Yusof Latiff

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Yusof Latiff
Yusof pada 1960an
Kelahiran
Muhammad Yusof bin Abdul Latiff

(1922-06-22)22 Jun 1922
Meninggal dunia12 Jun 1998(1998-06-12) (umur 75)
Singapura
DikebumikanTanah Perkuburan Islam Bidadari (kini Pusara Abadi)
PekerjaanPelakon
Tahun aktif1952–1989
Terkenal keranaWatak Tengku Aziz dalam Antara Dua Darjat
PasanganRahimah Ali
Salamah Shukri
Anak-anak17

Muhammad Yusof Abdul Latiff (22 Jun 1922 – 12 Jun 1998) ialah seorang pelakon lelaki Singapura.[1][2][3] Beliau terkenal dengan filem-filem lakonannya di Malay Film Productions dan Cathay-Keris Film Productions.[4][5]

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Beliau dilahirkan pada 22 Jun 1922 di Negeri-negeri Selat (zaman moden Singapura) dan mendapat pendidikan awal di Madrasah Al-Sagaf, kemudian belajar hingga Darjah Lima di Singapore English School. Yusof memulakan kerjaya awalnya sebagai kerani di sebuah syarikat British. Pada masa yang sama, beliau berkenalan dengan rakan seangkatannya Salleh Kamil, seorang pelakon filem yang mula menempa nama di layar perak.[6]

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Pembabitan Yusof dalam bidang seni bermula apabila beliau mendapat perhatian seorang pengurus filem bernama Shaw Vee Ngok. Katika itu, Yusof yang tidak mengenali Shaw hanya tersenyum apabila Shaw Vee Ngok bertanya sekiranya beliau berminat untuk menjadi pelakon filem. Namun, setelah beberapa kali dipujuk oleh Salleh Kamil, akhirnya, Yusof bersetuju untuk bertemu dengan Shaw Vee Ngok di Studio Malay Film Productions (MFP). Dalam pertemuan itulah Yusof mendapat tawaran menjadi pelakon filem dengan gaji sebanyak RM150 sebulan.[7][8]

Maka, bermulalah babak baharu dalam hidup Yusof. Beliau sudah melangkah ke dunia perfileman dengan menjadi pelakon sepenuh masa. Tugas pertama beliau ialah berlakon dalam filem Gadis Peladang pada tahun 1952 yang diarahkan oleh B. S. Rajhans.[9] Yusof terus memegang peranan hero di samping Maria Menado yang memegang watak heroin.

Disusuli pula dengan lakonan beliau dalam filem Yatim Piatu yang turut dilakonkan oleh Rokiah Jaafar dan Saadiah. Filem ketiga Yusof dilanda kontroversi. Lakonan beliau dalam filem Chemburu dikritik hebat oleh orang ramai kerana adegan romantik yang keterlaluan. Terdapat babak Yusof bergesel pipi dengan Rosnani dan hampir bersentuhan bibir dengan Mariani. Imej Yusof tidak terjejas dengan babak-babak panas yang membangkitkan semakin di kenal dan semakin mendapat perhatian besar daripada orang ramai.

Kontrak Yusof dengan MFP berakhir setelah berlakon dalam sebelas buah filem. Yusof ditawarkan kontrak baharu selama tiga tahun tetapi menolaknya kerana permintaan Yusof untuk kenaikan gaji dan bonus ditolak oleh majikan beliau. Yusof lebih rela menjadi pelakon bebas tanpa gaji tetap daripada menyambung kontrak dengan gaji dan bonus yang tiada kenaikan. Oleh hal demikian, Yusof berlakon pula dalam filem-filem terbitan Cathay Keris Film. Itu pun setelah lebih lima tahun menyepikan diri daripada kerjaya lakonan.

Pada 1960, P. Ramlee membawa semula Yusof ke Studio MFP untuk berlakon dalam filem, Antara Dua Darjat. Yusof mendukung salah satu watak penting dalam filem bercorak drama berat arahan P. Ramlee itu. Beliau memegang watak sebagai Tengku Aziz yang menegakkan keadilan.[10][11] MFP cuba memujuk Yusof Latiff supaya berlakon lagi dalam filem-filem keluarannya selepas filem Antara Dua Darjat. Namun, Yusof sudah serik dengan pengalaman pahit beliau pada masa lalu bekerja dengan MFP yang terlalu ketat dengan peraturan. "Saya balik ke MFP kerana P. Ramlee yang mengundang saya berlakon dan bukannya kerana MFP", demikian ujar Yusof kepada media.

