Zoo Melaka

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Zoo Melaka

Zoo Melaka terletak bersebelahan Dataran Sejarah, Ayer Keroh, Melaka, Malaysia. Di sini terdapat lebih dari 1,200 ekor haiwan yang terdiri dari 214 spesies haiwan yang boleh ditemui di Asia Tenggara, Australia dan Afrika secara semula jadi.

Zoo ini pernah dinobatkan sebagai zoo yang terbaik di negara Malaysia.[perlu rujukan] Zoo Melaka dibangunkan di atas tapak 22 hektar di Ayer Keroh, dalam tahun 1963. Pada mulanya Zoo Melaka ditadbir oleh Kerajaan Negeri Melaka dan kemudian pengurusan Zoo Melaka diambil alih oleh Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dalam tahun 1979 dan kemudian diambil alih oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya. Kini zoo ini telah di swastakan pada tahun 2013 di bawah kendalian Konsortium KKW Sdn Bhd.

Zoo Melaka telah berkembang dan kini menjadi zoo kedua terbesar di Malaysia selepas Zoo Negara.[1] Ketika ini, koleksi haiwan di Zoo Melaka berjumlah 1,200 spesimen daripada 215 spesies haiwan unggas, mamalia, reptilia dan amfibia.

Dahulu, antara tarikan utama Zoo Melaka adalah Badak Sumatera, harimau belang, seladang, kijang dan rusa tetapi kini tarikan utama Zoo Melaka adalah harimau putih, gajah, harimau belang, mandril dan Dinasour Encounter. Jumlah pelawat adalah kira-kira 400,000 orang setahun. Waktu terbaik untuk membuat lawatan adalah di sekitar waktu pagi ketika haiwan masih aktif menunggu masa untuk makan.

Antara tarikan lain di Zoo Melaka ialah, haiwan Afrika seperti zirafah, impala, kuda belang, lemur, seladang, badak sumbu putih dan buaya.

Zoo Melaka bukan sahaja mempamerkan haiwan untuk dijadikan sebahagian dari usaha memelihara, malah turut berjaya membiakkan beberapa spesies haiwan dan turut menghantarkannya ke luar negara sebagai salah satu usaha untuk memastikan kepelbagaian genetik dan terlibat dalam program pembiakan konservasi bagi spesies yang terancam.

Safari malam[sunting | sunting sumber]

Zoo Melaka ada menganjurkan safari malam setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad untuk membolehkan pengunjung melihat tabiat dan telatah haiwan sewaktu malam antara jam 8:00 - 11:30 malam.

Rancangan pembiakan[sunting | sunting sumber]

Zoo Melaka menjalankan beberapa program untuk mempastikan kelangsungan spesies yang terancam, seperti pembiakbakaan kurungan (pembiakan dalam kurungan) dan penyelidikan. Pembiakbakaan kurungan yang berjaya dijalankan di Zoo Melaka termasuk harimau belang, harimau kumbang, cipan, kambing gurun, kijang dan rusa.

Zoo Melaka pernah memiliki pameran Badak Sumatera (Dicerorhinus sumatrenesis) sebanyak dua ekor iaitu Sri Delima dan Jeram dan kemudiannya dipindahkan ke Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun ,Selangor[2].Badak Sumatera kini telah pupus dari negara Malaysia akibat pelbagai faktor termasuklah bawaan penyakit. [3]

Untuk info Harimau Malaya juga antara haiwan berjaya di biakkan di Zoo Melaka. Hasil kajian DNA ke atas lebih daripada 130 ekor harimau dan kulit harimau, Harimau Malaya (Panthera tigris malayensis) telah dikenal pasti dalam tahun 2004 sebagai satu sub-spesies keluarga harimau belang.

Sebagai contoh terdapat harimau bernama Mek Degong yang telah dihantar ke Zoo San Diego serta Chawang, seekor gajah Asia yang kini ditempatkan di Night Safari ,Singapura.

Zoo Melaka telah membiakkan lebih 40 anak Harimau Malaya dan telah dihantarkan ke zoo di Amerika Syarikat (San Diego), Jerman dan Australia serta lain-lain Zoo di Asia.[4]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ About Us - Zoo Melaka
  2. ^ Kawanan badak Sumatera mati [1] Dicapai 30 September 2023.
  3. ^ Badak Terakhir Di Malaysia Mati [2] Dicapai 1 Oktober 2023.
  4. ^ Profil Mek Degong di Zoo San Diego - Mek Degong Dicapai 10 Ogos 2009.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]