Zaid Ibrahim

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Yang Berbahagia Datuk

Mohd Zaid Ibrahim

DMSM (Mel)
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Perundangan dan Parlimen)
Dalam jawatan
18 Mac 2008 – 15 September 2008
Didahului olehMohamed Nazri Tan Sri Abdul Aziz
Digantikan olehMohamed Nazri Tan Sri Abdul Aziz
Butiran peribadi
Lahir (1951-04-10) 10 April 1951 (umur 72)
Kelantan Kota Bharu, Kelantan
Parti politik UMNO (2000–2009, 2022-kini)

PKR (Pakatan Rakyat) (2009–2010)
KITA (2010-2012)

DAP (2017-2020)
PasanganDatin Suliana Shamsuddin
PekerjaanAhli politik, peguam
Laman web rasmiZaid Ibrahim & Co.

Datuk Mohd Zaid Ibrahim (lahir 10 April 1951) ialah seorang ahli politik dan peguam berbangsa Malaysia, yang pernah menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia untuk hal-ehwal perundangan dan pembaharuan kehakiman. Beliau pernah menjadi Senator dalam Dewan Negara. Beliau juga pengasas Zaid Ibrahim & Co., firma guaman swasta terbesar di Malaysia.

Beliau pernah menyertai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 2000, sehingga digantung keahlian pada 2 Disember 2008. Dalam UMNO, beliau menjadi Ahli Parlimen Kota Bharu mulai tahun 2004 hingga 2008. Selepas keluar dari UMNO, beliau menganggotai Parti Keadilan Rakyat pada tahun 2009 dan bertanding untuk jawatan Naib Presiden pada tahun berikutnya, tetapi keluar dari parti itu pada November 2010 gara-gara kemelut yang dialami dalam pilihan raya parti PKR. Pada Disember 2010, Zaid menyertai Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (dahulunya dikenali sebagai Angkatan Keadilan Insan Malaysia) dan dilantik sebagai presiden parti.

Keluarga[sunting | sunting sumber]

Zaid Ibrahim dilahirkan di Kampung Chap, Bachok, Kelantan pada 10 April 1951. Ibu bapanya bercerai dan Zaid tinggal bersama dengan neneknya Tok Wa Sepiah. Tok Wa menanam padi untuk menyara kehidupan keluarga. Beliau belajar di Sekolah Kebangsaan Bukit Marak yang terletak kira-kira enam kilometer dari rumah Tok Wa.

Ayahnya Ibrahim Awang hanya kerja kampung dan berhijrah ke Hulu Kelantan untuk membuka tanah baru. Ayah dan emaknya berkahwin lain selepas berpisah. Zaid mempunyai 11 orang adik-beradik.[1]

Zaid Ibrahim berkahwin dengan Datin Suliana Shamsuddin sejak tahun 1979.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Zaid mendapat pendidikan awal di Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh dan seterusnya menyambung pelajaran dalam bidang Perundangan di Institut Teknologi MARA, Program Luar LL.B (Hons.) usahasama dengan Universiti London.

Ketika kebangkitan pelajar 1972-1974 berikutan Perang Vietnam, Zaid Ibrahim turut terlibat. Hishamuddin Rais melihat Zaid seorang pelajar jurusan undang-undang yang demokrat sejak zaman mahasiswanya kerana pernah 'membela' Hishamuddin Rais yang berfahaman kiri. Kongres Tahunan Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia (PKPM ) diadakan di Universiti Malaya dengan PMUM sebagai tuan rumah. KSITM diwakili oleh presidennya Zahari, Ibrahim Ali dan Zaid Ibrahim.[2]

Selepas tamat UiTM, Zaid Ibrahim pergi ke London dan menerima Barrister-at-Law, Inner Temple. Pada 1987 dia menubuhkan Zaid Ibrahim & Co., yang sehingga 2008 adalah firma perundangan terbesar di Malaysia dengan 140 orang peguam.