Selepas berlakon dalam filem, Udang Di Sebalik Batu arahan Hussein Haniff terbitan Cathay Keris Film pada tahun 1966. Pada tahun 1969, Yusof sekali lagi menerima tawaran berlakon daripada P. Ramlee dalam filem 6 Jahanam di Merdeka Film Studio, Hulu Kelang, Selangor. "Saya tidak boleh menolak kalau P. Ramlee ajak saya berlakon", kata Yusof Latiff menggambarkan betapa erat dan kukuhnya hubungan mereka berdua. Filem itu turut dibintangi oleh P. Ramlee, Noor Azizah, Idris Hashim, selain Yusof.[12]

Kehidupan peribadi[sunting | sunting sumber]

Yusof Latiff terus bersara daripada bidang lakonan selepas berlakon dalam filem Kolej 56. Masa beliau banyak dihabiskan bersama-sama keluarga di samping kuat mengerjakan ibadat. Yusof mempunyai dua orang isteri, pertama Rahimah Ali dan kedua, Salamah Shukri. Dengan dua isteri itu Yusof mempunyai 17 orang anak.

Kematian[sunting | sunting sumber]

Beliau meninggal dunia pada usia 75 tahun pada 12 Jun 1998 di rumahnya di Chai Chee, Singapura kira-kira jam 1.30 petang. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bidadari (kini Pusara Abadi).[13][14]

Filemografi[sunting | sunting sumber]

Filem[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Watak Catatan
1952 Gadis Peladang Filem pertama
1953 Yatim Piatu Anuar
Chemburu
Sengsara
1954 Panggilan Pulau Husin
Kechewa Yusof
1955 Kipas Hikmat Tengku Ahmad
Menyerah Mustapha
Bernoda Johari
1956 Pencuri Umar
Hang Tuah Tun Mat
Keadilan Illahi Sultan Abdul Muluk
1957 Seruan Darah
1960 Antara Dua Darjat Tengku Aziz
1961 Jalak Lenteng Tengku Wira Karma / Jalak Lenteng
1962 Lanchang Kuning Baginda Sultan Siak
Korban Kasih Ariffin @ Tengku Iskandar
Tun Fatimah Sultan Mahmud
Mata Syaitan Tengku Aman Shah Sulaiman
Dang Anom
1963 Masuk Angin Keluar Asap Yusof
Gila Talak Yusof
1964 Dua Pendekar Awang Lekiu
Istana Berdarah Mahfuz
1965 Jiran Sekampung Doktor / Bapa Salmah
1966 Udang Di Sebalik Batu
1967 Lampong Karam Pengiran Mufti
1969 6 Jahanam Laksamana Damburi
1979 Dendang Perantau Pak Hasbullah
Prebet Lapok Bapa Tina
1981 Serampang Tiga Pak Linggawan
1983 Pertentangan OKB (Orang Kaya Baru)
1989 Kolej 56 Pengetua Putra Kolej Filem terakhir, pelakon undangan

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Bakat setanding P Ramlee". Berita Harian. 20 Jun 1998. Dicapai pada 9 November 2021.
  2. ^ A. Kadir Pandi (9 Disember 1981). "Yusoff Latiff tetap segar dlm dunia filem". Berita Harian Singapura. m/s. 5. Dicapai pada 9 November 2018.
  3. ^ A. Kadir Pandi (17 Januari 1982). "Haji Yusof Latiff belum rasa puas..." Berita Harian Singapura. m/s. 7. Dicapai pada 9 November 2018.
  4. ^ A. Kadir Pandi (1 Mei 1988). "Yusoff Latiff masih terus bergiat". Berita Minggu. m/s. 8. Dicapai pada 21 November 2018.
  5. ^ "YUSOF LATIFF AKHIR-NYA DI-PILEH". Berita Harian Singapura. 6 Julai 1963. m/s. 7. Dicapai pada 21 November 2018.
  6. ^ "Tinggal kenangan". Metro Ahad. 14 April 1996. Dicapai pada 20 Disember 2021.
  7. ^ Zurina Waji (14 April 1996). "Hero sepanjang zaman". Metro Ahad. Dicapai pada 20 Disember 2021.
  8. ^ "Fakta menarik". Berita Harian. 11 Julai 1998. Dicapai pada 20 Disember 2021.
  9. ^ "Tuah Gadis Peladang". Berita Harian. 20 Jun 1998. Dicapai pada 9 November 2021.
  10. ^ Hanim Mohd Salleh (18 November 1995). "Yusoff Latiff benar-benar dilanggar..." Berita Harian Singapura. m/s. 6. Dicapai pada 17 November 2018.
  11. ^ Zainal Alam Kadir (10 November 1995). "Stars of yesteryear a tougher lot". New Straits Times. Dicapai pada 20 Disember 2021.
  12. ^ Sulaiman Jeem (16 April 1978). "Yusoff Latiff: Pelakon yg tahu letak harga dirinya". Berita Harian Singapura. m/s. 6. Dicapai pada 17 November 2018.
  13. ^ "Yusof Latiff meninggal dunia". Harian Metro. 13 Jun 1998. Dicapai pada 9 November 2021.
  14. ^ "Pelakon Yusoff Latiff meninggal dunia". Berita Harian Singapura. 13 Jun 1998. m/s. 8. Dicapai pada 9 November 2018.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]