Zainon Ismail C.N Afghani

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Cikgu Zainon Ismail ialah seorang penulis yang terkenal dan juga seorang penceramah awam. Beliau menggunakan nama 'C.N Afghani' sebagai nama pena. Beliau pernah berkhidmat sebagai salah seorang tentera Taliban semasa Perang Soviet di Afghanistan.

Kehidupan peribadi dan Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Zainon Ismail atau lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Non pernah menjadi seorang guru sekolah rendah di Kedah, Malaysia. Beliau telah berkhidmat sebagai guru pada lewat 70-an dan kemudiannya menyertai politik tidak lama selepas itu. Beliau kemudiannya juga telah terlibat dalam perjuangan Mujahidin dan berjihad dalam peperangan di Afghanistan. Zainon Ismail merupakan bekas ahli PAS dan pernah menjadi exco Dewan Pemuda PAS Kedah dari tahun 1991 hingga 1997. Pada tahun 2001 hingga 2006, beliau pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas tuduhan mengetuai Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM).

Peristiwa Memali[sunting | sunting sumber]

Peristiwa Memali mengejutkan rakyat pada tahun 1985 di mana empat anggota polis dan 14 orang pengikut Ibrahim Libya meninggal dunia dalam kejadian tembak menembak di Kampung Memali, Baling, Kedah.[1] Zainon telah pulang ke Malaysia dan secara sukarela memikul beban untuk melindungi dan menjaga balu kepada ahli kumpulan yang terbunuh tersebut selepas kejadian itu. Beliau ialah satu-satunya pemimpin PAS yang prihatin terhadap kebajikan balu dan anak-anak mangsa tragedi itu. Pemimpin PAS yang lain-lain enggan membantu tetapi telah menubuhkan Tabung Memali yang didakwa untuk keuntungan kewangan mereka sendiri. Dalam dakwaan tersebut, kebanyakan dana telah dikumpul dan diagihkan secara sama rata kepada pemimpin-pemimpin PAS. Janda-janda dan anak-anak kepada mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian itu tidak mendapat satu sen pun daripada dana tersebut. Malah, Haji Abdul Hadi Awang, seorang ahli politik yang didakwa menyebabkan Peristiwa Memali dengan Amanat Hadi bersikap acuh tak acuh dengan beban yang dideritai janda dan anak yatim kepada mangsa dalam peristiwa tersebut yang ditegaskan beliau sebagai mati syahid.[2][3][4]

Kebangkitan C.N Afghani[sunting | sunting sumber]

Zainon Ismail sememangnya prihatin mengenai kebajikan waris-waris mangsa Peristiwa Memali. Beliau telah menjaga semua anak-anak mangsa dengan menyediakan wang untuk pendidikan, makanan dan tempat tinggal. Beliau juga telah berkahwin dengan salah seorang balu dan menjalankan perniagaan kedai runcit. Hasil perolehan perniagaan telah diberikan sama rata kepada semua balu dan anak-anak yatim tersebut. Beliau telah bertanyakan jawatankuasa pusat PAS untuk memberi sebahagian daripada hasil dana Tabung Memali kepada orang-orang yang berhak ke atasnya. Walau bagaimanapun, permohonan beliau telah ditolak kerana kebanyakan wang didakwa telah dibelanjakan untuk agenda politik parti PAS sendiri. Zainon Ismail bangkit dan menuntut bahawa PAS yang bertanggungjawab terhadap kejadian di Memali pada tahun 1985. Jawatankuasa pusat PAS menyingkirkan Zainon Ismail dan tanpa penjelasan, menganggap beliau sebagai musuh mereka. Dengan perasaan sedih dan terkilan atas tindakan rakan-rakannya, Zainon Ismail telah menulis sebuah buku mengenai kesusahan janda-janda dan anak mangsa Peristiwa Memali. Beliau menggunakan nama C.N. Afghani sebagai nama penanya dan menulis kebenaran tentang PAS dan mendedahkan bagaimana parti berasaskan Islam itu sendiri terlibat dalam penyelewengan ke atas Tabung Memali. Buku itu diberi nama Airmata Di Bumi Memali atau The Tears of Memali dan diterbitkan pada tahun 2010.[5][6][7]

Reaksi terhadap Buku Air Mata di Bumi Memali[sunting | sunting sumber]

Haji Abdul Hadi Awang menyatakan bahawa Buku Air Mata di Bumi Memali tidak sepatutnya dibaca kerana beliau menyatakan buku itu adalah haram. Beliau juga mengatakan bahawa orang-orang yang menjual, membeli dan membaca buku tersebut perlu dipukul. Dalam buku itu, C.N. Afghani menyatakan bahawa ramai balu dan anak-anak yatim mati kerana kebuluran, walaupun berjuta-juta ringgit telah dikumpulkan oleh jawatankuasa pusat PAS yang menggunakan nama dan status mangsa kejadian Memali. Wang yang dikutip telah digunakan untuk membiayai pergerakan politik atau diberikan kepada individu-individu tertentu. Pemimpin-pemimpin PAS takut bahawa dengan pengeluaran buku itu ia boleh membawa kepada kejatuhan mereka.[8][9]

Kafirkah Aku? (Am I an Infidel?)[sunting | sunting sumber]

C.N Afghani sekali lagi tampil dengan penerbitan buku baru bertajuk Kafirkah Aku? sekitar tahun 2012 yang mendedahkan liku-liku perjuangannya dalam PAS sehingga dipecat daripada parti itu apabila beliau membongkar penyelewengan tabung mangsa Memali dalam bukunya Air Mata Di Bumi Memali yang diterbitkan pada tahun 2010.[10] Dalam buku tersebut turut mengisahkan Haji Abdul Hadi Awang yang pernah menyatakan dalam ceramah dan ucapan beliau bahawa orang-orang yang menyokong dan menyertai UMNO dianggap sebagai kafir. Beliau juga berkata bahawa membuat pengaturan politik dengan orang bukan Islam adalah dilarang dan orang-orang yang berkawan dengan bukan Islam seperti gabungan Barisan Nasional juga boleh dianggap kafir. Kafirkah Aku? menunjukkan hipokrasi Abdul Hadi Awang ketika DAP, sebuah parti bukan Islam berganding bahu dengan PAS sebagai rakan seperjuangan politik dalam Pakatan Rakyat.

Rujukan[sunting | sunting sumber]