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Beliau pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tenaga Nasional Berhad pada tahun 2004. Beliau juga merupakan pengasas Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan pada tahun 1988. Beliau menubuhkan organisasi ini untuk membantu serta meringankan beban golongan kurang upaya. Atas usaha beliau, beliau dinamakan dermawan pemurah di Asia oleh Forbes[3].

Zaid juga pengasas serta presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1988.

Politik[sunting | sunting sumber]

UMNO (2000 – 2009, 2022 –)[sunting | sunting sumber]

Beliau menganggotai UMNO pada tahun 2000. Pada tahun 2001, Zaid telah dipilih sebagai Ketua UMNO bahagian Kota Bharu. Beliau juga pernah diberi kepercayaan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Kelantan pada tahun 2003.

Zaid pernah menjadi ahli parlimen Kota Bharu dari tahun 2004 ke 2008. Beliau yang mewakili Barisan Nasional - UMNO mengalahkan calon dari Parti Keadilan Rakyat.

Semasa di bawah pimpinan Perdana Menteri Malaysia ke-5, beliau dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia mengambil tugas hal ehwal Undang-Undang.

Pada 10 November 2008, Zaid menerima surat tunjuk sebab dari UMNO berkaitan dengan surat terbukanya kepada Perdana Menteri Malaysia , Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan perjumpaannya dengan ahli-ahli Parlimen berhubung desakan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Beliau juga menyertai majlis anti-ISA anjuran Pakatan Rakyat di Parlimen dan mempersoalkan status orang Melayu. Dalam Persidangan LawAsia 2008 Zaid menyifatkan konsep ketuanan Melayu menyebabkan berlaku pembaziran sumber, tenaga dan masa yang penting dalam menangani isu sebenar di negara ini.[4]Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mendesak Zaid keluar dari rumpun bangsa Melayu. [5] Peguam Malik Imtiaz Sarwar telah diarah menjawab bagi pihak dirinya.[6]

Pada 15 September 2008 ,Zaid meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana tidak dapat menerima penggunaan ISA terhadap pengamal media , orang awam dan ahli politik. Pendiriannya berbeza dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi , barisan kabinet dan pemimpin UMNO.

Pada 3 Disember 2008, Zaid Ibrahim dipecat daripada UMNO ekoran beberapa tindakan beliau, termasuk menghadiri perhimpunan parti pembangkang dan menyalahi peraturan parti. Zaid dilaporkan menghadiri majlis perasmian Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Stadium Melawati, Shah Alam . Sebelum itu beliau juga dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Pulau Pinang yang turut dihadiri anggota Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang. Pemecatan Zaid berdasarkan prinsip dan mematuhi garis panduan parti dan Majli Tertinggi UMNO sebulat suara memecatnya.[7]

Pada 16 September 2022, Zaid Ibrahim menyertai semula UMNO dengan hasrat untuk bersama melaksanakan reformasi parti itu dari dalam. Zaid berkata, dia menyertai kembali UMNO kerana berhasrat untuk membantu parti itu kerana mempunyai masa terluang selepas bersara.[8]

Parti Keadilan Rakyat (PKR) (2009 – 2010)[sunting | sunting sumber]

Pada 13 Jun 2009, Zaid menyertai PKR di Bangi, Selangor. Hal ini tidak mngejutkan kerana beliau banyak kali hadir dalam majlis anjuran PKR dan Pakatan Rakyat. Beliau akan dilantik dalam Majlis Tertinggi PKR dan AJK Biro Politik PKR. Anwar Ibrahim menyifatkan Zaid sebagai serius mempertahankan hak asasi dan kebebasan badan kehakiman di Malaysia. Sikap ketegasan dan keberanian beliau memperjuangkan isu hak asasi, kebebasan, proses demokrasi dan bebebasan badan kehakiman.[9]

Datuk Zaid Ibrahim dipilih sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor 2010. Mesyuarat Biro politik PKR di rumah Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih Zaid sebulat suara. Zaid dilihat tokoh besar dan berwibawa, kerana beliau merupakan bekas menteri yang bertanggungjawab mengenai hal-ehwal perundangan ketika dalam barisan kabinet bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum menyertai PKR. Nama beliau diumumkan dalam satu ceramah di Serendah.

