Mahsuri

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Mahsuri binti Pandak Mayah merupakan seorang gadis kelahiran Pulau Langkawi. Beliau dilahirkan oleh pasangan Pandak Mayah dan Endah Alang pada awal kurun ke-18 Masihi di Kampung Mawar, Mukim Ulu Melaka, Langkawi. Nama timangan Mahsuri ada lah Siti dan Mahsuri turut digelar sebagai Puteri Mahsuri dan dengan jolokan Puteri Langkawi kerana dikhabarkan bahawa paras rupa beliau yang cantik.

Kehidupan dan sejarah Mahsuri telah dilitupi lagenda pulau tersebut yang sememangnya terkenal dengan lagenda dan kisah rakyatnya. Kisah yang paling popular tentang kehidupan beliau adalah ketika saat akhir sebelum beliau dihukum bunuh yang hingga kini dijadikan sebagai bahan untuk persembahan teater bangsawan, penceritaan dari pemandu pelancong kepada pelancong ketika membawa pelancong berjalan-jalan di Pulau Langkawi hinggalah kepada cerita kanak-kanak.

Kehidupan[sunting | sunting sumber]

Menurut anggaran, kehidupan awal Mahsuri adalah ketika Langkawi di bawah pemerintahan Sultan Abdullah Mukarram Shah III (1778-1797) dan Sultan Ziyauddin Mukarram Shah II ibni al-Marhum Sultan Muhammad Jiwa Zainal Azilin Muadzam Shah (1797-1803) iaitu ketika Pandak Mayah baru sahaja berhijrah ke Langkawi.

Dikhabarkan bahawa pasangan Pandak Mayah dan Cik Alang berasal dari Kampung Kemala, Phuket, Thailand ataupun dahulunya dikenali dengan nama Siam. Mereka berhijrah ke Langkawi untuk mengubah keadaan hidup mereka bagi menjadi lebih baik. Pada masa itu pasangan suami isteri ini bekerja sebagai petani dan pencari rotan. Lama kelamaan rezeki mereka semakin murah hinggakan mereka telah mampu membeli tanah daripada masyarakat setempat. Diceritakan juga oleh orang lama-lama di Langkawi bahawa keluarga Pandak Mayah ini telah menjalankan perniagaan kemenyan serta sarang burung. Ini telah melipat kali gandakan lagi rezeki mereka sekeluarga sehingga mereka ini menjadi salah satu keluarga yang berada di Langkawi.

Pandak Mayah boleh dikatakan sabagai orang yang berada di Langkawi kerana mempunyai tanah sawah yang luas dan terlibat dengan perniagaan sarang Burung Layang-layang Padi. [1]

Apabila rezeki mereka sudah melimpah ruah, maka atas kuasa Tuhan dikurniakan pula keluarga Pandak Mayah ini seorang cahaya mata perempuan. Pandak Mayah telah menamakan bayi perempuan itu dengan nama Mahsuri. Sesetengah sumber memberitahu bahawa Mahsuri juga turut dikenali dengan nama timangannya iaitu Siti. Mahsuri membesar dan diasuh dengan penuh adat resam serta tata susila oleh kedua orang tuanya. Sejak zaman kanak-kanak lagi Mahsuri telah menunjukkan ciri-ciri luar biasa dimana dia tidak seperti kanak-kanak yang lain. Mahsuri sering menonjol dikalangan rakan sepermainannya kerana dikatakan dia sering memakai pakaian berwarna hitam, ini adalah warna kegemarannya, disamping itu, dari segi paras rupanya yang tak jemu mata memandang, dari segi tutur katanya dan tingkah lakunya yang penuh sopan santun cukup melambangkan betapa tingginya budi pekerti dan akhlak Mahsuri. Sehinggalah meningkat dewasa, ciri-ciri kewanitaannya lebih terserlah, dengan wajah yang cantik rupawan, serta hati budi yang yang sangat baik. Sehinggakan menjadi buah mulut seluruh penduduk Langkawi dan akhirnya sampailah ke telinga Wan Yahya turut dikenali dengan nama Dato Pekermajaya. Dia adalah wakil sultan untuk memerintah Langkawi pada masa tersebut.

Mahsuri dikahwinkan dengan seorang pemuda dan pahlawan tempatan iaitu Wan Derus, iaitu adik kepada wakil Sultan di Langkawi, Datuk Pekerma Jaya dan Wan Mahora.

Fitnah[sunting | sunting sumber]

Ketika zaman pemerintahan Sultan Abdul Halim Shah II Ibni al-Marhum Sultan Ziyauddin Mukarram Shah (1803-1843), hubungan Kedah-Siam menjadi keruh. Mahsuri hamil ketika Wan Derus keluar dari Langkawi (tidak diketahui tujuannya tetapi sumber menyatakan beliau berperang dengan tentera Siam di Kuala Kedah). Sepeninggalan beliau, Mahsuri dikhabarkan tinggal bersama ibu bapanya. Ketika waktu tersebut, Deramang, seorang penyair kembara (sesetengah sumber mengatakan beliau peniaga berasal dari Sumatera) singgah di Langkawi. Kebolehannya menambat hati penduduk Langkawi lalu dengan ihsan ibu bapa Mahsuri, Deramang tinggal di rumahnya untuk mengajarkan syair dan dendang.

Kepandaian Deramang dalam bersyair menaikkan nama Mahsuri sebagai tuan rumah dan menimbulkan kecemburuan Wan Mahura, kakak iparnya sebagai isteri pembesar Pulau Langkawi. Kelahiran anak Mahsuri, Wan Hakim, mencetuskan fitnah apabila Wan Mahura menuduh Mahsuri bermukah (melakukan hubungan sulit) dengan Deramang.

