun Yusof mengikuti keluarganya dan melanjutkan pelajaran di Victoria Bridge School sehingga Disember 1923.

Pada 1924, beliau dimasukkan ke sekolah Raffles Institution di mana beliau lulus Sijil Sekolah Cambridge (Cambridge School Certificate) pada 1927 dengan kepujian dan diberi peluang untuk melanjutkan pelajarannya di dalam kelas Queen's Scholarship.

Apabila di sekolah, beliau amat giat dalam arena sukan. Di Raffles Institution beliau aktif dalam sukan hoki, kriket, angkat berat dan tinju. Pada 1933 beliau menjadi juara tinju dalam kelas lightweight. Sebagai kadet cemerlang dalam Kor Kadet Sekolah beliau dinaikkan ke pangkat Lieutenant Kedua, pelajar pertama yang menerima jawatan tersebut di Singapura. Beliau juga merupakan ketua murid dan penyunting bersama majalah sekolah "Rafflesian".

Kerjaya kewartawanan[sunting | sunting sumber]

Setelah meninggalkan sekolah pada 1929, beliau bersama dua rakannya telah menerbitkan majalah bertajuk "Sportsman", sebuah majalah keluaran dua minggu yang memaparkan berita-berita sukan. Pada 1932, beliau menganggotai syarikat 'Warta Malaya', sebuah akhbar Melayu yang terkemuka pada masa itu. Kebolehan kewartawanannya membolehkan beliau naik ke jawatan Pembantu Pengurus dan Pemangku Penyunting dalam masa yang singkat. Pada 1938, beliau meletak jawatan dari 'Warta Malaya' dan bersama beberapa rakan yang lain, telah menubuhkan syarikat 'Utusan Melayu Press Ltd'. Edisi pertama Utusan Melayu dikeluarkan pada Mei 1939 dengan Encik Yusof sebagai pengarah pertama syarikat tersebut.

Sewaktu Pendudukan Jepun (1942-1945) Tun Yusof berada di Malaya. Apabila Jepun menyerah kalah, beliau kembali ke Singapura pada 3 September 1945 dan menyambung semula pencetakan Utusan Melayu.

Pada 1948 Tun Yusof melawat Britain sebagai anggota delagasi First Press Delegation. Pada awal tahun 1957, beliau telah ke Jepun untuk memeriksa alat jentera terkini yang ditempah oleh 'Utusan Melayu'. Pada Mei di tahun yang sama, beliau telah ke Kuala Lumpur untuk menyelia pembinaan Bangunan Utusan. Semasa di Kuala Lumpur, Tun Yusof dilantik sebagai Presiden Press Club of Malaya.

Perlantikan awam[sunting | sunting sumber]

Tun Yusof memegang beberapa jawatan penting dalam pemerintah Singapura. Dari 1948 ke 1950, beliau berkhidmat dalam Jawatankuasa Permohonan Filem (Film Appeal Committee). Beliau telah menjadi anggota Nature Reserves Committee selama setahun dan juga Malayan Organisation Commission. Pada Julai 1959, beliau dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Singapura. Pada 3 Julai 1965, Tun Yusof dijadikan Canselor Universiti Nasional Singapura.

Tun Yusof dilantik sebagai Yang di-Pertuan Negara Singapura pada 3 Disember 1959, menjadikan beliau orang tempatan pertama memegang jawatan tersebut. Encik Yusof bersama isterinya Toh Puan Noor Aishah telah melakukan lawatan rasmi yang pertama ke Kemboja pada April 1963. Pada bulan yang sama, beliau bersama isterinya telah ke Mekah untuk melaksanakan ibadah haji di mana mereka disambut sebagai tetamu negara kerajaan Arab Saudi. Sebuah lawatan rasmi juga telah dilakukan ke Ceylon (kini Sri Lanka) pada Mei 1963.

Kemerdekaan Singapura[sunting | sunting sumber]

Pada 9 Ogos 1965, apabila Singapura berpisah dari Malaysia dan menjadi negara yang berdaulat, Tun Yusof dilantik sebagai Presiden yang pertama Republik Singapura. Beliau dilantik sekali lagi untuk empat tahun dari 4 Disember 1967.

Meninggal dunia[sunting | sunting sumber]

Presiden Tun Yusof Ishak meninggal dunia pada 23 November 1970 di Singapura dan disemadikan di Perkuburan Negara Kranji, Republik Singapura.

Anugerah[sunting | sunting sumber]

Tun Yusof dianugerahkan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati Kelas Pertama oleh Sultan Brunei pada November 1960 dan Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N) yang membawa gelaran Tun oleh Yang di-Pertuan Agong Malaysia pada November, 1963.

Pada 17 Ogos 2014, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mengumumkan tiga penghormatan khas kepada bekas presiden pertama republik itu Allahyarham Yusof Ishak. Sebuah masjid baru di Woodlands akan dinamakan sempena nama Yusof. Selain itu, Institut Pengajian Asia Tenggara (ISEAS) dinamakan ISEAS Institut Yusof Ishak. Kursi Profesor Yusof Ishak dalam Sains Sosial di Universiti Nasional Singapura akan diwujudkan.Pengumuman itu sempena Hari Kebangsaan Singapura. Menteri Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim ditugaskan untuk merealisasikannya.[1]

Rujukan[sunting | sunting sumber]