Pada 7 Disember 2009, beliau menyaman penulis blog A Kadir Jasin kerana didakwa memfitnahnya sebagai "pengacau" dalam parti itu, Oktober 2009. Beliau menuntut Datuk Kadir membayar ganti rugi dan memohon maaf kepadanya berhubung artikel 'Zaid, the Hurricane Hattie of PR' di blognya pada 21 Oktober 2009.[10]

Pada 6 Mei 2010, satu protes oleh Majlis Gabungan NGO Pembela Negara (MAGARAN) di hadapan ibu pejabat PKR di Tropicana, Petaling Jaya menuntut Zaid Ibrahim memohon ampun kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana mempersendakan titah perintah Sultan Selangor. Ia terdiri daripada Persatuan Kebajikan Islam Selangor, Gabungan Graduan Melayu Muda, Pertubuhan Anak-Anak Bugis Negara dan Persatuan Pembela Perlembagaan Persekutuan. Zaid dalam blog dan disiarkan dalam akhbar tabloid Suara Keadilan bahawa sekarang 'bukan zaman feudal' ketika merujuk kepada titah Sultan Selangor yang melarang penggunaan masjid dan surau sebagai gelanggang berpolitik. Ia tidak dirujuk kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). [11]

Pada 16 Oktober 2010, Zaid Ibrahim mengumumkan tawaran dirinya untuk bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden dalam Pemilihan Parti pada tahun tersebut.[12] Akan tetapi, pada 8 November 2010, gara-gara dakwaan bahawa pemilihan parti dicemari kecacatan dan tidak telus, Zaid mengumumkan penarikan dirinya daripada pertandingan jawatan timbalan presiden sambil meletak semua jawatannya dalam parti.[13] Pada 14 November, Zaid secara rasminya mengumumkan pengunduran diri dari Parti Keadilan Rakyat[14]. Perletakan jawatannya sebagai ahli PKR diterima oleh parti serta-merta pada 22 November[15] (walaupun menyerahkan notis supaya beliau berundur secara rasmi pada 16 Disember), dan beliau meluahkan hasrat untuk menubuhkan parti baru menjelang pilihan raya umum ke-13.[16]

Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) (2010 – 2012)[sunting | sunting sumber]

Pada 13 Disember 2010, Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), sebuah parti pembangkang kecil yang bertapak di Kelantan, mengumumkan penyertaan Zaid Ibrahim sebagai ahli parti, dengan harapan agar beliau memimpin dan merombak AKIM supaya menjadi parti politik yang berdaya maju untuk pilihan raya umum ke-13.[17] Parti itu juga menjelaskan bahawa Zaid sudah menyerahkan permohonan keahliannya untuk menyertai AKIM pada November 2010 selepas PKR menerima perletakan jawatan beliau.

Pada mesyuarat am tahunan parti ini pada 15 Disember 2010, Datuk Mohamad Zaid Ibrahim dilantik sebagai presiden baru parti, menggantikan Zakaria Salleh.[18] Pihak AKIM juga mengumumkan hasratnya untuk menukar nama parti menjadi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA).[19] Zaid Ibrahim juga mengumumkan bahawa KITA akan menjadi sebuah parti demokratik berbilang kaum yang terbuka kepada semua kaum di Malaysia, biarpun saiznya masih kecil, namun ia bermatlamat untuk meninggalkan impak dalam arena politik Malaysia dengan memberikan tumpuan kepada matlamat jangka panjang.[20]

Zaid Ibrahim telah meletak jawatan sebagai ketua parti KITA pada 2012.[21]