Atas sebab itu, Mahsuri dan Deramang ditahan dan dijatuhkan hukuman bunuh oleh Dato Pekermajaya abang iparnya sendiri setelah termakan hasutan isterinya. Tanpa menunggu Wan Derus pulang, Mahsuri dan Deramang di bawa ke Padang Matsirat, pusat Langkawi ketika itu, untuk dijatuhkan hukuman. Mahsuri diikat di sebuah batang pokok dan ditikam dengan tombak. Menurut lagenda, tombak yang digunakan tidak dapat menembusi tubuh Mahsuri. Akibat terseksa,Mahsuri mendedahkan bahawa dia hanya dapat ditikam dengan tombak sakti (terdapat pihak yang menyatakan bahawa senjata itu adalah keris kepunyaan nenek moyangnya) yang terdapat di alang rumahnya.

Kata-kata terakhir Mahsuri amatlah masyhur apabila ia seringkali diulang dalam mana-mana persembahan. Ayat-ayat terakhir Mahsuri adalah berupa sumpahan untuk tidak menghalalkan darahnya jatuh ke bumi kerana beliau mangsa fitnah dan mengutuk pulau Langkawi untuk tidak tenteram dan permai ibarat padang jarak padang tekukur selama tujuh keturunan.

Walaupun dipujuk dan dirayu ibu bapa Mahsuri, hukuman tetap dijalankan dan Mahsuri dibunuh tanpa dosa yang dituduh. Menurut lagenda, Mahsuri mengalirkan darah berwarna putih hanya kerana kata-katanya yang tidak menghalalkan darahnya jatuh ke bumi. Deramang turut dibunuh kemudiannya walaupun bertindak ganas. Mahsuri dikebumikan oleh ibu bapanya bersebelahan dengan harta tebusan yang ingin digunakan untuk menebusnya. Mahsuri dikatakan meninggal pada tahun 1819 Masihi bersamaan 1235 Hijrah.

Sumpahan Mahsuri[sunting | sunting sumber]

Seminggu selepas Mahsuri dibunuh, Wan Derus pulang setelah Kedah gagal menewaskan Siam. Selepas mengetahui akan hakikat tentang isterinya, dia kecewa lalu membawa anaknya, Wan Hakim keluar dari Langkawi. Sejurus itu, tentera Siam menyerang pulau tersebut. Langkawi hancur dan hangus.

Datuk Pekerma Jaya melarikan diri bersama orang kuatnya, Panglima Hitam. Malangnya, Datuk Pekerma Jaya ditangkap oleh tentera Siam di Sungai Langkanah dan diseksa serta dibunuh dengan kejam. Begitu juga dengan Wan Mahura yang dirogol dan diseksa tentera Siam. Anak mereka, Wan Muhamad Ali bergegas pulang dari Pulau Pinang untuk membalas dendam. Kejayaannya mendorong sultan melantiknya sebagai pengganti ayahnya. Walau bagaimanapun, pulau Langkawi tidak pernah makmur kerana kegiatan lanun dan jenayah yang teruk.[2]

Penutup Sumpahan[sunting | sunting sumber]

Sebelum 1980-an, Langkawi memang tidak makmur hinggakan orang mengatakan yang kerbau lebih banyak berbanding manusia di sana. Ketika Tunku Abdul Rahman masih menjadi pegawai daerah, Tunku sentiasa melawat Langkawi tetapi tiada siapa yang tahu di mana tempat pengkebumian Mahsuri. Maka, Tunku mencari sehingga menemui sebuah kubur yang tersembunyi lalu dibinakan sebuah makam, yang dikenali sebagai Makam Mahsuri.

Menjelang 1980-an, Langkawi menjadi lebih makmur (satu daripadanya disebabkan kedatangan pekerja untuk membina makam Mahsuri). Ada yang menyatakan kemakmuran itu disebabkan lahirnya keturunan ketujuh Mahsuri (ada yang mengatakan kelapan) menamatkan segala sumpahan Mahsuri ke atas pulau Langkawi. Keturunan ketujuh Mahsuri iaitu Sirintra Yayee atau Nong May atau nama Melayunya, Wan Aishah Wan Nawawi menetap di Kampung Kemala, Phuket, Thailand ketika pertama kali dijejaki.

Kebetulan pula ketika itu, Langkawi menjadi pusat pelancongan dan jualan bebas cukai lalu menarik lebih ramai pengunjung ke pulau itu. Perdana Menteri Mahathir Mohamad turut membantu mempromosikan Langkawi dengan menambahkan infrastruktur dan menjadikannya pusat pertunjukan seperti LIMA.

Dalam budaya masyhur[sunting | sunting sumber]

Filem[sunting | sunting sumber]

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. ^ (Melayu)Kementerian Pelajaran Malaysia, "Sejarah Malaysia Darjah Lima" (1983), 65.
  2. ^ (Melayu)Shahidan Jaafar, "Mastika" (Oktober 2000), 83-86.
  3. ^ Wahiduzzaman (23 September 2010). ""Magika" Bukan Filem "Gebang Kosong"". mStar. Dicapai pada 28 Januari 2022.
  4. ^ "Kelainan "Magika" Berjaya Pikat Hati Penonton". mstar. 24 September 2010. Dicapai pada 6 Mac 2023.

3. Sebahagian Informasi diambil dari Kota Mahsuri - Langkawi, Kedah

Pautan Luar[sunting | sunting sumber]