Parti Tindakan Demokratik (DAP) (2017 – 2020)[sunting | sunting sumber]

Zaid Ibrahim telah menyertai Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 7 Februari 2017.[22]

Zaid Ibrahim keluar daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 20 April 2020. Zaid telah mengutus surat memaklumkan keluar daripada DAP. Surat memaklumkan berhenti menjadi ahli DAP itu dihantarnya melalui email kepada Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP. Bagaimanapun, menurut Zaid, tiada balasan diterimanya daripada DAP sehingga ini berhubung surat yang dihantarnya itu.[23]

Zaid Ibrahim bukan lagi Pengerusi DAP Kelantan. Zaid mendedahkan perkara tersebut di Twitternya pada 8 Oktober 2020.[24]

Kontroversi[sunting | sunting sumber]

Bayaran ex gratia[sunting | sunting sumber]

Pada 22 Mac 2008, Zaid Ibrahim, yang baru lima hari dilantik sebagai menteri kabinet bertanggungjawab bagi badan kehakiman, mencadangkan agar kerajaan Malaysia meminta maaf kepada mereka yang dikatakan menjadi mangsa dalam krisis perlembagaan Malaysia 1988 yang membawa kepada pemecatan Tun Salleh Abas dan lima hakim Mahkamah Agung — Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh, Tan Sri Wan Sulaiman Pawanteh dan Datuk George Seah[25]. Beliau mencadangkan supaya dilakukan reformasi dalam bidang kehakiman untuk mengembalikan kembali kebebasan kehakiman yang dilihat sudah tercalar akibat krisis 1988[26]. Zaid kesal dengan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz mengumumkan bahawa kerajaan telah membayar sagu hati sejumlah RM10.5 juta kepada Tun Salleh Abas, Tan Sri Azmi Kamaruddin, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcadeer, Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh, Tan Sri George Seah dan Tan Sri Hamzah Mohamed Salleh. Padahal Zaid telah berjanji akan merahsiakan jumlah ex gratia itu. [27]

Perjudian[sunting | sunting sumber]

Semasa Pilihan raya kecil Hulu Selangor, masa lampau beliau dicerca sebagai kaki botol, berjudi, memiliki kuda lumba dan hidup mewah. Lantas beliau mengakuinya ketika masih dalam UMNO. Malahan beliau meminta para menteri UMNO tidak hipokrit, malah patut mengaku pernah terlibat. Kuda bernama 'Kelantan' bernilai $NZ135,000.00 miliknya cukup bagus dan kini dipelihara di Kota Bharu,Kelantan. Tentang hartanya, beliau mencabar para menteri turut mengisytiharkan harta masing-masing dan dibuat perbandingan. Mustafa Ali dari PAS mempertahankan beliau dengan mengambil iktibar daripada Khalifah Umar Al-Khattab dan panglima Islam Khalid bin al-Walid.[28] Kuda adalah sejenis sukan dan ramai raja-raja Melayu mempunyai kuda. Blog Pisau.net mendedahkan Zaid menyimpan pelbagai arca kuda dan gambar lukisan kuda.[29] Zaid menempelak rakan lamanya yang berjudi dan main kasino di luar Malaysia dan pernah kalah judi.[30]

Malaysiakini dalam rencana tanpa nama melaporkan bahawa Zaid mengkritik kerajaan Melaka dalam pelaksanaan pembenterasan aktiviti perjudian di Melaka. Beliau mengaitkan bahawa pemimpin Islam hipokrit dalam hal ini. Menurutnya lagi, jangan menghukum orang yang berjudi sepertinya.[31]

Pemecatan daripada firma guaman sendiri[sunting | sunting sumber]

Pada November 2020, beliau bertindak memfailkan saman terhadap pihak guaman yang ditubuhnya, Messrs. Zaid Ibrahim & Co di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana telah memecatnya sebagai pengerusi secara tiba-tiba pada 12 November, setelah beliau menyertai semula firma guaman itu pada 1 November.[32]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "M.Faiqih:Zaman kecil Zaid Ibrahim penuh berliku", Harakahdaily.net
  2. ^ "Hishamuddin Rais:Siapa dia Zaid?", Malaysiakini.com
  3. ^ 48 Asian Altruists, Forbes, 27 Februari 2008.
  4. ^ NGO Melayu tuntut Zaid minta maaf
  5. ^ Zaid perlu keluar dari rumpun Melayu - Shahidan
  6. ^ Zaid dapat surat tunjuk sebab dari Umno
  7. ^ "Zaid Ibrahim Dipecat Daripada Umno"
  8. ^ "Zaid Ibrahim masuk Umno balik"
  9. ^ "Zaid Ibrahim masuk PKR", Malaysiakini.com. 13 Jun 2009
  10. ^ "Zaid Ibrahim saman Kadir Jasin", Malaysiakini.com, 7 Disember 2009.
  11. ^ Zaid Diminta Mohon Ampun Kepada Sultan Selangor Dalam Masa 24 Jam
  12. ^ Zaid to run for PKR deputy president, Sun2Surf, 16 Oktober 2010. Dicapai pada 8 November 2010.
  13. ^ Zaid letak semua jawatan PKR, tarik diri saingan timbalan presiden, The Malaysian Insider, 8 November 2010. Dicapai pada 8 November 2010.
  14. ^ Zaid Ibrahim keluar PKR, akhirnya..., Malaysiakini, 15 November 2010. Dicapai pada 15 November 2010.
  15. ^ Zaid bukan lagi anggota PKR, Malaysiakini, 22 November 2010. Dicapai pada 22 November 2010.
  16. ^ Zaid keluar PKR 16 Dis, ikrar tanding pilihan raya, Malaysiakini, 19 November 2010. Dicapai pada 19 November 2010.
  17. ^ Zaid Ibrahim now an Akim member Diarkibkan 2010-12-16 di Wayback Machine, (The Malaysian Insider), 13 Disember 2010
  18. ^ Akim renamed to Kita, Zaid is new chief, (The Star), December 15, 2010
  19. ^ Zaid resurrects political career, appointed new party chief, (FreeMalaysiaToday), 15 Disember 2010
  20. ^ Zaid: Kita not in Pakatan fold Diarkibkan 2010-12-18 di Wayback Machine, (The Malaysian Insider), 15 Disember 2010
  21. ^ "No basis for ROS ultimatum, says KITA chief". Free Malaysia Today. 22 Disember 2012. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-10-10. Dicapai pada 22 Jun 2014.
  22. ^ "Zaid secara rasmi sertai DAP". Malaysiakini. 7 Februari 2017.
  23. ^ https://shahbudindotcom.net/wp-content/uploads/2020/10/3efb584a-584e-4041-895c-8295effbc9b3.jpg
  24. ^ "Zaid tidak lagi Pengerusi DAP Kelantan". Kosmo!. 8 Oktober 2020.
  25. ^ Kerajaan BN harus mohon maaf pecat Salleh Abas, Utusan Malaysia, 22 Mac 2008
  26. ^ Era campurtangan eksekutif sudah tamat, Utusan Malaysia, 30 Mac 2008
  27. ^ Bayaran saguhati: Zaid dukacita tidak dapat kotai janji...
  28. ^ "Tan Sri Muhyiddin persenda moral", kekayaan Zaid
  29. ^ Zaid peminat nombor 1 'kuda'
  30. ^ Dakwaan kaki arak, judi - Zaid tak saman
  31. ^ Zaid: Pemimpin hipokrit halang Muslim berjudi. Malaysiakini. Capaian 30-11-2013
  32. ^ Khairulrijal, Rahmat (24 November 2020). "Zaid Ibrahim sues law firm he founded for wrongful termination". New Straits Times (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 25 November 2020.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]